27 Jul 2014

Salam Lebaran

..السلام عليكم و رحمة الله و بركات

Salam sejahtera, semua. Entri kali ini berkisarkan perjalanan pulang ke Malaysia tempoh hari dan juga ucapan hari raya.



Alhamdulillah, setelah lulus Peperiksaan Ikhtisas-II (Pro Exam-II), minda ini tidak berhenti memikirkan untuk pulang ke Malaysia, bercuti selama 3 bulan. Almaklumlah, seperti setiap tahun, pulang ke tanah air, tidak sabar untuk bertemu insan yang tersayang di Malaysia.

Walaupun penerbangan pulang saya ke Malaysia adalah pada 1 Jun 2014, namun saya berhasrat untuk ke Bangalore awal sedikit, 2-3 hari awal kerana ingin bersiar-siar sekitar bandar raya itu di samping membeli-belah sedikit cenderahati kepada keluarga dan rakan-rakan serta tidak dilupakan, menziarahi rakan-rakan yang belajar di Bangalore. Alhamdulillah, terima kasih kepada sahabat saya, Hasbi dan Faiz kerana memberi penginapan yang amat selesa di rumah mereka.

Ke Bangalore ke kita?

Balik kampung!

Lapangan terbang Bangalore yang berwajah baharu!

Rakan-rakan sepenerbangan
Tidak seperti tahun-tahun sudah, penerbangan AirAsia kini bertukar waktu penerbangan daripada petang ke malam. Menaiki penerbangan AirAsia AK52, saya bertolak ke Kuala Lumpur pada jam 12.00 tengah malam (2.30 pagi waktu Malaysia) dan tiba di Kuala Lumpur International Airport 2 (klia2) 4 jam kemudian.

Untuk makluman pembaca, klia2 amat besar dan padat. Maka, sila datang awal ke lapangan terbang ini agar tidak tergesa-gesa. Yang penting, klia2 jauh lebih selesa berbanding LCCT. Kalau di Facebook ni, nak like banyak-banyak kali.


Besarnya klia2!

Jauh lebih hebat berbanding LCCT

Ke Kota Bharu ke kita?

Lebih selesa dalam suasana berhawa dingin

'Aerobridge' yang dibanggakan

Setiap pintu ada ruangan menunggu yang amat istimewa

Kemudahan yang tiada di LCCT

Bersedia untuk pulang ke kampung halaman

Rasa bersyukur bila dapat pulang ke Kelantan setelah setahun di perantauan.

Alhamdulillah, kembali ke pangkuan keluarga pada jam 2.30 petang, 2 Jun 2014. Kerinduan yang ditanggung setelah sekian lama akhirnya terubat jua. Bakal bercuti selama tiga bulan di Malaysia, akan dimanfaatkan sebaik mungkin.

Terima kasih kepada Amin dan Adli, graduan Vanderbilt University yang sudi menjemput saya di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Kota Bharu.

Tahun ini, memandangkan cuti yang agak lama, maka saya tiada kesempatan untuk berpuasa di India. Sebulan penuh di Malaysia. Tak terasa semangat pulang beraya seperti tahun-tahun lalu, namun masih membara semangatnya.

Baiklah, tamat sudah cerita pulang ke tanah air. Ayuh beralih kepada hari raya. Alhamdulillah, tamat sudah sebulan berpuasa. Tibalah masa untuk kita semua meraikan kemenangan dalam berjuang melawan hawa nafsu sepanjang sepurnama yang lalu.

Salam Aidilfitri kepada semua umat Islam di serata dunia, terutamanya kepada ibu bapa, adik-beradik dan kaum keluarga di Kelantan, Pahang dan di mana sahaja, dan kepada sahabat handai serta kepada sesiapa yang mengenali diri ini. Mohon maaf zahir dan batin atas semua kesalahan saya selama ini.



Tahun ini saya beraya di Kota Bharu, Kelantan. Kepada rakan-rakan, sahabat-sahabat yang ingin berkunjung ke rumah sempena hari raya ini, mohon maklumkan terlebih dahulu, inshaAllah saya akan cuba luangkan masa. Anda semua amat dialu-alukan untuk beraya di rumah.

Taqabbalallahu minna wa minkum (semoga Allah menerima amalan aku dan kamu).


Alamat rumah saya : 2581-F1-01, Blok F, Perumahan Polis Wakaf Mek Zainab, 15300 Kota Bharu, Kelantan.

Mudah-mudahan hari raya kali ini menambahkan keimanan kita terhadap Allah S.W.T. untuk menjadi hambaNya yang taat. Meskipun Ramadhan sudah berlalu, namun semoga semangatnya kekal di dalam diri kita, inshaAllah.

6 Jul 2014

Ke Mumbai Ke Kita?

..السلام عليكم و رحمة الله و بركات

Salam sejahtera, semua. Entri kali ini adalah bertujuan untuk berkongsi sedikit gambar-gambar menarik di Mumbai, India.

Macam kenal tempat ni. Pernah muncul dalam salah satu babak dalam filem Mann.


Kunjungan ke Mumbai pada 1 dan 2 Februari 2014 yang lepas adalah kunjungan kali kedua saya ke sana. Setelah belajar selama tiga tahun di India, akhirnya ada juga kesempatan untuk makan angin di sana. Pada kunjungan yang lepas, saya tidak sempat untuk berkunjung ke tempat-tempat menarik di sekitar Mumbai kerana ada tujuan lain.

Saya bersama junior saya, Afirul Afiq (Afi) dan beberapa orang pelajar tahun 1 bertolak dari Belgaum pada jam 10.45 malam. Perjalanan sejauh 485 km itu mengambil masa kira-kira 8 jam. Setibanya di Mumbai, saya dan Afi ke Chhatrapati Shivaji International Airport, Mumbai untuk menjemput rakan-rakan Afi yang baru tiba dari Jordan melalui Doha, Qatar.

Welcome to Mumbai

Suasana di lapangan terbang

Agak berdrama pada mulanya kerana kami tidak pasti sama ada rakan-rakan Afi masih berada di lapangan terbang itu atau tidak kerana kesukaran untuk berhubung. Hanya bergantung kepada Internet. Alhamdulillah, rakan Afi menghubunginya menggunakan WhatsApp, syukurlah tiada apa-apa yang berlaku. Mereka berada di Aifa Residency, Sakinaka, yang terletak tidak jauh daripada lapangan terbang.

Penginapan di Aifa Residency amatlah selesa, sesuai untuk mereka yang mementingkan bajet. Kurang daripada Rs. 2000 (RM 100) untuk semalaman. Bilik yang berhawa dingin, lokasi yang berdekatan dengan lapangan terbang menjadikan tempat ini amat baik dan sesuai untuk diduduki jika berkunjung ke Mumbai.

Aifa Residency. Di sinilah saya terjumpa seorang bekas buruh yang pernah bekerja di Johor Bahru, sekarang dia tinggal di New Delhi. Dia berkongsi kisah dukanya iaitu hilang lima jari kaki dek kemalangan di tempat kerja.

Sarapan dulu deh. Murah benar.

Percayakah anda, makanan ini berharga kurang daripada RM 2.00? Inilah India.


Antara tempat yang sempat dikunjungi sewaktu di Mumbai:

GATEWAY OF INDIA

Destinasi pertama, Gateway of India yang terletak di Colaba. Sedikit sejarah mengenai Gateway of India - monumen ini dibina bersempena kunjungan King George V dan Queen Mary ke India pada Disember 1911, dan akhirnya siap pada tahun 1924.


Gateway of India yang dipenuhi dengan ramai pengunjung. Ramai juga jurugambar segera di sini yang akan terus mengganggu anda jika anda tidak menolak pelawaan mereka.

Selfie sikit. Rashdan | Afi | Taufiq

Orang jauh datang bertandang.  Mereka ini merupakan pelajar Jordan University of Science and Technology (JUST), Irbid, Jordan dalam jurusan pergigian.

Gateway of India tersergam indah

Burung merpati di sekitar kawasan itu

Gateway of India dari kejauhan

Bot pelbagai saiz, ada yang mewah dan juga yang biasa, menuju ke pelbagai destinasi

Kereta kuda yang cantik, se'cantik' harganya. Tak mampu.



THE TAJ MAHAL PALACE HOTEL

Hotel ini merupakan hotel lima bintang yang terletak bersebelahan Gateway of India. Sebenarnya hotel ini terdiri daripada dua bangunan iaitu Taj Mahal Palace yang mempunyai 7 tingkat dan Taj Mahal Tower yang mempunyai 22 tingkat. Antara orang kenamaan yang pernah menginap di sini adalah The Beatles, Bill Clinton, The King & Queen of Norway, The Duke & Duchess of Kent, The Duke of Edinburgh, The Prince of Wales, Angelina Jolie, Brad Pitt,Hillary Clinton, Barack Obama, Michelle Obama dan Oprah Winfrey.

Hotel yang dibuka sejak Disember 1903 ini amat terkenal apabila serangan pengganas di Mumbai pada tahun 2008. Kerosakan yang berlaku amat teruk, namun kini semuanya kembali seperti biasa. Bangunan ini amat indah dan tidak nampak celanya.


Sebahagian bangunan Taj Hotel

Taj Mahal Tower, macam bangunan Parlimen Malaysia. 
Dari satu sudut

Para pelancong tidak dibenarkan mengambil gambar secara dekat, dibimbangi serangan pengganas akan kembali. Macam pelik je alasannya.


JEHANGIR ART GALLERY

Galeri ini terletak di kawasan Kala Ghoda. Galeri ini dibuka pada tahun 1952. Kos pembinaan galeri ini ditampung sepenuhnya oleh Cowasji Jehangir. Walaupun kami tak berapa minat kesenian, namun sebab pemandu pelancong kami menyarankan supaya kami singgah, tak salah jika mencuba kan? Hasilnya tidaklah mengecewakan.

Pintu masuk yang unik

Suasana di luar galeri

Pameran gambar yang amat artisitik

Sebenarnya tak boleh ambil gambar, tapi belasah je. Tengok gambar-gambarnya, cantik.

Lukisan yang dijual di jalanan

Gelang dan rantai banyak dijual di luar bangunan galeri


JUHU BEACH

Pantai ini terletak di bahagian utara Mumbai, di pesisiran Laut Arab. Di kawasan pantai ini, terdapat banyak kedai yang menjual makanan yang terkenal di India seperti 'bhel puri' dan 'pani puri'. Berbeza dengan Malaysia yang pada kebiasaannya, kedai-kedai di tepi pantai yang menjual makanan yang berasaskan makanan laut, di sini mereka menjual makanan yang berasaskan sayur-sayuran sahaja kerana menjaga diet mereka yang 'vegetarian'. Maka, andai anda ingin mencari makanan yang berasaskan daging, ini bukanlah tempat yang tepat.


Kalau anda mahu mandi-manda juga, ini bukanlah tempat yang sesuai. Nak tahu sebabnya? Jom tengok gambar-gambar di bawah.


Juhu

Antara kedai yang menjual snek di tepi pantai

Minuman juga dijual di sini pada harga yang berpatutan

Sejujurnya, saya tidak berani makan di tempat sebegini, bimbang andai terkena cirit-birit. Memang terliur, tapi tak mengapalah.

Juhu Beach

Udara tak berapa baik, berjerebu.

Pantai yang amat kotor, sampah ada di mana-mana. Air yang kotor, tapi masih ada yang sanggup mandi. Mungkin mereka sudah imun dengan penyakit.

Bukan tidur, tapi cahaya matahari sangat terik


HANGING GARDENS OF MUMBAI

Secara jujurnya, saya tak pasti kenapa taman ini diberi nama sebegitu. Tak nampak tergantung pun tamannya. Mungkin kerana lokasinya yang terletak di atas bukit, iaitu di Malabar Hill. Taman ini juga dikenali sebagai Pherozeshah Mehta Gardens. Pada waktu senja, tempat ini menyajikan pemandangan matahari terbenam yang amat indah. Namun begitu, saya tidak berpeluang untuk menyaksikan keindahan tersebut kerana kami berkunjung ke taman itu pada waktu tengah hari. Keunikan taman ini adalah pada jalan di dalam taman ini yang menunjukkan huruf 'QME' secara berangkai daripada pandangan atas udara.


Kasut siapa ni?

Suasana di dalam taman
Entah mengapa sewaktu saya berkunjung ke sini, tiada pokok-pokok yang dihias mengikut pelbagai bentuk seperti yang Encik Google tunjukkan.


CHHATRAPATI SHIVAJI TERMINUS

Lebih popular dengan nama VT Station, tempat ini merupakan nadi pengangkutan awam di Mumbai. Tempat ini menjadi hub pengangkutan yang utama di Mumbai yang menyediakan perkhidmatan pengangkutan utama seperti kereta api, bas dan juga teksi.

Untuk pengetahuan anda, di sini jugalah tempat yang penting sewaktu serangan pengganas pada tahun 2008. Tempat ini juga pernah menjadi tempat penggambaran filem, contohnya Slumdog Millionaire.


Pernah tengok dalam filem?

Di belakang itu ada stesen kereta api. 

Sebenarnya banyak lagi gambar-gambar lain yang sempat saya ambil sewaktu di Mumbai. Antaranya:


Ciri-ciri seni bina lama di Mumbai. Saya tak pasti nama bangunan ini.

Pemandangan biasa di Mumbai (dan di bandar-bandar lain di India). Sesiapa yang pernah menonton filem Slumdog Millionaire pasti dapat gambaran yang lebih jelas.

VT Station daripada luar

Suasana di Palladium Mall

Hard Rock Cafe, Mumbai. Singgah je, tak beli apa-apa pun, tak makan minum pun.

Rumah Amitabh Bachchan. Nampak kecil, tapi sebenarnya memanjang ke belakang.

Rumah Datuk Shah Rukh Khan. Nak jumpa dia, memang harapanlah. Nak bergambar dengan penjaga keselamatan rumah dia pun dia tak sudi, tolak dengan cara baik.

Beg tangan yang murah dan berkualiti tinggi. Kepada pembaca wanita, sila histeria. :D

Hasil tangkapan di Mumbai


Maka, berakhirlah perjalanan di Mumbai selama dua hari itu. Rombongan dari Jordan itu bersama saya dan Afi, pulang ke Belgaum. Mereka akan ke Goa pula selepas itu. Alhamdulillah, perjalanan di Mumbai tiada sebarang masalah, semuanya berjalan lancar. Setiap perjalanan yang saya lalui, pasti ada sesuatu yang baru yang dipelajari.

Ternyata, nasib kita jauh lebih baik daripada majoriti penduduk Mumbai. Apabila mendapat tahu yang 55% penduduk Mumbai tinggal di rumah setinggan, makin menebal rasa kesyukuran. Jika anda mengeluh kerana tidak cukup itu dan ini, renung kembali.

Pemandangan tipikal di kawasan setinggan di Mumbai. Ya Allah!

Semoga kita semua sentiasa diberkati Allah. Sekian sahaja perkongsian saya daripada perjalanan saya ke Mumbai yang lalu. Terima kasih kerana sudi membaca.