31 Dis 2013

Imbasan 2013

..السلام عليكم و رحمة الله و بركات

Salam sejahtera, semua. Ini adalah entri terakhir untuk tahun 2013.

Tahun 2013 hampir melabuhkan tirai. Akan datang pula tahun 2014. Syukur ke hadrat Ilahi, kita masih diberi peluang untuk hidup hingga ke hari ini. 365 hari yang berlalu banyak meninggalkan memori yang manis dan juga pahit.

Yang manis pada 2013:






















  • Pengalaman belajar fotografi dengan lebih mendalam














































Yang pahit pada 2013:







  • Dijangkiti demam denggi




Apa-apa pun, alhamdulillah, tahun 2013 menyaksikan kesihatan saya secara keseluruhannya bertambah pulih, namun bukan sepenuhnya. Masih terbatas, namun sudah banyak perkembangan baik. Terima kasih kepada rakan-rakan yang sentiasa bersama saya semasa senang atau susah.

Yang manis, kekalkannya sebagai kenangan yang indah dalam hidup anda. Yang pahit, terimalah seadanya meskipun sukar untuk dilupakan. Ambillah iktibar, dan jadilah insan yang lebih baik. Mungkin ada hikmah yang menunggu di hujung jalan, inshaAllah, yakinlah dengan qada' dan qadar.

Sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud:

"Barang siapa yang amalannya hari ini lebih baik dari semalam, dia adalah orang yang beruntung.
Barang siapa yang amalannya hari ini sama dengan yang semalam, dia adalah orang yang rugi.
Barang siapa yang amalannya hari ini lebih buruk dari hari semalam, dia tergolong orang yang dilaknat Allah SWT."

Sempena tahun baru ini, ayuh semua, kita buka buku baru, jadikan tahun 2014 lebih baik daripada tahun 2013. Jadilah insan yang lebih taat dan beriman kepada Allah S.W.T.. Sama-samalah kita mencari keredhaanNya.

Biar Allah sayang, biar syaitan benci.

25 Dis 2013

Cuti-Cuti Diwali : Dharwad

..السلام عليكم و رحمة الله و بركات

Salam sejahtera, semua. Agak lama tak dikemas kini blog ini nampaknya. Maaf kerana agak sibuk dengan komitmen belajar. Namun, ada benda yang perlu dikongsi.

"Berjalan bermusafirlah melihat kebesaran Tuhan
Yang diciptakan untuk mereka yang berfikir dan bersyukur di atas nikmat dan kurniaNya
Nilai harganya iman dan taqwa
Bagi hamba yang setia.."

[Hikmah Kembara - Mirwana]

Baru-baru ini, alhamdulillah, diberi kesempatan untuk bercuti selama 10 hari sempena Diwali / Deepavali. Takkan nak duduk Belgaum saja? Maka, saya mengambil kesempatan untuk bermusafir di sekitar negeri Karnataka ini sambil menziarahi sahabat-sahabat di sepanjang perjalanan.

Pusing India naik beca roda tiga? Ada berani?


Antara destinasi yang telah dilawat ketika cuti tempoh hari adalah:

1. Dharwad
2. Bangalore
3. Mysore
4. Mangalore
5. Manipal

Lokasi yang berjaya dilawati. G = Belgaum, D = Bangalore, C = Mysore, E = Mangalore, F = Manipal. Semuanya dalam negeri Karnataka.

Mula-mula, ke Dharwad dulu, bersama rakan-rakan ke rumah Najmi Latif, sahabatku yang tercinta. Perjalanan ke Dharwad sejauh 75km mengambil masa lebih kurang 1 jam 45 minit dari Belgaum, dengan menggunakan bas. Tambang yang dikenakan juga amat berpatutan, iaitu Rs.75 (lebih kurang RM4.00). Untuk ke rumah Najmi, kami perlu menaiki bas lagi, dengan bayaran Rs.12 (RM0.60). Murah kan?

Dalam perjalanan ke Dharwad. Plaza tol di lebuh raya.

Sebenarnya, ini bukan kali pertama saya ke Dharwad. Ini adalah kunjungan kali ke-4 ke sana. Suasana Dharwad lebih kurang dengan Belgaum, cumanya Belgaum lebih membangun dan lebih sesak.

Makan tengah hari disediakan oleh tuan rumah, dan juga beberapa rakan-rakan pelajar Malaysia di Dharwad yang lain. Alhamdulillah, semoga Allah memberkati mereka. Sedap betul makanan, bertambah sedap dengan ikatan ukhuwah.

Macam sedap je, macam menarik je..

Sebahagian ikhwah, sakan bergambar dengan juadah..

Tuan penulis blog pun nak masuk dalam gambar juga.

Kemudian, selesai makan tengah hari, solat Jumaat pula, tidak jauh dari rumah Najmi. Kami solat di sebuah surau yang amat kecil, bersesuaian dengan populasi umat Islam di kawasan itu yang sedikit.

Selesai Solat Jumaat, kami ke bandar Hubli pula, kira-kira 15km dari rumah Najmi. Ke mana destinasi kami yang spesifik? Ke Urban Oasis Mall (UOM), sebuah pusat beli-belah yang paling dekat dengan Belgaum. Kepada mereka yang belum tahu, tiada kompleks beli-belah di Belgaum.

Wajah-wajah ceria ikhwah sekalian

Hubli merupakan sebuah bandar yang terletak 100km dari Belgaum. Nostalgia sebenarnya bandar Hubli ini, kerana Hubli merupakan tempat ketibaan kami di utara Karnataka pada mula-mula kami menjejakkan kaki di India. Sebenarnya, UOM ini baru dibuka, dan belum siap sepenuhnya. Belum banyak kedai dibuka. Yang menariknya, di UOM, lebih banyak pilihan barangan, dan boleh didapati dengan harga yang lebih murah. Yang penting, ada KFC di UOM. Sebenarnya itulah faktor tarikan utama.

Urban Oasis Mall, Hubli. UOM mengambil langkah murni sempena Diwali, dengan tidak menyokong sebarang kerahan tenaga kanak-kanak sebagai buruh.

Suasana dalam UOM.

Inilah KFC yang terdekat dari Belgaum pada ketika itu.

KFC di India sedikit istimewa, kerana KFC di India menawarkan ayam panggang yang sedap.


Boleh tahan sakan juga rakan-rakan saya membeli barang-barang, namun saya pulang dengan tangan kosong kerana mahu berjimat untuk perjalanan yang masih panjang. InshaAllah, akan mengembara selama seminggu.

Pada petangnya, sebahagian daripada kami pulang ke Belgaum, tetapi saya dan seorang lagi sahabat, Helmi Hamid, masih di Dharwad sehingga malam itu kerana kami akan ke Bangalore pula, bersama Najmi. Kami bertolak ke Bangalore pada jam 10.00 malam.

Mengikut trend semasa, selfie. Nak juga mencuba.

Teman semusafirku ke Bangalore, Helmi Hamid, pelajar tahun kedua di USM-KLE.

This is Dharwad!
Contoh bas di India. Yang penting, tambang bas di India lebih murah berbanding di Malaysia meskipun harga bahan bakar di India lebih mahal.

Kisah di Bangalore akan dikemas kini pada entri yang akan datang. Nantikan!

11 Dis 2013

Ada Apa Dengan 11.12.13?

..السلام عليكم و رحمة الله و بركات

Salam sejahtera, semua. Selamat menyambut tarikh 11.12.13. Cantik tarikhnya.


Ada apa dengan tarikh 11.12.13? Mungkin ada segelintir dari anda yang melalui sesuatu yang bermakna pada tarikh ini. Mungkin ada yang melangsungkan perkahwinan, mungkin ada yang menyambut ulang tahun kelahiran.

Ada apa dengan tarikh 11.12.13? Susunan angka yang menarik, walaupun tiada apa-apa makna yang istimewa. Namun dalam kehidupan ini, hanya sekali sahaja kita berjumpa dengan setiap tarikh. Kemudian, esoknya, kita tinggalkan hari yang berlalu.

Begitu juga usia kita, karier kita, suami, isteri, anak-anak, ibu bapa, adik-beradik, kawan-kawan, harta-benda dan segalanya. Semuanya akan kita tinggalkan. Apakah bekalan yang bakal dibawa nanti dari dunia fana ini? Hanya sehelai kain kafan. Yang lain, ditinggalkan. Yang kekal iman dan amal.

Maka, hargai hari ini sebelum hari ini menjadi semalam. Pastinya kita tak akan dapat semula hari-hari yang telah berlalu, namun, yang akan datang, gunakanlah dengan sebaik-baiknya. Semoga Allah beri taufiq untuk kita jadi hambaNya yang soleh dan solehah. Pesanan untuk semua pembaca blog dan diri sendiri juga.

Sesungguhnya yang baik itu datangnya dari Allah S.W.T. dan yang buruk itu datang daripada diri ini. Sekian sahaja untuk kali ini. Terima kasih kerana sudi membaca. =)

16 Nov 2013

Anda 5A UPSR?

..السلام عليكم و رحمة الله و بركات

Salam sejahtera, semua..

Keputusan UPSR 2013 telahpun diumumkan pada Khamis, 14 November 2013. Kepada yang mendapat 5A, tahniah atas kejayaan anda. Kepada yang tidak mendapat 5A pun, tahniah juga diucapkan kerana telah berusaha sedaya-upaya, namun rezeki belum memihak kepada anda. Mungkin pada masa depan? InsyaAllah..



UPSR bukanlah segalanya wahai adik-adikku sekalian. Gagal mendapat 5A bukanlah bermaksud gagal selamanya. Sepanjang perjalanan hidup saya selepas UPSR sehingga kini, betapa ramainya rakan saya yang tidak berjaya mendapat 5A dalam UPSR, namun pada hari ini mencapai kejayaan yang tersendiri. Ada rakan saya yang sama sekolah rendah dulu hanya mendapat 3A 2B, belajar betul-betul pada PMR, dapat ke sekolah berasrama penuh. Ada rakan sebaya saya yang dulu dapat 4A 1B, kini belajar di USA, bakal menggenggam ijazah dalam bidang kejuruteraan pada tahun depan. Ada rakan saya yang mendapat 4A 1C pada UPSR dulu, bakal menjadi ahli farmasi yang berjaya. Ada juga yang mendapat keputusan UPSR yang jauh lebih buruk, kini menjadi ahli perniagaan yang berjaya. Percaya atau tidak? Rezeki itu rahsia Allah. Apa-apapun, berbaik sangkalah dengan ketentuanNya. Mungkin ada hikmah yang tersurat dan tersirat.

Alhamdulillah, Allah telah memberi rezeki kepada saya untuk mendapat 5A UPSR pada tahun 2004. Masa tu, saya dapat hadiah basikal lumba ala-ala Le Tour de Langkawi, berharga lebih kurang RM300. Syukur tak terkata. Hadiah itu mendorong saya berusaha lebih keras dalam peperiksaan-peperiksaan yang lain. Kecoh satu Malaysia bila mendengar berita pada Khamis lepas, yang mana ada seorang pelajar cemerlang UPSR dihadiahi kereta mewah oleh bapanya sebagai hadiah kecemerlangannya. Ayuh baca sedikit ulasan dari halaman Facebook 'I Love Kelantan':



Anak Kelantan : KISAH PENJUAL AYAM YANG JUTAWAN.

Kecoh seluruh negara dan menjadi trending no 1 di media sosial Malaysia ketika ini mengenai isu seorang bapa memberi Hadiah sebuah kereta Mini Cooper untuk anaknya yang mendapat keputusan cemerlang 5A iaitu adik Fatini daripada SK Zainab 2 , Kota Bharu.

Lagi tergamam, situasi ini terjadi disebuah negeri nun jauh di pantai Timur yang seringkali dimomok-momokkan sebagai negeri paling Miskin di Malaysia. 

Ya benar, kejadian ini berlaku di Kota Bharu. Ayahnya hanya seorang penjual ayam, belajar sehingga SPM sahaja tapi berkat usaha dalam perniagaan mampu memberi dan menukar status keluarga mereka daripada miskin kepada golongan yang mempunyai masa depan.

Saya turut sedih membaca setiap komen di facebook yang mengutuk bapa Fatini yang menyamakan kes ini sebagai tidak masuk akal, megarut, menunjuk-nunjuk, membazar dan sebagainya. Biasalah, orang Melayu Malaysia memang terkenal dengan sikap dengki, suka mengutuk jika orang lain lebih daripadanya.

Ada komen seperti " Alah, jual ayam je pun. Aku belajar sampai degree, jadi pegawai kerajaan hanya mampu pakai Myvi. Gile nak menunjuk bapak dia ni "

Saya yang membaca komen sebegini turut luruh air mata menunjukkan masyarakat Melayu kita benar-benar kritikal mengenai isu moral. Langsung tiada adap, mahupun akal yang waras walaupun mempunyai ijazah.

Ayah Fatini hanyalah anak Kelantan yang langsung tidak cemerlang , result UPSRnya adalah 4D1E sahaja bukan seperti anda mempunyai ijazah. Tetapi berkat usaha beliau bangun seawal jam 4 pagi, terus ke kedai menyembelih beratus-ratus ekor ayam untuk dijual dihampir seluruh Kelantan . Siapa yang kerja seperti ini, bergelumang dengan bau tahi ayam setiap hari, kena sembelih ayam , potong ayam dan sebagainya.

Ayahnya juga bukan seperti anda, log in FB tengok orang berjaya dan buat 'benda pelik' sedikit terus kutuk, maki tanpa rasa belas. Ayahnya cuma penjual ayam tetapi jutawan. Itu sahaja.

Anda bekerja makan gaji dengan gred 41 pun belum mampu untuk menjadi jutawan sekiranya sikap anda yang seringkali menyangkal kejayaan orang lain.

Yang peliknya, orang kaya dan ahli politik yang secara terang-terangan salah guna duit kerajaan dan memberi kemewahan kepada anak mereka tidak pula anda maki sehebat dugaan yang diterima oleh ayah Fatini ini. Niat ayah Fatini cuma satu, berkongsi rasa gembira dengan kejayaan anak sulungnya yang cemerlang dengan penuh rasa syukur.

Kepada anda yang mempunyai ijazah ataupun kelayakan iktisas yang lain, saya cabar anda untuk gantung sijil graduasi anda di dinding dan menjadi seorang penjual ayam seperti usaha yang ayah Fatini lakukan ini. Kita lihat hasilnya.

Inilah kisah seorang anak Kelantan menjadi jutawan hanya dengan menjual ayam.

Nukilan oleh : Pok Dogo
Untuk I LOVE KELANTAN.



Mari kita lihat dari sudut yang positif. Bukanlah saya mengampu apatah lagi dibayar oleh jutawan berkenaan untuk menulis berkenaan perkara ini, namun sebagai seorang pelayar tetap media sosial saban hari, ada beberapa perkara yang saya lihat tidak baik dalam komen kebanyakan pengguna media sosial.

Pertama, orang kita memang tak boleh tengok orang lain 'lebih'. Anda faham maksud saya? Asal miskin, dikatakan malas berusaha. Asal kaya, pelbagai tohmahan dan cacian dilempar oleh mereka yang tidak senang melihat kejayaan orang lain. Cubalah kita husnudzon (bersangka baik) dengan orang lain. Di hati mereka hanya Allah yang tahu. Mengambil kisah hadiah UPSR ini sebagai contoh, mungkin si bapa hanya mahu menunjukkan rasa sayang kepada anaknya, lebih-lebih lagi setelah anaknya mendapat kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan. Siapakah kita untuk menghukum atau menilai? Allah sahaja yang tahu apa yang terbuku dalam hati bapanya.

Kedua, Mungkin ada sesetengah pihak mengatakan bahawa si ayah ingin menunjuk-nunjuk dengan memberi hadiah di sekolah. Baiklah, mungkin tempat yang dipilih untuk menyampaikan hadiah adalah kurang sesuai kerana mungkin menimbulkan rasa cemburu di dalam hati pelajar lain. Mungkin si ayah teruja sehingga terlupa untuk mengambil kira hal tersebut. Maafkanlah dia, dia juga manusia biasa.

Hadiah kereta mewah membazir? Lebih baik duit itu diinfaqkan ke jalan yang diredhai Allah? Ya, memang bagus menginfaqkan harta ke jalan yang Allah redha. Namun, ada siapa yang tahu, dah berapa banyak harta si ayah yang didermakan kepada mereka yang memerlukan? Jadi, tolonglah jangan buat andaian buruk sedemikian.

Biarlah dikatakan anaknya belum mempunyai lesen kerana berusia 12 tahun. Mungkin usia yang masih muda itu agak kurang sesuai untuk adik Fatini menerima hadiah sebuah kereta. Para pembaca harus ingat, 5 tahun lagi, adik Fatini bakal layak untuk mendapat lesen pandu kereta. Dalam tempoh 5 tahun ini, mestilah ayah atau ibu adik Fatini yang bawa kereta tu. Mungkin dengan hadiah ini, Fatini bakal menjadi lebih bersemangat dalam pembelajarannya di sekolah menengah? Mudah-mudahan begitulah. Saya doakan Fatini bakal meneruskan kecemerlangannya dalam pembelajaran selepas tamat sekolah rendah. Salah seorang permata negara, jangan disia-sia.

Penyakit dengki amat sukar dikikis dalam diri kita. Siapakah yang tahu kegigihan adik Fatini dalam berusaha demi mencapai kejayaan yang diidamkan? Usahlah berfikiran negatif, sebaliknya ubahlah diri, fikir dengan cara yang lebih baik. Husnudzon, itu yang dianjurkan oleh Islam. Biarlah kita jauh lebih dewasa daripada adik Fatini, tapi ambillah iktibar dari kisah kejayaan ini. Sekali lagi, rezeki itu rahsia Allah. Mungkin kita akan dapat rezeki yang tidak disangka setelah mendapat kejayaan dunia? Campakkan rasa ego "aku dah lebih makan garam" itu jauh-jauh. Sebaliknya, usahalah dan banyakkan doa kepada Allah S.W.T.. Apa kata amalkan Solat Dhuha? Rahsia murahnya rezeki..

Kesimpulannya, janganlah suka cari silap dan salah orang lain. Kalau hati dah tak suka, ada saja yang tak kena. Berdoalah supaya kita dijauhkan dengan fikiran sebegini. Punca timbulnya iri hati dan dengki.

Satu lagi kisah menarik sekitar keputusan UPSR 2013 adalah kejayaan seorang calon Orang Kelainan Upaya (OKU), adik Amir Zuhaidi dari Ketereh, Kelantan yang berjaya mendapat 5A dalam UPSR.

SEORANG bapa, Razali Harun, 45, yang berkerja sebagai buruh binaan dengan gembira terus menggendong pulang anaknya Amir Zuhaidi Razali, 12, yang mendapat keputusan cemerlang 5A dalam UPSR 2013 untuk memberitahu kepada ahli keluarga lain di Kampung Hutan Pasir, Ketereh. Amir, murid Istimewa Orang Kelainan Upaya (OKU) Sekolah Kebangsaan (SK) Ketereh mengalami kecacatan kaki kiri akibat kemalangan. Kredit Harian Metro.

Tersentuh hati ini bila melihat gambar di atas. Sebak terasa melihat wajah bangga seorang bapa. Ternyata kekayaan dunia bukanlah segalanya, namun kekayaan budi dan hati tidak ternilai. Kasihnya seorang bapa kepada anaknya. Meskipun tidak mampu memberi kekayaan dan kesenangan harta, namun kasih sayang adalah segalanya. Tiba-tiba rindukan abahku di rumah. Semoga sentiasa sihat walafiat.

Di sini kita melihat dua kes yang berbeza. Kejayaan yang sama, namun dalam latar belakang keluarga yang berbeza. Status kewangan dan kesihatan bukanlah penghalang untuk berjaya. Biarlah apa yang anda semua nak kata kepada dua orang adik yang berjaya dalam UPSR ini, tapi saya harapkan mereka akan terus cemerlang di dunia dan akhirat, dan menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. Semoga menjadi anak soleh dan solehah. Ilmu yang ada jangan disia-sia!


"Kadang-kadang Allah sembunyikan matahari,
Dia datangkan hujan petir.
Kita bersedih dan tertanya tanya ke mana hilangnya matahari
Rupa-rupanya Allah nak hadiahkan kita pelangi yang indah. "


Sekian dahulu coretan dari saya, semoga kita dapat mengambil pengajaran, dan terima kasih kerana membaca..

26 Okt 2013

Aidiladha 2013 / 1434H

..السلام عليكم و رحمة الله و بركات

Salam sejahtera, semua! Entri kali ini tentang sambutan hari raya Aidiladha edisi 1434 Hijrah atau 2013.

Keceriaan di Aidiladha


Setelah tak beraya Aidiladha di Belgaum tahun lepas, tahun ini aku kembali beraya di Belgaum. Beraya di perantauan bukanlah mudah kerana perlu mengorbankan masa bersama keluarga. Namun ramai juga yang senasib denganku. Rakan-rakan ibarat adik-beradikku di sini. Kami ibarat sebuah keluarga besar di sini. Maka, kuranglah rasa kekurangan itu.

Kami di sini beraya pada hari Rabu, 16 Oktober 2013. Berbeza dengan Malaysia dan tanah suci Mekah dan kebanyakan tempat lain yang meraikannya sehari sebelum kami di India. Pedihnya bila ada kelas tatkala umat Islam di Malaysia sedang berhari raya. Namun inilah dia salah satu pengorbanan yang kami lakukan tahun ini.

Aku cuba bawakan keadaan berhari raya di Malaysia, meskipun tidak sama, sekurang-kurangnya hampir sama. Tidaklah rasa sedih sangat di pagi raya. Ada bekalan ketupat segera dan lemang segera yang dibawa dari Malaysia. Masak-memasak di malam raya. Kalau di rumah, bukan aku yang buat semua ni. Di perantauan, aku berdikari. Rakan-rakan lain pun turut sama memasak. Mestilah, nak makan yang sedap-sedap di pagi raya.

Ketupat oversea. Rasa hampir sama..

Penat juga memasak sampai tengah malam. Tak habis-habis memasak, sampai lepas solat raya pun sambung lagi. Ada beberapa juadah yang aku sediakan, lepas ni cerita lagi.

Bangun pagi hari raya, mandi sunat Aidiladha, siapkan pakaian, terus ke kampus USM-KLE, solat sunat Aidiladha. Solat sunat kali ini diadakan di laman kampus kami, seperti biasa. Solat sunat kali ini diimamkan oleh saudara Talhah Jamalludin. Khutbah pula dalam bahasa Inggeris, kerana solat kali ini juga disertai oleh pelajar antarabangsa dari negara lain seperti Maldives dan juga dari benua Afrika.

Bukan sahaja kami yang berhari raya di sini. Ada juga Timbalan Dekan USM-KLE, Prof Kamaruddin Ja'alam dan seorang lagi pensyarah dari USM Pulau Pinang, lupa pulak namanya. Setiap daripada kami ada pengorbanan yang tersendiri. Antara gambar di hari raya:

Prof KJ sedang memberi ucapan kepada kami di pagi raya

Wajah-wajah perantau

Bersalam-salaman, bermaaf-maafanlah kita semua.

Wajah-wajah ceria

Suasana raya tahun ni lebih meriah kerana junior ramai!

Tak pandang kamera pulak

Jejaka-jejaka tampan USM-KLE

Selfie ni sekarang dah jadi trend nampaknya. Kami tanpa mengira batch pun tak ketinggalan nak selfie. Jejaka pun boleh selfie! Satu gambar je, kalau perempuan mesti banyak kan? Jangan marah.. Selfie di pagi raya namanya.

Bergambar bersama seorang warga Afrika, beliau doktor di sini.

Gambar lagi, 1st year, 2nd year, 3rd year, 4th year sekali

Bergambar bersama Afiq Aizat, tauke kuah kacang yang terbaik dan peminat tegar solok lada buatan mak aku.

Bergambar depan hostel dengan budak 2nd year. Tidur pulak.

Usai solat sunat Aidiladha, sambung masak sikit, dan lepas tu aku adakan Bilik Terbuka. Bilik Terbuka? Sebab kami duduk hostel, takde la rumah-rumah ni. Ada bilik je. Janji ada sedikit jamuan dan keraian. Sambil pasang lagu raya. Terasa macam Malaysia. Ada pelbagai juadah seperti bihun goreng, ketupat, lemang, kuah kacang, rendang dan kerepek. Tak ketinggalan, koktel buah.


Ini je yang orang bujang mampu masak. Alhamdulillah, semua habis dalam masa yang singkat.

Ada acara korban lembu dan kambing diadakan di Azam Nagar, tapi aku tak ke sana. Tempat korban adalah sangat tertutup. Kalau ada pun gambar dari sana, kami tidak dibenarkan muat naik gambar korban kerana bimbang mengganggu sensitiviti masyarakat di sini. Kami terpaksa akur.

Malamnya pula, pelajar-pelajar lelaki 2nd batch mengambil inisiatif untuk mengadakan sedikit jamuan sempena Aidiladha. Menunya sate ayam, ayam bakar dan nasi tomato serta ayam masak LOL.

Isi ayam yang telah diperam semalaman, dicucuk di lidi, jadilah sate ayam

Kipas jangan tak kipas!

Inilah hasilnya

Hasil kerajinan para pelajar lelaki 2nd batch

Ayam bakar resepi istimewa chef Rickkye Gan

Sate ayam yang dah siap. Menyelerakan tak?

Secara keseluruhannya, aku amat bersyukur kerana dapat beraya dengan gembira tahun ini di samping rakan-rakan, walaupun tidak sama situasinya seperti di Malaysia. Namun, inilah dia pengorbanan. Hanya kesabaran yang mampu menguatkan diri anda. Tipulah kalau kata tak cemburu bila tengok gambar keluarga berkumpul bersama menyambut berhari raya. Hanya aku yang tiada. Hanya 2 Aidiladha sahaja lagi di sini, tak lama lagi. InsyaAllah.

Antara pelajar Malaysia di Belgaum. USM-KLE, JNMC, VKIDS.


Sekian dahulu untuk kali ini. Terima kasih kerana sudi membaca..