30 Mei 2014

Fasa II : Lulus atau Gagal?

..السلام عليكم و رحمة الله و بركات

Salam sejahtera, semua. Dah lama tak kemas kini blog ini, dek kerana kesibukan dalam kehidupan seharian.

Setelah mengharungi 4 (empat) peperiksaan dalam masa lebih kurang dua bulan, maka tamatlah Fasa II USM-KLE yang merangkumi Tahun 2 dan Tahun 3. Persoalannya, luluskah saya dan rakan-rakan lain?

Penentu sama ada kami lulus atau tidak adalah Peperiksaan Ikhtisas II (atau lebih popular dikenali sebagai Professional Exam-II) . Peperiksaan yang menyumbang sebanyak 60% markah keseluruhan untuk Fasa II.

'Peperangan' susulan tiga 'pertempuran' selama ini bermula pada 19 Mei 2014 sehingga 22 Mei 2014. Ada dua komponen yang diuji dalam peperiksaan kali ini, iaitu komponen teori dan klinikal. Sejujurnya, peperiksaan teori terasa lebih sukar berbanding klinikal. Namun, setelah tamat semuanya, saya yakin yang saya akan lulus peperiksaan ini. Dapat kepujian (distinction) ? Yang tu semestinya tidak. Cukuplah sekadar lulus.

Hari Khamis, 28 Mei 2014, tibalah hari yang dinanti oleh 111 orang pelajar batch kedua USM-KLE IMP, Belgaum - Hari Pengumuman Keputusan Peperiksaan Ikhtisas II (Professional Exam-II). Pengumuman dilakukan oleh Timbalan Dekan USM-KLE, Professor Kamarudin Ja'alam bersama Pengerusi Fasa II USM-KLE, Dr. Santosh Patil. Keputusannya...


.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.

Semua pelajar LULUS!


Alhamdulillah, segala puji bagi Allah S.W.T. kerana memberi kejayaan kepada kami. Tahniah kepada rakan-rakan dan diri sendiri kerana berjaya melangkah ke Fasa III, fasa terakhir sebelum bergraduasi pada tahun 2016. Tahniah kepada tiga rakan saya yang berjaya mendapat 'Distinction' iaitu Gan Rick Kye, Syahirah Kamal dan Noor Khaleeda Khairudin.



Secara peribadinya, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang telah membantu saya selama ini terutamanya para pensyarah yang dihormati dan rakan-rakan yang disayangi. Tanpa anda, siapalah saya. Kepada ibu bapa, adik-beradik serta keluarga dan rakan-rakan yang memberi sokongan dan dorongan, saya amat menghargainya. Doakan supaya saya dan rakan-rakan dapat mengekalkan momentum ini pada Fasa III pula.

Benarlah kata Prof KJ, sesiapa yang bekerja keras, dia akan menuai hasilnya. Setelah pelbagai dugaan dan cabaran yang saya alami sejak awal Tahun 2 sehingga tamat Tahun 3, pernah patah kaki, pernah demam denggi, menghadapi kematian orang tersayang, apabila kejayaan ini datang, terasa amat manis. InshaAllah, bulan September, tahun 4 akan bermula. Terima kasih sekali lagi, hanya Allah yang mampu balas jasa semua.

Bawa bertenang dan balik Malaysia 1 Jun ini. =)

"Sekilas ikan di air, sudah tahu ikan keli atau ikan koi." Prof KJ.