29 Jun 2014

Lagu-Lagu Pilihan Ramadhan

..السلام عليكم و رحمة الله و بركات

Salam sejahtera, semua. Macam mana Ramadhan anda semua setakat ini? Mudah-mudahan anda dikurniakan kekuatan untuk menunaikan rukun Islam yang ke-4 ini.

Perlukan halwa telinga sempena Ramadhan ini? Dengarlah lagu-lagu yang berunsur ketuhanan dan nasyid, mudah-mudahan kita dapat memelihara deria pendengaran kita daripada unsur-unsur lagha. Sedap juga kalau dengar lagu-lagu sebegini, lebih-lebih lagi yang bertemakan Ramadhan. Namun, ingatlah, dengar lagu pun jangan sampai kita lupa untuk merebut pahala-pahala dalam bulan Ramadhan ini.



Senarai 12 lagu pilihan sempena Ramadhan al-Mubarak, disediakan sendiri oleh saya.

1. Iftar - Inteam 
2. Harapan Ramadhan - Man Bai & Raihan
3. Gema Mubarak - Inteam, Far East, Salleh Brothers 
4. Kemuliaan Ramadhan - UNIC & Inteam 
5. Ramadhan Dua Zaman - Inteam & Nazrey Johani
6. Ramadan (Malay) - Maher Zain 
7. Ramadhan Bulan Berkat - Hijjaz 
8. Ramadhan Tiba - Opick 
9. Rindu Ramadhan - Devotees 
10. Ramadhan Datang - Tompi 
11. Lord of Ramadhan - CoTU
12. Puasa Dulu Baru Raya - Raihan





Ini antara lagu kegemaran saya yang bertemakan Ramadhan. Sebenarnya ada lagi, tapi 12 lagu ini sahaja yang mampu saya senaraikan sebagai antara lagu yang baik untuk didengari. Semoga dengan mendengar lagu-lagu ini, bertambah semangat kita untuk menunaikan ibadah puasa dan melipatgandakan ibadah kita dalam bulan yang penuh barokah ini, inshaAllah.

Mungkin ada lagu lain yang saya tidak senaraikan di sini yang sering anda dengari? Kalau ada, komen di bawah ya.

28 Jun 2014

Gema Mubarak

..السلام عليكم و رحمة الله و بركات

Salam sejahtera, semua.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
.
“Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan puasa ke atas kamu sepertimana telah diwajibkan ke atas orang-orang daripada sebelum kamu. Semoga kamu bertaqwa.” (al-Baqarah: 183)


Salam Ramadhan al-Mubarak 1435H untuk semua pembaca setia blog ini, semoga kita semua diberikan kekuatan untuk menghadapi bulan yang penuh ujian ini dan juga diberikan kekuatan untuk beribadah. Rugi kalau tak dimanfaatkan bulan Ramadhan ini.



Ayuh kita jadikan Ramadhan ini yang terbaik yang pernah kita lalui. Siapa tahu, tiada lagi kesempatan untuk kita bertemu Ramadhan tahun depan?

Tahun ini saya tidak berpeluang untuk berpuasa walaupun sehari di perantauan seperti biasa iaitu di India. InshaAllah, sebulan penuh Ramadhan di Malaysia.

22 Jun 2014

Tetamu Istimewa

..السلام عليكم و رحمة الله و بركات

Salam sejahtera, semua. Siapakah tetamu istimewa yang saya maksudkan? Bukan seorang, tapi dua orang. Mereka merupakan tetamu jemputan OiC 2014 yang diterbangkan khas dari Malaysia, iaitu Dr. Zainur Rashid Zainuddin dan Ustaz Mus'ab Norkefli. Yang belum mengenali, Dr. Zainur Rashid merupakan Dean of Clinical School, International Medical University (IMU); Konsultan Obstetrik dan Ginekologi di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, Negeri Sembilan; dan juga Pengerusi Biro Luar Negara Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA). Ustaz Mus'ab pula adalah Penasihat ISMA India.

Selain menghadiri program OiC 2014, Dr. Zain terlebih dahulu mengadakan program ceramah di Manipal yang bertajuk '3D : Doctor, Dai'e, Distinction' yang dihadiri oleh ramai mahasiswa Malaysia di Manipal beberapa hari sebelum OiC 2014. Penuh masjid katanya.

Selepas OiC, Dr. Zain dan Ustaz Mus'ab ke Belgaum pula. Mereka datang ke Belgaum untuk menjayakan forum 'Umat Tenat, Di Manakah Kita?' yang berlangsung pada 13 Januari 2014, yang mana Dr. Zain bertindak sebagai pembentang.

Di suatu pagi yang tenang. Samudra USM-KLE sedang berlangsung.  
Dr. Zain dan Ustaz Mus'ab disapa mesra oleh Prof. Kamarudin Ja'alam

Petangnya sebelum ceramah bermula.

Alhamdulillah, program 'Umat Tenat, Di Manakah Kita?' pada sebelah malamnya mendapat sambutan luar biasa daripada mahasiswa Malaysia di Belgaum dan kawasan sekitar (Karad, Dharwad, Davangere). Dianggarkan hampir 300 peserta hadir pada malam itu, sehingga ada yang merelakan diri untuk duduk di atas lantai dan juga duduk di luar dewan semata-mata untuk mendengar perkongsian daripada Dr. Zain.

Meriahnya Lecture Hall 2, USM-KLE Belgaum!

Sampai melimpah ke luar! Terharu melihat sokongan warga Belgaum ni.

Ana kat luar, jual barangan Aman Palestin dan juga poster.
Saudara Nur Syafirul a.k.a. Choi, selaku pengacara pada program berkenaan.

Dr. Zainur Rashid Zainuddin yang amat berkarisma dalam menyampaikan ceramah ini, berjaya menarik perhatian ramai.
Prof KJ juga tidak ketinggalan untuk menyampaikan salah sebuah sajaknya.
Gambar kenangan Dr. Zainur Rashid dan warga Belgaum.

Keesokan harinya, kami berjaulah ke Amboli, Maharashtra, yang terletak kira-kira 70 kilometer atau kira-kira sejam setengah perjalanan dari Belgaum.

Wajah ceria di pagi hari

Berhenti sebentar di tepi jalan, sambil Dr. Zain bergambar dengan latar belakang yang menarik

Air terjun kecil yang kekurangan air kerana bukan musim hujan

Cerianya wajah akhi Asyraf Kosnan :)

Saujana mata memandang

Deretan rijal

Bergambar betul-betul di tepi gaung

Ustaz Mus'ab Norkefli

Dr. Zainur Rashid Zainuddin

Kedai di tepi jalan. Tak berapa yakin akan kebersihannya.

Cuba teka dia tulis apa?

Kera liar

Amboli Waterfall, kurang air sebab bukan musim monsun.

Jalannya sempit sahaja di tepi gaung.

Pak cik pakai kurta nak 'enterframe' jugak!

Al-Hafiz Ghazali, abang katang Belgaum terrr..

Bergambar kenangan bersama Dr. Zain

Dengan Ustaz Mus'ab pula, seorang murabbi

15 Januari 2014, tibalah waktu untuk Dr. Zainur Rashid dan Ustaz Mus'ab ke Dharwad pula untuk menjayakan program di sana dan seterusnya ke Bangalore. Setiap yang bermula pasti akan berakhir, setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Namun begitu, harapnya agar ukhuwah yang terjalin antara kami dan mereka tidak berakhir di sini sahaja, malahan akan berkekalan selamanya, dibina hanya kerana Allah S.W.T.


Pagi sebelum Dr. Zain dan Ustaz Mus'ab berangkat ke Dharwad. Pekena chai Hindi dan 'dosa' (tosai) dulu.

Bergambar di dalam bilik 206. Kalau boleh, nak jadi hebat macam insan di sebelah ana. Barulah betul-betul 3D : Doctor, Da'ie, Distinction. 'Peduli Ummah' menjadi tagline beliau.

Kunjungan mereka ke Belgaum amat istimewa kerana mereka adalah tokoh yang amat saya segani. Secara peribadi, saya berasa amat bertuah kerana dapat meluangkan masa bersama mereka. Bukan semua orang dapat peluang sebegini. Rasa rendah diri juga kerana mereka sudi berkunjung ke bilik saya walaupun serba kekurangan di dalam bilik 206 itu. Maafkan ana kalau layanan ana ada terkurang di sana dan sini.

Harap dapat jumpa lagi di kesempatan yang lain. InshaAllah, semoga ada rezeki lagi untuk Dr. Zainur Rashid Zainuddin dan Ustaz Mus'ab Norkefli ke India.

21 Jun 2014

OiC 2014

..السلام عليكم و رحمة الله و بركات

Salam sejahtera, semua. Agak lewat untuk mengemas kini acara yang telah berlangsung pada awal tahun tempoh hari kerana kesibukan sebagai seorang pelajar.

Alhamdulillah, pada 11 dan 12 Januari 2014, saya telah menyertai program Outdoor Iman Camp 2014 (OiC 2014) yang diadakan di Summersand Beach Resort, Mangalore, India. Program ini dianjurkan oleh Ikatan Muslimin Malaysia cawangan India (ISMA India).

Dengan bertemakan 'Fuel Your Future', acara ini dihadiri oleh 172 orang, rata-rata mereka terdiri daripada mahasiswa-mahasiswi Malaysia yang belajar dalam bidang perubatan dan pergigian di seluruh India. Program ini juga menampilkan tiga orang tetamu undangan yang istimewa kerana mereka diterbangkan khas dari Malaysia untuk menjayakan program ini. Mereka adalah Dr. Zainur Rashid Zainuddin sebagai Pengerusi Biro Luar Negara ISMA, Ustaz Mus'ab Norkefli sebagai Penasihat ISMA India dan Dr. Hasliza yang merupakan JK I-Medik Selangor.

OiC 2014, Mangalore, India.


Saya dan peserta-peserta lain dari Belgaum bertolak pada jam 11.15 malam pada 10 Januari 2014. Dalam perjalanan ke Mangalore kira-kira 420 km itu, kami singgah di Dharwad terlebih dahulu untuk menjemput peserta-peserta di sana untuk bertolak ke Mangalore bersama kami.

Perjalanan lebih panjang daripada biasa. Kami terpaksa berhenti solat Subuh di sebuah masjid di sebuah pekan kecil yang bernama Bhatkal. Untuk pengetahuan semua, masjid di India rata-ratanya tidak menyediakan ruang solat untuk wanita. Namun setelah memberi penerangan yang jelas, imam masjid tersebut membenarkan akhwat solat di situ. Selepas solat, imam masjid tersebut menawarkan sarapan kepada kami di rumahnya. Rezeki jangan ditolak. Sarapan yang sedap, iaitu air teh susu (chai) dan roti goreng.

Perjalanan masih jauh. Akhirnya pada jam 12.00 tengah hari, kami tiba jua di Mangalore, disambut mesra oleh para jawatankuasa OiC 2014. Perjalanan yang agak panjang sehingga ada sahabat saya muntah di dalam kereta.

Kami terlepas slot pertama iaitu ceramah yang disampaikan oleh Dr. Zainur Rashid yang bertajuk "Be A Superman". Tak mengapa, masih banyak slot yang boleh kami sertai. Terus masuk ke slot ke-2 iaitu "Jahiliah No More" oleh Dr. Hasliza. Walaupun penat, tetap tekun mendengar.

Petangnya selepas solat Zohor dan makan tengah hari, ada aktiviti yang amat menarik di tepi pantai iaitu 'Beach Sweat Challenge'. Tujuan utamanya adalah untuk mendidik sifat keberanian dan kejantanan di samping mengukuhkan ukhuwah antara para peserta.


Walaupun panas, namun tetap tenang kerana hubungan ukhuwah yang erat menyejukkan suasana.

Lautan yang belum kematian ombak

Sebahagian mahasiswa Malaysia di India beraksi di tepi pantai dalam acara futsal.

Dr. Zainur Rashid turut menyertai peserta lain

Salam bersalaman tanda ukhuwah yang mekar

Malamnya, ada forum yang bertajuk 'Melestari Cinta ke Syurga'. Ketiga-tiga tetamu jemputan menjadi panel forum berkenaan dan saudara Farris Hanafi bertindak sebagai moderator. Ramai ikhwah senyum malam tu, tak mengantuk ya? ;)

Forum sedang berlangsung. Amat menarik, rugi jika tidak memberi perhatian sepenuhnya kerana topik yang amat baik.

Tibalah masa untuk eksplorasi minda (ataupun bahasa mudahnya, tidur) pula setelah tamat program, di tempat penginapan yang amat selesa. Keesokan harinya, setelah bangun daripada tidur, solat Subuh berjemaah dan membaca al-Mathurat serta mendengar sedikit pengisian daripada saudara Asyraf Kosnan, diadakan pula acara Explorace.

Sebahagian peserta OiC 2014.

Akhi Hafizulfaiz bersama Dr. Zain dan Ustaz Mus'ab 

Kegigihan

Antara gelagat peserta sewaktu berlangsungnya acara Explorace 
Bergambar kenangan

Bukan sekadar bersuka ria, ada juga pengisian sepanjang permainan

Malaysia oh tanah airku

Buat apa dengan kelapa? Tok Moh Buaya ka? :D

Kumpulan saya dan kumpulan lagi satu

Ya Allah, kembalikanlah keamanan di Palestin, Mesir, Syria, Iraq, Afghanistan dan negara-negara Islam lain. 

Selepas acara Explorace, diadakan pula slot 'Tarbiyyah : Where True Muslims Are Created." Kemudian, diadakan Latihan Dalam Kumpulan (LDK). Setiap kumpulan perlu membuat poster mengikut nilai muwasafat tarbiyyah yang diberikan kepada mereka. Untuk kumpulan saya, kami mendapat nilai 'Akidah Yang Sejahtera'.

Ustaz Shin Chan

Setiap yang bermula pasti akan berakhir. Begitulah Outdoor Iman Camp kali ini. Namun begitu, program ini meninggalkan kesan yang amat baik untuk diri ini dan juga para peserta lain. Pelbagai kenangan manis terukir di Mangalore.


Ucapan daripada saudara Muhsan, pengarah projek OiC 2014.

Mewakili kumpulan saya yang berjaya meraih gelaran anugerah terbaik untuk Explorace

Akhi Rafi, kumpulannya berjaya menang Beach Sweat Challenge

Akhi 'Isa yang memenangi Anugerah Peserta Terbaik OiC 2014. Hidup OASiS SaVIour di India!

Syazwan Hazim, junior saya di USM-KLE, menang Anugerah Peserta Paling Comel :D

Alhamdulillah, OiC 2014 amat baik secara keseluruhannya, dari segala sudut. Tak mahu cakap panjang kerana semuanya terbaik. Tahniah kepada pihak penganjur. OiC 2015, jika diadakan, inshaAllah jika tiada aral melintang, saya akan cuba hadirkan diri.