20 Ogo 2014

Belgaum Bukan Belgium 2.0

..السلام عليكم و رحمة الله و بركات

Salam sejahtera, semua. Sebenarnya entri kali ini adalah kesinambungan daripada entri yang terdahulu, Belgaum Bukan Belgium . Setelah meneliti bahawa ada informasi terkini yang boleh dimuatkan dan masih ada ruang yang boleh diperbaiki, maka lahirlah entri yang terbaharu ini.

Kepada mereka yang masih belum mengenali Belgaum amnya dan USM-KLE khususnya, sila teruskan pembacaan anda, semoga beroleh manfaat.


USM-KLE?



Secara amnya, USM-KLE ini merupakan program kerjasama antara Universiti Sains Malaysia (USM) dan juga Karnataka Lingayat Education (KLE). Kampus pesisir USM-KLE ini terletak di Belgaum, negeri Karnataka, India. Pembelajaran sepanjang 5 tahun hanya di India sahaja, dan pada akhir pengajian nanti, pelajar akan dianugerahkan dengan Ijazah MD USM, dan bakal bergraduasi di USM Kampus Induk, Pulau Pinang. Program yang bakal memasuki tahun ke-5 pada bulan September 2014 ini kini semakin dikenali ramai.


Lokasi?




Belgaum terletak di selatan India. Jarak ke bandar raya utama agak jauh, iaitu kira-kira 500 km dari Bangalore dan 485 km dari Mumbai. Untuk ke Bangalore, anda perlu menaiki bas yang mengambil masa selama 10 jam. Untuk ke Mumbai pula, perjalanan ke sana mengambil masa selama 9 jam. Oleh kerana Belgaum adalah bandar yang penting untuk negeri Karnataka, usah khuatir tentang bab pengangkutan, kerana amat mudah untuk ke sana-sini dari Belgaum. Contohnya, warga Belgaum boleh ke bandar raya utama di India dengan menaiki kapal terbang yang dioperasikan oleh SpiceJet ke Bangalore, Mumbai dan Chennai. Lokasi lain seperti Mysore dan Ahmedabad akan menyusul.


Cuaca?

Ini Belgaum ke Belgium? Siap ada kincir angin. Inilah Belgaum ^_^

Kedudukan Belgaum yang terletak di tanah datar, pada ketinggian 700 meter di atas paras laut menjadikan cuaca di Belgaum amat baik pada kebanyakan masa. Secara amnya, cuaca di Belgaum amatlah baik berbanding tempat-tempat lain di negeri Karnataka. Maka tak hairanlah apabila Belgaum diberi jolokan sebagai 'Kashmir of Karnataka'. Di sini ada tiga musim, iaitu musim panas (bulan Mac - Mei), musim hujan (Jun - September) dan musim sejuk (Oktober - Februari). Pada musim sejuk, suhu boleh jadi serendah 8 darjah Celcius dan pada musim panas, suhu boleh mencecah sehingga 42 darjah Celcius! Daripada musim sejuk idaman, bertukar menjadi musim panas yang amat kejam.


Belgaum di musim hujan

Incredible India

Bahasa?


Di sini, pelajar USM-KLE menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pembelajaran. Untuk komunikasi di hospital dan juga dengan orang tempatan (kami panggil mereka sebagai 'tempe' sejak turun-temurun), kita gunakan bahasa-bahasa berikut:


  1. Hindi : bahasa yang digunakan secara meluas di India
  2. Kannada : bahasa yang digunakan dalam negeri Karnataka, kerana Belgaum terletak dalam negeri berkenaan
  3. Marathi : bahasa yang digunakan dalam negeri Maharashtra, kerana Belgaum terletak di sempadan negeri Karnataka-Maharashtra.


Boleh baca? Tapi rasanya semua boleh agak mesej yang cuba disampaikan..


Usah risau, usah khuatir, ada guru khas (Dr. Mahesh) yang akan mengajar bahasa Kannada dan Hindi. Kelas ini diadakan seminggu sekali. Namun saranan saya, ambillah inisiatif sendiri juga dalam belajar bahasa tempatan ini. Bergaul rapatlah dengan 'tempe' agar kita dapat lebih banyak tahu. InshaAllah, tak susah kalau kita betul-betul minat.


Bersama bakal pencorak masa depan negara India.


Belajar?


Mulai sidang akademik 2014/2015, struktur pembelajaran di USM-KLE diubah, seiring dengan perubahan yang berlaku di Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), USM Kampus Kesihatan, Kubang Kerian. Secara keseluruhannya, ada 2 Fasa yang perlu dilengkapkan untuk menggenggam ijazah MD USM. Fasa 1 (pra-klinikal) merangkumi Tahun 1 dan 2, dan Fasa 2 (klinikal) merangkumi Tahun 3, 4 & 5.

Pembelajaran di USM-KLE adalah 100% sama dengan cara pembelajaran di PPSP, USM Kubang Kerian. Cuma, kami di sini ada beberapa kelebihan berbanding pelajar di PPSP, antaranya:

1. Suasana pembelajaran di luar negara. Semestinya cara kehidupan di sini agak berbeza berbanding di Malaysia. Walaupun saya sedar pada akhirnya, saya akan dapat ijazah MD USM sama dengan pelajar di PPSP, pengalaman itu amat berharga. Bukanlah sekiranya saya belajar di PPSP itu akan tiada pengalaman yang bermakna, namun di sini, suasana yang berbeza daripada tanah air itu memberi sedikit kelebihan kepada kami. Kami keluar daripada zon selesa untuk mengejar impian kami. Namun, janganlah sentiasa menganggap diri kita lebih baik berbanding orang lain. Ikutlah resmi padi, makin berisi makin menunduk.

Kampus USM-KLE


Pengalaman belajar di luar negara begitu memberi kelebihan kepada pelajar USM-KLE

Keceriaan jelas terpancar pada wajah rakan-rakan seperjuangan

Kenangan hari raya Aidiladha di Belgaum

2. Pembelajaran menggunakan kadaver (mayat yang telah diawet) untuk subjek Anatomi. Pengalaman di depan mata memudahkan kami untuk memahami subjek Anatomi dengan lebih mendalam. Di India, kadaver amat mudah untuk diperoleh. Selain itu, kami juga boleh mengeksplorasi badan kadaver itu dengan tangan kami sendiri. Namun perlu ingat, ada etikanya juga. Kenalah hormat pada mayat tu.

*maaf, gambar kadaver tidak disiarkan


3. Pensyarah yang berdedikasi. Dengan sedaya upaya, mereka akan terus mengajar sehingga kami betul-betul faham tentang isi kandungan kuliah mereka. Bukan sekadar di kuliah, malahan di dalam sesi Problem-Based Learning (PBL), Demonstrasi / Praktikal dan juga sewaktu Klinikal. Ada juga pensyarah yang amat tekun mengajar sehingga berpeluh! Maka, tak hairanlah kenapa kami mengekalkan rekod peperiksaan yang amat baik di sini.

Bersama salah seorang pensyarah sewaktu mengadakan survey di Kampung Basavan Kudachi.


4.  Kemudahan yang bertaraf kelas pertama. Kampus USM-KLE memiliki kemudahan yang terbaik untuk memastikan kecemerlangan pelajar-pelajarnya. Dewan kuliah yang selesa, dewan peperiksaan yang baik, bilik PBL yang dilengkapi projektor dan suasana sekeliling yang menenteramkan amat kondusif untuk para pelajarnya. Maka, sayanglah sekiranya para pelajar tidak menggunakan kemudahan ini dengan sebaik mungkin.

Model-model anatomi yang dimiliki USM-KLE adalah terbaik dan berkualiti

Kemudahan televisyen yang berjenama terkemuka.

Suasana ketika praktikal di dalam MDL


Hostel?

Kini, kami tinggal di USM Hostel, yang mana dikhususkan untuk pelajar USM-KLE. Untuk makluman, pelajar USM-KLE diwajibkan untuk tinggal di hostel ini (melainkan jika anda berkahwin dengan sesama pelajar USM-KLE, anda diberi pengecualian). Ada juga pelajar tempatan yang tinggal di hostel kami untuk mengisi kekosongan yang ada.

Suasana di dalam USM Hostel

Perabot di dalam bilik


Satu bilik boleh menampung dua orang. Semuanya lengkap di dalam bilik, ada bilik air, sinki, meja belajar, almari, ada akses internet LAN dan macam-macam lagi. Di hostel juga ada pelbagai kemudahan seperti surau, gimnasium, pantri, common room dan 'mess' (dewan makan). Anda juga bebas memilih rakan sebilik (roommate) anda.

Bas USM-KLE yang boleh digunakan untuk lawatan di luar kampus dan juga bagi kaum Adam, untuk ke solat Jumaat.

Servis dobi juga disediakan di hostel pada harga yang berpatutan.

Suasana yang menenteramkan di belakang hostel

Kemudahan lain juga tersedia di dalam kampus seperti kolam renang, gelanggang-gelanggang seperti tenis, badminton, bola keranjang dan ping-pong.

Kelihatan kolam renang yang baru siap di belakang sana
Gelanggang tenis

Aktiviti?

Meskipun dibebani kesibukan seharian sebagai seorang pelajar perubatan, namun kesibukan itu tidak menjadi kekangan untuk kami dalam melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti, contohnya...


1. Samudra:

Sukan tahunan antara pelajar USM-KLE. Pelbagai acara sukan dan kebudayaan diadakan, antaranya acara trek, bola jaring, futsal, badminton, ping pong, Masterchef dan pertandingan reka 'kolam'.

Acara tahunan, Samudra USM-KLE

Aksi santai daripada rakan-rakan rumah Yellow Atlantic
Siapa kata pelajar medik tiada masa untuk bersukan, anda silap.
Semangat kesukanan yang tinggi dipamerkan oleh abang-abang kita
Kapten 4 buah rumah beraksi pada Samudra 2013/2014


2. Ko-kurikulum:

Oleh kerana kami belajar mengikut sistem USM, kami mesti melengkapkan dua unit aktiviti ko-kurikulum yang wajib, sama ada Badminton, Fotografi, Muzik ataupun Teater Moden. Semasa di tahun 2 dulu, saya memilih Teater Moden untuk Semester 1 dan Fotografi untuk Semester 2. Alhamdulillah, kedua-duanya sudah selesai dengan jayanya. Kini, hanya pilihan Badminton dan Fotografi sahaja yang tinggal.

Kenangan usai teater 'Anastasia' pada tahun 2013
Kelab muzik 'Vivacious' beraksi pada awal tahun 2014

3. Malaysian Night:

Aktiviti tahunan yang dianjurkan oleh Malaysian Student Association India (MSAI) Belgaum, menyatukan semua warga Malaysia di Belgaum dengan aktiviti-aktiviti yang menarik seperti persembahan dan makan-makan. Saya sempat menyertai Malaysian Night pada tahun 2011. Malangnya pada 2012, saya ditimpa kecelakaan, maka terpaksa melihat dari jauh sahaja. Namun, pada 2013, saya kembali memeriahkan majlis.

Malaysian Night 2013
Bergambar bersama junior 4th batch
4. World Diabetes Day

Aktiviti yang diadakan oleh pelajar USM-KLE dengan kerjasama pihak KLES Hospital.

Warga USM-KLE berjalan sejauh 3 km

Senyum senyum, nak masuk blog R.A.S.H.D.A.N. ni =)


Warga USM-KLE?

Kami di sini baik-baik saje. Sehingga bulan Ogos 2013, komuniti kami berjumlah 186 orang, yang terdiri daripada 44 orang pelajar batch pertama, 83 orang batch kedua dan 59 orang batch ketiga. Ada yang sudah berkahwin, dan ada yang bakal berkahwin. Namun pada 2014, setelah kemasukan pelajar baharu dan juga pelajar yang diserap masuk ke USM-KLE dari Mesir, jumlah ini bertambah kepada 373 orang, yang terdiri daripada 49 orang pelajar batch pertama, 111 orang pelajar batch kedua, 96 orang pelajar batch ketiga dan 117 orang pelajar batch keempat.

Rakan satu batch saya
Warga USM-KLE, gambar awal tahun 2013.

Makan-makan?

Alhamdulillah, di Belgaum agak mudah untuk mendapatkan makanan halal. Cuma berita buruknya, makanan sedikit mahal di sini. Maka, jadilah seorang yang bijak dalam mengurus perbelanjaan bulanan. Masa hujung minggu, bolehlah kalau nak keluar makan ramai-ramai kat restoran-restoran terkemuka di Belgaum ni, seperti Niyaaz, Zaika, Habba, Kabab Delight dan US Pizza.

Tahun 2014, restoran seperti KFC, Subway, Domino's Pizza dan Wild Sugar telah dibuka di Belgaum. Maka, lebih banyak pilihan makanan terdapat di Belgaum. Untuk pengetahuan semua, Domino's Pizza di India adalah haram kerana mereka menjual produk yang mengandungi khinzir.

Lokasinya di hadapan kampus USM-KLE dan JNMC menjadikan restoran-restoran ini amat mudah untuk dikunjungi.

Salah satu makanan kegemaran, channa puree

Jika tidak sempat untuk memasak, anda juga boleh membuat pesanan melalui telefon. Ada beberapa restoran seperti Momo's, China Wall dan Zaika yang menyediakan khidmat penghantaran makanan ke hostel. Harga makanan mereka juga berpatutan dan yang penting, halal.

Cuma, anda harus beringat bahawa risiko untuk dapat diarrhoea a.k.a. sakit perut adalah agak tinggi. Jadi, harus beringat bila makan-makan di luar, terutamanya kedai yang kurang terjamin kebersihannya. Jangan makan benda-benda pelik yang mungkin tidak sesuai dengan diet kita. Setibanya anda di India, mungkin akan ambil masa untuk membiasakan diri dengan makanan di sana. Nasihat saya, bersedialah anda semua dengan ubat sakit perut. Andai sakit perut itu berlarutan, maka silalah ke hospital.

Di India pun boleh dapat buah strawberi segar! Cuma, kena tunggu musim yang sesuai ya.

Suasana di pasar ikan

Beli-belah?

Berita buruk untuk mereka yang kaki lepak di pusat beli-belah, Belgaum tiada shopping complex. Yang ada cuma Big Bazaar, lebih kurang Giant atau Tesco sahaja. Ada pun yang lain, hanyalah kedai-kedai lot dan deretan kedai. Namun jangan risau, semua benda pun cukup. Ada je tempat untuk beli barang-barang untuk masak dan kelengkapan-kelengkapan lain, seperti Reliance Fresh dan More.

Kalau tak cukup, boleh beli barang-barang secara online kerana sistem beli-belah online di India ini sangatlah bagus. Antara portal beli-belah yang baik di India adalah eBay, Amazon, Flipkart, Jabong dan Myntra. Ada-ada sahaja tawaran daripada mereka pada sepanjang tahun. Namun, jangan membazir, belilah apa yang diperlukan.

Urban Oasis Mall yang terletak di Hubli, 100 km dari Belgaum.


Untuk melepaskan tekanan, Belgaum mempunyai dua panggung wayang yang menayangkan filem berbahasa Inggeris (yang tayang filem tempatan, banyak), iaitu INOX dan Big Cinemas, Nucleus Mall.


Kadar panggilan dan SMS ke Malaysia?

Kebanyakan daripada kami menggunakan telco Airtel. Caj yang dikenakan adalah amat murah bagi panggilan dan SMS di dalam India. Untuk panggilan ke Malaysia (menggunakan Airtel), caj yang dikenakan adalah Rs. 3.60/minit (lebih kurang RM 0.20). SMS ke nombor Malaysia adalah Rs. 5 (lebih kurang RM 0.26). Namun untuk menikmati kadar ini, pengguna mestilah menambah nilai sebanyak Rs. 23 tanpa gagal pada setiap bulan.



Pakej Internet 3G juga amat berpatutan, contohnya untuk 1GB data hanya Rs. 255 (RM 13.50), 2GB hanya Rs. 455 (RM 24.00). Jangan risau, kadar panggilan ke Malaysia amat berpatutan. Boleh gunakan Skype / WhatsApp / LINE / WeChat dan sebagainya sebagai alternatif.

Saree?

Belgaum merupakan salah satu tempat yang memiliki kedai-kedai kain yang ohsem. Mudahnya untuk mendapatkan produk seperti kain saree, kurta, kurti, salwar kameez dan kain cotton. Kadang-kadang, ada juga rakan-rakan dari tempat lain di India yang mengunjungi Belgaum semata-mata untuk membeli kain saree. Maka, tak dapat dinafikan lagi bahawasanya warga Belgaum amat bertuah. Harga produk fabrik pun agak berpatutan.

Kain yang amat cantik jika dibuat kurta

Contoh kain saree yang dijual di Belgaum. Masih banyak corak dan jenis kain saree yang belum saya paparkan di dalam blog ini.

Setakat ini sahaja dahulu perkongsian daripada saya. Kalau hendak diceritakan dengan lebih banyak mengenai USM-KLE dan Belgaum, sampai esok pun takkan habis. Boleh tanya saya dengan sebarang cara yang anda senangi, sama ada komen di bawah ataupun menghubungi akaun media sosial saya (Facebook, Twitter atau Instagram). Tanyalah apa sahaja, inshaAllah saya akan cuba jawab dengan sebaiknya bersesuaian dengan kapasiti saya sebagai salah seorang pelajar USM-KLE.

Akhir kata, kepada junior yang bakal menyambung pelajaran di USM-KLE International Medical Programme, Belgaum, India, selamat datang kami ucapkan. Semoga kehadiran anda ke bumi Belgaum akan membawa lebih keceriaan kepada warga USM-KLE.

19 Ogo 2014

Aidilfitri 1435H

..السلام عليكم و رحمة الله و بركات

Salam sejahtera, semua. Entri kali ini berkisarkan sambutan Hari Raya Aidilfitri 1435H.

Telah berlalu bulan Ramadhan, penghulu segala bulan. Namun pastinya kita akan merindui fadilat yang terkandung dalam bulan berkenaan. Sabda Rasulullah s.a.w., "Sekiranya umatku mengetahui kemuliaan dalam bulan Ramadhan, nescaya mereka akan mengharapkan kedatangan Ramadhan itu di sepanjang tahun".

Alhamdulillah, selesai sudah sebulan berpuasa. Tempoh sepurnama madrasah Ramadhan telah berjaya ditempuhi dengan baik. Sama ada amal ibadat kita semua diterima, hanya Allah S.W.T. yang tahu. Yang penting, tiba sudah hari kemenangan, maka raikanlah dengan seadanya.

Tahun ini, seperti biasa, semua pulang ke rumah di kampung bandar halaman, Kota Bharu untuk beraya bersama. Cuma kakak sulung (Along) tiada di pagi raya sebab beraya di rumah mertuanya. Ada banyak gambar saya bersama keluarga dan rakan-rakan yang ingin saya kongsikan untuk tatapan para pembaca blog ini.

Wajah ceria di pagi raya

My precious..

Pandang kamera lain

Selfie keluarga Roslan di pagi raya

Bersama rakan dari kecil sehingga kini, Iqbal, pengunjung pertama teratak Roslan, kini belajar di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Batu Pahat. #SaVIour

Si kacak di pagi raya, baju raya Jakel Zizan Razak.

Tatkala ramai rakan saya di berek polis yang sudah berpindah, ini rakan saya yang masih tinggal di sini, Haiqal Daud. Kini belajar di UiTM Dungun.

Rakan-rakan seperjuangan di SM Sains Alam Shah (ASiS), Kuala Lumpur dulu. Dari Kota Bharu ke Machang, kemudian ke Pasir Mas dan akhirnya ke Tumpat, tempat gambar ini diambil. #SaVIour

dari kiri : Syakir, Murshidien, Kitaro, Rashdan

Rakan-rakan SK Ismail Petra 1, dari kiri : Rashdan, Afiq Mazlan, Nik Nur, Herman

Beraya di rumah TMZ bersama Nabil. #SaVIour

Ini pun geng #SaVIour juga. Beraya di rumah Adib Azizi. Atiff Ghazali pun ada.

Beraya di rumah rakan se-dorm 2A3 dulu, Aqhari. Buat muka pulak dia. =.=' #SaVIour

Beraya di rumah Sir Sariy pulak. Tak lama lagi jadi cikgu. #SaVIour 
Jejaka USM-KLE 2nd Batch beraya

Beraya di rumah Syahrain, rakan sekuliah di USM-KLE, dan bakal rakan seposting nanti.

Ikhwah Ireland datang beraya di rumah, akhi Huzaifah dan Hazreen.

PR Executive Inteam, akhi Firdaus bersama isteri dan anaknya pun datang beraya di rumah ana juga. 

Geng UPSR 2004 beraya di rumah Afiq Mazlan di Kubang Kerian

Sahabat selamanya ^_^

Beraya di Lapangan Terbang Sultaz Aziz Shah, Subang bersama jiran dorm, Fatah Khairi. #SaVIour

Beraya di Batang Kali, di rumah Najmi.

Kumpulan nasyid Inteam turun Kelantan, sempena persembahan di Kolej Teknologi Darulnaim (KTD)

Makan tengah hari di rumah mertua akhi Firdaus bersama Inteam dan wakil dari KTD. 
Bergambar kenangan bersama Inteam selepas persembahan mereka di KTD. Banyak kenangan bersama mereka pada tahun ini. InshaAllah, ada rezeki, jumpa lagi pada bulan Julai 2015.

Bergambar kenangan bersama saudara Hafiedz Udu, pemain perkusi dan instrumen yang handal. Beliau merupakan ahli kumpulan Algebra dan Jawi.

Di sini, saya ingin berterima kasih kepada semua yang sudi bertandang di rumah saya pada hari raya yang lalu dan kepada yang mengundang saya ke rumah, terima kasih juga. Maaf banyak-banyak kepada sesiapa yang saya tidak dapat penuhi undangan ke rumah terbuka mereka kerana saya juga perlu memenuhi undangan lain. Ada rezeki, bolehlah kiranya kita berjumpa pada kesempatan yang lain, inshaAllah.

Sesungguhnya hari raya kali ini banyak kenangan yang manis. Namun tetap terasa tidak lengkap kerana hari raya kali ini, tiada lagi nenek dan ibu saudara saya yang telah kembali ke rahmatullah.

Kubur arwah nenek saya. Ibu saudara saya, Hazizah bt. Ismail, menyusul lebih kurang 100 hari kemudian, kembali ke rahmatullah. Sedekahkan al-Fatihah untuk mereka, semoga roh mereka ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.

Semoga hari raya kali ini mengeratkan ikatan silaturrahim sesama kita. Yang jauh didekatkan, yang dekat dieratkan. Yang mana belum sempat berkunjung ke rumah saudara-mara, sahabat handai dan jiran tetangga, masih sempat berbuat demikian, selagi Syawal masih ada. :)