13 Mac 2014

Kehilangan

..السلام عليكم و رحمة الله و بركات

Salam sejahtera, semua.

13 Mac 2014, hari yang amat menyedihkan. Nenek saya telah kembali ke rahmatullah sekitar Asar (waktu Malaysia) sebentar tadi. Dari Allah kita datang, kepadaNya kita pasti pulang.

 "... Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." Al-Baqarah, 156 [2:156]

Gambar terakhir saya bersama arwah sewaktu hari raya yang lalu

Dengan rasa rendah dirinya, saya mohon sahabat semua sedekahkan al-Fatihah kepada nenek saya yang amat saya sayangi, Allahyarhamah Eshah bt. Ali, semoga roh arwah ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.




"Tiap-tiap diri (sudah tetap) akan merasai mati, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Kami (untuk menerima balasan)." Al-Ankabut, 57 [29:57]

Tak sangka, pertemuan sewaktu pulang bercuti akhir tahun 2 yang lalu adalah pertemuan terakhir saya dengan nenek saya yang tersayang. Berasa amat kehilangan kerana arwah begitu rapat dengan saya. Oleh kerana jarak antara rumah dan kampung yang dekat, di Tanah Merah, Kelantan, saya sering pulang ke kampung untuk menziarahi nenek dan saudara-mara. Malahan, selepas mendapat tawaran ke SM Sains Alam Shah (ASiS), Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM) dan kini di USM-KLE IMP, Belgaum, India; setiap kali cuti, tidak pernah saya gagal untuk pulang ke kampung untuk menjenguk mereka. Maafkan cucunda mu yang berada di India kerana tidak dapat pulang menziarahimu buat kali terakhir sebelum dikebumikan.

Kehilangan ini merupakan salah satu ujian daripada Allah S.W.T. kepada saya dan keluarga. Pelbagai bentuk ujian yang Allah berikan kepada kita semua, sama ada kita sedar atau tidak, sama ada kita mahu mengambil pengajaran atau tidak. Semuanya adalah kerana kasih sayang Allah S.W.T. kepada hamba-hambaNya.

Untuk pengetahuan pembaca blog sekalian, arwah merupakan salah seorang pembakar semangat saya untuk mengejar cita-cita sebagai seorang doktor. Kini, setelah separuh jalan belajar dalam bidang ini, ternyata Allah lebih menyayangi arwah nenek saya. Perjuangan ini tetap akan diteruskan, malahan akan lebih bersemangat.

Teringat pula sewaktu pulang bercuti baru-baru ini, setelah saya membeli 'sphygmomanometer' dan stetoskop, saya mengambil tekanan darah arwah. Saya juga mempraktikkan serba sedikit kemahiran pemeriksaan kesihatan umum yang telah saya pelajari sepanjang tahun 1 dan 2. Riak wajah arwah jelas gembira, membuatkan hati saya lebih gembira dan ingin menamatkan perjalanan saya dalam ijazah Doktor Perubatan dengan cemerlang. Namun, kini arwah tiada lagi. Hasrat untuk merawat beliau setelah bergelar doktor tidak akan menjadi kenyataan.

Satu lagi kenangan, pada suatu hari, arwah dijangkiti kulat di celahan jari kakinya. Arwah ada meminta bantuan saya untuk membeli ubat anti-kulat di farmasi. Saya mencari ubat yang terbaik untuk mengatasi masalah tersebut. Alhamdulillah, dengan izin Allah, penyakit itu sembuh. Saya nampak sebuah ekspresi wajah yang amat bahagia yang lebih mendorong saya untuk mengejar cita-cita bergelar Dr. Rashdan. Banyak lagi kenangan manis yang boleh saya huraikan, namun dibimbangi akan mengalir sungai air mata nanti.

Semenjak saya lahir, saya tidak pernah bertemu dengan datuk sebelah ibu yang telah kembali ke rahmatullah sebelum saya lahir lagi. Hanya diberi kesempatan untuk bertemu selama 8 tahun dengan nenek sebelah ayah, 10 tahun dengan datuk sebelah ayah, dan 22 tahun dengan nenek sebelah ibu. Kini, saya tiada lagi semua datuk dan nenek. Kepulangan ke Malaysia pada bulan Jun ini tidak akan sama lagi.

Ya Allah, terima kasih kerana memberikan aku masa untuk bertemu dengan mereka bertiga. Sesungguhnya aku amat merindui mereka. Tempatkanlah mereka dalam kalangan orang yang beriman. Kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihiku.

Tidak dilupakan, kepada ahli-ahli keluarga yang lain yang telah pergi dulu, semoga mereka juga ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.

Hanya Allah S.W.T. yang tahu detik kematian kita. Kita yang masih hidup ini, teruskan kehidupan kita untuk mencari bekalan untuk kehidupan yang kekal abadi - di akhirat sana. Jangan lupa doakan mereka yang sudah tiada, semoga mereka sentiasa dirahmati Allah S.W.T.

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnya kecuali tiga perkara : sedekah jariah, atau ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya." 
(Hadith Sahih - Riwayat Muslim dan lain-lainnya) 

Detiknya pasti tiba
Adakah kita bersedia?