12 Jan 2016

Pengalaman LASIK

LASIK? Mungkin ada yang pernah dengar mengenai LASIK. LASIK atau nama panjangnya Laser-assisted in situ keratomileusis, ialah pembedahan pembetulan penglihatan untuk ralat pembiasan (rabun jauh dan dekat, dan astigmatisme) yang popular dan berjaya di seluruh dunia.

Awalnya, memang ada terfikir nak buat LASIK, tapi masih menunggu masa yang sesuai. Tambahan pula, kerjaya sebagai seorang doktor kelak menuntut saya untuk mempunyai penglihatan yang baik. Sudah lebih 10 tahun memakai cermin mata, sejak Tingkatan 1. Saya berhasrat untuk melalui pembedahan LASIK dengan harapan supaya hidup saya akan jadi lebih mudah. 

Akhirnya masa itu tiba jua, bulan lepas. Sebelum itu, ada tanya salah seorang kawan yang cadangkan saya untuk ke sebuah klinik di Belgaum ini untuk lakukan pembedahan. 

Kawan saya syorkan untuk ke klinik ini, maka saya menurut perintah. Servis yang baik, saya juga syorkan kawan-kawan yang lain untuk ke sini.

Sebelum pembedahan, macam biasa, kena pergi temu janji bersama doktor. Buat pre-check mata dan juga consultation. Syukur, mata saya sesuai untuk dibedah. Bukan semua orang layak untuk buat LASIK tau.

Power sebelum ini dalam 300 untuk kedua-dua belah mata. Teruja juga untuk melalui pembedahan ini, selama ini belajar Ophthalmology, belajar sekali harung, sekarang dah lupa. Dulu masa Ophthal, tak belajar pun pasal LASIK ni rasanya, or else memang saya dah betul lupa.

Syukurlah tak payah tunggu giliran lama, tak sampai seminggu kemudian, pembedahan dijalankan. Masa pun sesuai, kalau tak, tak tahu bila lagi saya akan ada masa sebab selepas ini, memang akan sangat sibuk untuk "berperang". 25 Disember 2015, selepas tamat posting Family Medicine, saya dan 7 orang pesakit lain menjalani perubahan di salah sebuah klinik di Kolhapur, Maharashtra. 100km dari Belgaum. Boleh tahan jauh, tapi tak mengapa, pengangkutan percuma. Saya bertolak seawal 8.15 pagi ke sana.

Dalam pukul 10.00 pagi, tiba di klinik berkenaan. Dapat breakfast percuma, idli dan chai. Tunggu punya tunggu. akhirnya giliran untuk dibedah tiba jua sekitar jam 12.00 tengah hari. Cuak juga! Ok, masuk bilik bedah, doktor akan sapu iodine untuk mensterilkan mata dan selepas itu diberi ubat bius lokal (local anaesthesia) dalam bentuk titis. Tunggu lagi giliran..

Dalam bilik bedah tu, doktor suruh baring atas katil dan kemudian prosedur pembedahan dimulakan. Gementar, cuak, berdebar, ketar, semua ada, sebab sepanjang pembedahan, memang akan sedar sepenuhnya. Jangan risau, tak sakit pun, kalau sakit pun, sakit macam kena gigit semut je. Tambah cuak bila ada bau hangit, bau laser membakar.

Macam ni lah mata saya ketika pembedahan dijalankan. Tak sakit langsung, tapi cuak sebab nampak semua prosedur, termasuklah cahaya laser itu sendiri.


Nak dipendekkan cerita, untuk pembedahan LASIK ini memerlukan doktor untuk buat satu lapisan nipis (flap) kornea, menggunakan laser, Bila dibuka kornea tu, memang kabur pandangan mataku. Tak pernah rasa sekabur itu. Pembedahan hanya mengambil masa kira-kira 10 minit, 5 minit untuk sebelah mata.

Dah selesai pembedahan, memang pandangan kabur, mata rasa berpasir, kering amat. Pedih dia tak payah cerita, sakitnya tuh di mata ini. Doktor ada bekalkan kaca mata ala-ala goggle makmal. Kena pakai goggle tu selama 8 hari. Malulah ana!

Betul-betul selepas pembedahan, berehat dulu sebelum pulang ke Belgaum. Memang mata rasa pedih dan berpasir.


Sebelum balik ke Belgaum, doktor panggil balik dan test pandangan mata. Alhamdulillah, terus 6/6! Doktor tulis preskripsi, suruh dapatkan ubat titis di KLE Pharmacy, Belgaum. Paling terkejut, doktor cakap boleh mandi tapi tak boleh kena kepala selama 8 hari! Maaf doktor, saya terpaksa langgar pantang yang ni. Mana boleh mandi tak bersihkan kepala..

Penglihatan tak pulih dengan segera, tapi secara beransur-ansur. Semakin hari semakin baik, yang penting, jangan lupa titiskan ubat setiap hari. Sila jaga mata anda, nak guna lama. Walaupun langgar pantang larang doktor supaya tak mandi selama lapan hari, tapi masa mandi tu saya tutup mata rapat-rapat, tak beri peluang air untuk masuk mata, or else kena jangkitan nanti, susah!
 
Harga keseluruhan prosedur ini di Belgaum? Dalam Rs. 40,000 atau bersamaan kira-kira RM2700. Kalau di Malaysia, boleh cecah RM6000 - RM7000! Sebab itu, sementara masih ada waktu yang tersisa di India ni, baik buat pembedahan ini.

Alhamdulillah, setelah lebih 10 tahun memakai cermin mata, kini saya kembali bebas daripada kaca mata. Dapat kembali melihat dunia ini dengan luas, seluas-luasnya, sepuas-puasnya. Segala puji hanya kepada Allah S.W.T.


Alhamdulillah, bebas kaca mata. Semoga gambar doktor kacak ini tidak viral di laman sosial. Jangan tak cam saya pula lepas ni.


p/s: kadang-kadang tercari juga mana spek mata, dah terbiasa, padahal dah tak perlu pakai.

Wallahuallam, semoga perkongsian ini bermanfaat buat semua pembaca blog ini.