12 Ogo 2015

FAQs of USM-KLE

..السلام عليكم و رحمة الله و بركات

Salam sejahtera semua pembaca tegar blog ini. Entri kali ini mengenai soalan-soalan yang kerap ditanya atau frequently asked questions (FAQs) mengenai USM-KLE, terutamanya untuk mereka yang kali pertama ingin melanjutkan pelajaran ke sana. Entri ini juga mungkin berguna untuk bakal pelajar universiti-universiti lain di India.

1) Apa barang nak dibawa ke sana?

Macam-macam boleh dik, tapi janganlah bawak tu macam nak pindah satu rumah pulak. (Gurau je)



Bawa benda-benda yang asas macam pakaian dan makanan. Benda-benda lain macam perkakas elektrik, buku-buku, alat tulis, boleh beli masa sampai di India nanti.

2) Kat Belgaum, nak tinggal di mana?

Kita ada hostel khas untuk pelajar USM-KLE. Semua pelajar diwajibkan untuk tinggal di asrama, kecuali kes khas seperti berkahwin. Jangan risau, hostel kita cantik. Kadang-kadang, abang pun confuse, duduk hostel ke hotel..

Hostel ke hotel?


3) Buku kena bawak dari Malaysia ke beli kat India?

Baik beli kat India, sebab buku medik kat Malaysia lebih mahal, dan nanti berat pula untuk dibawa dari Malaysia. Almaklumlah buku tebal-tebal..



4) Kat sana, nak pakai bank apa?

Ramai dalam kalangan senior yang guna Syndicate Bank. (mohon jangan gelak, serious jangan gelakkan nama dia)

Mulai tahun lepas, ramai yang beralih kepada ICICI Bank kerana polisi dan kualiti servis yang lebih mantap. Urusan pembukaan akaun bank akan diselesaikan secepat yang mungkin setibanya anda di India. Akan ada 'senior' yang membantu nanti. Mungkin akan gunakan Syndicate Bank ataupun bank lain, tertakluk kepada kehendak pihak USM-KLE.



5) Macam mana nak kirim duit dari Malaysia ke India?

Boleh gunakan Western Union ataupun boleh buka akaun Maybank 'PLUS'. Untuk pengetahuan semua, RM 12.00 (tidak termasuk GST) akan dipotong untuk setiap transaksi menggunakan Maybank 'PLUS'. Kad ATM dari Malaysia ini boleh digunakan di mana-mana ATM di India yang memaparkan logo 'PLUS'.

Contoh kad Maybank


Selain itu, boleh buka akaun CIMB Bank yang di atas kadnya tertera logo MasterCard dan Cirrus.




6) Cara untuk hubungi orang tersayang di Malaysia?

Kat India, kebanyakan daripada kami menggunakan telco Airtel. Caj yang dikenakan adalah amat murah bagi panggilan dan SMS di dalam India.

Untuk panggilan ke Malaysia (menggunakan Airtel), caj yang dikenakan adalah Rs. 3.60/minit (lebih kurang RM 0.20). SMS ke nombor Malaysia adalah Rs. 5 (lebih kurang RM 0.30). Namun untuk menikmati kadar ini, pengguna mestilah menambah nilai sebanyak Rs. 23 tanpa gagal pada setiap bulan.

Pakej Internet 3G juga amat berpatutan, contohnya untuk 1GB data hanya Rs. 255 (RM 16), 2GB hanya Rs. 455 (RM 28).

Jangan risau, kadar panggilan ke Malaysia amat berpatutan. Boleh gunakan Skype / WhatsApp / LINE dll. sebagai alternatif.



7) Kenderaan di Belgaum?

Di Belgaum khususnya dan di seluruh India amnya, khidmat beca tayar tiga (lebih dikenali sebagai auto-rickshaw atau auto) digunakan secara meluas. Anda tidak perlu tunggu di tepi jalan, anda boleh telefon pak cik driver auto untuk jemput anda walau di mana sahaja anda berada. Kelebihan menggunakan khidmat auto ini adalah khidmat ini mudah didapati. Namun kekurangannya, anda berisiko untuk ditipu jika tidak mahir tentang selok-belok tempat berkenaan.

Nadi pengangkutan utama di India


Selain auto, ada khidmat teksi Ola, lebih dikenali sebagai Ola Cabs. Perkhidmatan yang lebih selesa dan selamat, kian menarik perhatian ramai. Untuk menggunakan khidmat ini, anda perlu memuat turun aplikasi Ola Cabs di Play Store (untuk pengguna Android) atau di App Store (untuk pengguna iOS)

Anda juga boleh menggunakan khidmat bas awam jika anda rela bersesak-sesak di dalam bas awam berkenaan. Untuk ke destinasi yang jauh, boleh menaiki bas ekspress. Ada beberapa pilihan seperti bas berkerusi atau berkatil, berhawa dingin atau tidak.

Di Belgaum juga ada lapangan terbang domestik Belgaum, yang menghubungkan Belgaum dengan Bangalore dan juga Mumbai.




8) Makan-makan di Belgaum macam mana?

InshaAllah, banyak kedai yang halal di Belgaum. Makanan halal mudah didapati. Sedap-sedap pulak tu. (Patutlah ramai seniors naik berat badan bila di sana ya?)

Untuk first year, anda diwajibkan untuk ambil Mess (yakni Dewan Makan). Perlu bayar lebih kurang Rs. 4000/bulan. Lepas tu baru boleh masak sendiri.




9) Belgaum tu dekat dengan Taj Mahal ke?

Belgaum terletak di selatan India, manakala Taj Mahal terletak nun jauh di utara India. Untuk ke sana, anda perlu menaiki bas ke bandar besar seperti Bangalore atau Mumbai dan kemudian terbang ke Delhi dan menaiki bas atau kereta ke Agra dan seterusnya Taj Mahal.

Abang sendiri pun tak pernah sampai lagi di sini. Bulan 11 ini, inshaAllah..


Kalau belajar di India ni tapi tak pergi Taj Mahal, ibarat makan nasi lemak tapi takde sambal. (bukan abang kata, kawan abang yang kata)




10) Kemudahan sukan kat sana OK tak?

Kemudahan sukan di Belgaum boleh tahan, macam-macam ada. Bagi penggemar futsal, gelanggang futsal ada di belakang hostel. Up sikit, kalau nak main bola, ada padang bola tapi jauh sikit, dalam 3km dari kampus.

Gelanggang badminton


Anda bermain badminton sehebat Lee Chong Wei? Gelanggang badminton ada di sana, di Indoor Sports Complex, bersama gelanggang ping pong. Di sebelah Indoor Complex, ada kolam renang, bagi mereka yang suka berenang kuak kupu-kupu atau sebarang gaya yang anda suka.



11) Macam mana nak shopping kat sana?

Sedihnya Belgaum tak ada pusat beli-belah atau mall. Ada pun tempat beli-belah, cuma yang kecil-kecilan je. Paling besar yang Belgaum ada ialah Big Bazaar. Lebih kurang Tesco tapi kecil sikit. Kalau buntu shopping di Belgaum, boleh shopping online. Banyak laman beli belah atas talian, seperti eBay, Flipkart, Jabong, Myntra dan SnapDeal. Nak beli sayur pun boleh online, jangan terkejut!


Sekian sahaja entri untuk kali ini. Kalau ada soalan lagi, boleh komen di bawah, inshaAllah abang cuba balas secepat mungkin. Andai anda perlukan jawapan segera, boleh PM terus akaun Facebook abang.

27 Jul 2015

Tiup Habuk, Sapu Sawang

..السلام عليكم و رحمة الله و بركات

Salam sejahtera, semua. Maaf kerana gagal mengemas kini blog ini dengan lebih kerap. Semuanya gara-gara tuntutan belajar yang amat mencemburui saya untuk berpeluang menukilkan sesuatu di ruangan ini. Mestilah kena utamakan perkara yang lebih utama.



Percaya atau tidak, ini adalah entri pertama untuk tahun 2015. Banyak yang dah berlaku dalam beberapa bulan yang lepas. InshaAllah, saya akan gunakan masa cuti ini untuk kemas kini perkongsian yang berguna.

p/s: alhamdulillah, abang dah bergelar pelajar tahun 5 USM-KLE..