29 Apr 2012

Kisah & Lagu #4 : Standing In The Eyes Of The World

Assalamualaikum, salam sejahtera 1 Dunia!




Kali ni, segmen Kisah & Lagu menampilkan lagu "Standing In The Eyes Of The World" dendangan ratu rock Malaysia, Ella.




Pahit getir hidup... dan pengorbanan
Terpaksa dihadapi, demi kejayaan
Terdidik sejak mula, tabah berusaha
Tanpa cuba melangkah, tak kemana
Di mana kau berada
Pencapaian tak tiba dengan mudah

Kini "Standing In The Eyes Of The World"
Hanyalah selangkah dari nyata
Keazaman membara dijiwa
Menanti saat bebas merdeka
Tiba masa kau melangkah gagah
Bersemangat ke arah matlamat sedaya upaya
Engkau terunggul
Wajar "Standing In The Eyes Of The World"

Harapan yang pernah terkulai layu
Kembali segar mekar bawah bayanganmu
Setiap manusia ingin berjaya
Namun tak semua miliki tuah
Engkau menghampirinya
Kesempatan telah pun tiba...


Lagu ni banyak kenangan kepada aku. Lagu ni banyak digunakan di kem atau kursus motivasi untuk menaikkan semangat para peserta program. Banyak program yang aku sertai, tapi lagu ni tetap tak bosan. Lagu ini jugak lagu kegemaran rakan karib aku, Khairul Amin. Alhamdulillah, beliau pun sedang meniti perjalanan untuk 'standing in the eyes of the world'. Aku percaya yang dia akan jadi orang yang hebat satu hari nanti.

Untuk pengetahuan korang jugak, lagi ini juga merupakan lagu rasmi untuk Sukan Komanwel 1998, di Kuala Lumpur. Masihkah korang ingat? Masa tu aku kat tadika lagi, umur baru 6 tahun. Sebenarnya lagu ni ada dua versi. Versi Bahasa Melayu dinyanyikan oleh Ella, manakala versi Bahasa Inggeris pula oleh David Gates. Namun, pada pendapat aku, versi Ella lagi best! Mungkin sebab lebih sinonim kepada aku dan kerap didengar, tapi versi Bahasa Inggeris pun boleh tahan. Yang penting, kedua-dua versi membawa misi yang sama - membakar semangat.

Kebetulan pula, minggu ini, kami (pelajar perubatan USM-KLE dan USM tahun pertama) akan menghadapi peperiksaan Selanjar 3. Kalau dulu-dulu, sebelum ke dewan peperiksaan, aku mesti dengar lagu ni kat bilik. Sekarang pun aku masih meneruskan amalan itu. InsyaAllah, dengan semangat, dorongan dan iringan doa, sama-sama kita menempuh peperiksaan kali ini dengan gemilang dan cemerlang.. Doakan kami semua!

Sekian dahulu segmen Kisah & Lagu pada minggu ini. Minggu hadapan, mudah-mudahan dapat aku berkongsi lagi dalam segmen ini.

24 Apr 2012

Menghampiri Selanjar 3

Assalamualaikum, salam sejahtera 1 Dunia.

Sekali lagi, kami, pelajar USM-KLE International Medical Programme seramai 83 orang akan menduduki peperiksaan Selanjar 3 pada minggu hadapan.


Hidup sebagai pelajar medik ni memang dipenuhi dengan exam, so just bear with it. Untuk kebaikan jugak ni.. Jadual exam minggu depan:

Waktu yang tertera tu adalah waktu India yer.
Peperiksaan kali ini sekali lagi dilakukan serentak dengan USM Kubang Kerian, kerana kami akan jawab soalan yang sejibik-sejibon sama sahaja.. Takut pulak soalan bocor nanti kan...


Nervous sikit lah, sebab Selanjar 3 ini angat penting demi menentukan nasib aku nanti final exam nanti. Kalau aku skor banyak dalam Selanjar 3 ni, ringan sikit beban aku nanti final exam. Aku dah ada lebih kurang 12/20 markah hasil Selanjar 1 dan 2. Selanjar 3 ni kasi skor lebih sikit. Selanjar 3 ini pun menyumbang 10% daripada markah final nanti. Final exam nanti akan menyumbang 70% markah keseluruhan. Untuk lulus, kena dapatkan markah keseluruhan sebanyak 50%. Kalau lulus final exam nanti, barulah dapat pulang ke Malaysia dengan hati yang tenang sambil berhari raya. :)


Aku dalam proses menyediakan diri aku lah sekarang ini... Nak kumpul sebanyak mana informasi dan pengetahuan untuk aku gunakan sepanjang pengajian dan juga karier aku sebagai seorang doktor nanti, insyaAllah. Aku ada masa sampai hari Ahad, 29 April 2012 untuk mengulang kaji. 1 Mei nanti pun cuti, sebab Hari Pekerja kan. Boleh la curi masa kat situ jugak.

Akhir kata, doakan kami semua berjaya menempuh peperiksaan ini. Doakan kami supaya dipermudahkan urusan kami dan semoga mendapat idea-idea yang bernas ketika menjawab peperiksaan. Sekian dulu untuk kali ini. Terima kasih :)

Percaya pada diri dengan harapan dan keyakinan.

23 Apr 2012

Kisah & Lagu #3 : Melati Di Tapal Batas

Assalamualaikum, salam sejahtera 1 Dunia!

Oleh kerana sedikit masalah, segmen Kisah & Lagu ini terlewat sehari. Namun, untuk minggu ini sahaja segmen ini di'post' pada hari Isnin yer. Minggu depan, kembali semula pada hari Ahad.


Lagu yang bertuah untuk dimasukkan dalam segmen ini pada minggu ini adalah lagu 'Melati Di Tapal Batas', nyanyian J. Mizan.




Engkau gadis muda remaja
Bagai sekuntum melati
Engkau semboyan jiwa raga
Di tapal batas berbakti

Engkau dinamakan srikandi
Pendekar putih sejati
Engkau turut jejak pemuda
Turut mengawal negara

Oh pendekar putri nan cantik
Dengarlah panggilan Ibu
Sawah ladang rindu menanti
Akan sumbangan baktimu

Duhai putri muda remaja
Suntingan kampung halaman
Kembali ke pangkuan Bunda
Berbakti kita di ladang

Oh pendekar putri nan cantik
Dengarlah panggilan Ibu
Sawah ladang rindu menanti
Akan sumbangan baktimu

Duhai putri muda remaja
Suntingan kampung halaman
Kembali ke pangkuan Bunda
Berbakti kita di ladang


Apa kenangan aku di sebalik lagu ni? Sebenarnya lagu inilah lagu pertama yang aku nyanyikan secara solo. Aku pun tak tahu sebenarnya yang aku ada jugak bakat sikit walaupun tak hebat, dalam bidang nyanyian. Peristiwa ini berlaku pada tahun 2008, semasa aku tingkatan 4. Aku dijemput untuk buat persembahan pada Malam Ambang Kemerdekaan di sekolah pada masa tu.

Masa ni kurus lagi :D
Sebenarnya, pada mulanya aku bertanding untuk mewakili rumah Bendahara dalam pertandingan Bulan Kemerdekaan. Alhamdulillah, aku dapat nombor 2, di belakang Hafiz Zainal, sensasi baru YouTube. Tak sangka pulak dapat nombor 2. Aku mana pernah menyanyi sebelum ni. Hasil latihan dalam bilik air kot. Hehe.. 

Apa-apa pun, lagu inilah yang membuat aku lebih mengeksplorasi minat aku dalam bidang nyanyian. Akhirnya, aku banyak meraih keyakinan diri hasil daripada membuat persembahan di atas pentas. Ada la beberapa kali aku diundang untuk buat persembahan, tapi aku tak sepopular dan tak sehebat Hafiz Zainal. Bakat yang aku ada ni suam-suam kuku saje :)

Baiklah, setakat ini dahulu segmen Kisah & Lagu untuk kali ini. Bertemu lagi di minggu hadapan, insyaAllah.

15 Apr 2012

Kisah & Lagu #2 : Memori Tercipta

Assalamualaikum, salam sejahtera 1 Dunia!

Minggu ni, aku nak berkongsi kenangan tentang lagu lain pulak, iaitu lagu "Memori Tercipta" dendangan Shila Amzah. Apa kenangan aku di sebalik lagu ni?








Bergetar jiwa dipersada bercahaya
Pertemuan harapan pertama kalinya
Bergetar jiwa menghadapi mimpi-mimpi
Sukar dipercaya pintunya terbuka

Di sini jua memori tercipta
Walau seketika terjalin kasih kita
Mungkin disini kita kan terpisah
Kenangan bersama tiada kulupa

Mengalun suara sesuri bisikan hati
Seiringan mencari haluan berseni
Bergetar jiwa menghadapi mimpi-mimpi
Tiada pon terduga pintunya terbuka

Di sini jua memori tercipta
Walau seketika terjalin kasih kita
Mungkin di sini kita kan terpisah
Kenangan bersama tiada ku lupa

Yang terpahit jua termanis
Semuanya bagiku terindah
Kuingati buat selama-lamanya


Aku dengar lagu ni untuk kali pertama kat sekolah dulu, masa tingkatan 5. Lagu ni dibuat sebagai lagu latar untuk video kenangan kami di Tingkatan 5. Ini videonya:



Sejak itu, bila aku terdengar je lagu ni, aku terus teringat dekat video yang kat atas tu. Serta teringat kepada kehidupan aku di sekolah dulu. Rindu pulak. Lirik pun touching pulak tu.

Kalau aku pandai buat video, mesti aku dah buat video, untuk kawan-kawan yang telah lama aku tinggalkan, seperti rakan-rakan seangkatan di SK Ismail Petra 1, SMK Ismail Petra, SMS Alam Shah dan Pusat Asasi Sains Universiti Malaya. Kalau dah lama tak berhubung tu, bukan tandanya aku tak ingat korang semua, cuma adalah sebab-sebab tu, macam kekangan masa dan kesibukan yang berpanjangan. Cukuplah sekadar aku kenang korang dalam doa aku. :)

Setakat ini dahulu perkongsian aku untuk minggu ini. Tunggu entri yang akan datang pula. Kisah & Lagu hari Ahad nanti, akan kembali lagi, insyaAllah..

8 Apr 2012

Kisah & Lagu #1 : Terima Kasih Semua

Assalamualaikum, salam sejahtera 1 Dunia!

Mulai minggu ini, setiap hari Ahad, aku akan buat segmen 'Kisah & Lagu', setiap hari Ahad, setiap minggu. Segmen ni bertujuan untuk mengimbau kenangan dahulu kala, yang berkaitan dengan lagu. Mesti kita ada kenangan di sebalik lagu-lagu yang kita dengar setiap hari kan? Di sini, ruang untuk aku berkongsi dengan seantero dunia tentang cebisan kenangan aku, di samping mempelbagaikan isi kandungan blog ni..

Baiklah, lagu pertama yang bertuah untuk dimasukkan dalam segmen 'Kisah & Lagu' ini adalah lagu Terima Kasih Semua, dendangan kumpulan The Official.




Saat ku terjaga
Redupku merenungnya
Senyuman tercipta
Dan sudah ditawan
Segala cabaran
Segala dugaan
Dan sudah dirasa
Sudah dibina
Impian kita
Di puncak dunia
Di sini kita akhirnya sampai jua
Tapi semua hanyalah
Sementara, sementara
Tiada yang kan kekal selamanya

Terima kasih semua
Syukurku pada yang Esa
Kernaku masih berdiri
Sendiri
Untuk diri ini
Telah ku katakan semua
Telah ku tunaikan semua
Tibanya masa untukku
Bersama diriku
Untuk diriku

Terima kasih semua
Ke atas segala warna
Syukurku pada yang Esa
Ke atas semua saat bersama
Telah ku kotakan semua
Ku berikan segalanya
Dan kini tiba masanya untuk kita berpisah

Apakah nostalgia lagu ini kepada aku? Sebenarnya lagu ni dinyanyikan beramai-ramai oleh 263 orang di sebuah acara. 263 orang ini, termasuk diri aku sendiri, adalah pelajar batch ke-6, Sekolah Menengah Sains Alam Shah (ASiS), Kuala Lumpur. Lagu ini dinyanyikan semasa acara Makan Malam Nostalgia Abadi untuk kami.

Kelihatan sebahagian para Sa[VI]Our sedang menyanyi.
Alhamdulillah, walaupun berpisah, namun kami semua masih berhubung menerusi teknologi yang ada. Namun, ada juga yang menyepikan diri. Tak tahu la pulak kenapa.. Cuma, aku rindu jugak untuk berkumpul ramai-ramai macam dulu.. Takpe la, kita dah ada kehidupan masing-masing kan.. Semoga kita semua beroleh kejayaan walau apa jua bidang yang diceburi, insyaAllah..

Sekian dulu untuk kali ni.. InsyaAllah segmen ni akan kembali lagi minggu depan..

1 Apr 2012

Nama Belgaum Makin Popular Di Malaysia?

Assalamualaikum, salam sejahtera 1 Dunia!

Tajuk entri pertama untuk bulan April ni bunyinya macam gosip pulak kan. Bukan apa, nama Belgaum, India masuk surat khabar kat Malaysia kot! Ingatkan takde orang tahu kewujudan Belgaum ni. Hehehe.. Sila baca artikel di bawah untuk kebenaran.




Sari tarikan utama Belgaum


Laporan dan foto NOR AZIAH SHARIF
noraziasharif@hmetro.com.my



SESAK...bandar Belgaum bukan pilihan biasa kepada pelancong asing kerana tarikan utamanya ialah perniagaan kain dan pakaian.

BELGAUM yang terletak dalam negeri Karnataka, 500 kilometer dari ibu kota Bangalore, India, bukan destinasi pilihan pelancong untuk berkunjung, namun ia masih mempunyai daya tarikan dan keunikan tersendiri.


Masyarakat tempatan sedia maklum, Belgaum terkenal sebagai penghasil kain sari di India, termasuk buatan tangan. Di merata-rata gedung dan kedai dijual pelbagai kain sari sehingga mata rambang untuk memilih.


DAMAI...tasik untuk beriadah terletak tiga kilometer dari pusat bandar Belgaum.

INDAH...deretan kain sari berwarna-warni dengan warna mengasyikkan.
Sudahlah begitu, harganya pula murah. Sari buatan tangan yang ditempah mengikut cita rasa individu hanya berharga sekitar RM80 sepanjang enam meter dan boleh disiapkan dalam tempoh tiga hari saja.

Seandainya tidak berpuas hati dengan ribuan corak sari yang dipamerkan di kedai, pelanggan boleh menempah corak yang diinginkan. Kain dengan kualiti halus sebegini jika dijual di tanah air boleh mencapai harga RM400 hingga RM600.


Ketika memilih sari, peniaga menyediakan hamparan tilam untuk pembeli duduk dengan selesa sambil memilih sari, malah membantu memakaikan sari bagi memuaskan hati pelanggan untuk memilihnya, daripada corak kontemporari hinggalah corak klasik India. Semuanya cantik!


Penulis teruja melihat kepelbagaian corak dan susunan sari yang cantik dan layanan pembantu kedai memakaikan sari. Tidak pernah terlintas di fikiran untuk memakai sari, tetapi cara ditunjukkan pembantu kedai sangat mudah.

Susunan lipatan kain sama seperti mengikat kain baju kurung tradisional yang diikat dan dikemaskan dengan tali pinggang besar.

Bagaimanapun, tidak ramai tahu mengikat kain baju kurung kerana kini dipermudahkan dengan kain berzip. Kain sari ini juga boleh dijadikan baju kurung atau baju kebaya yang potongannya boleh digayakan mengikut latar sari.

Yang unik, penulis perhatikan ketika membeli-belah atau sekadar melihat-lihat di pusat perniagaan di Khade Bazar, setiap kedai menjual corak kain berbeza dan tidak ada persamaan. Begitu kreatif sekali masyarakat di sini menghasilkan sama ada kain ela atau kain sari.

Sari masih menjadi pakaian utama masyarakat di Belgaum dan dijadikan uniform di hospital bagi kakitangan wanita. Wanita tempatan pula memilih pakaian tradisional sebagai pakaian harian untuk bekerja berbanding era moden.

Bagi mereka di tanah air yang suka membeli kain dan pakaian, di sinilah tempatnya. Kain yang cantik dan berkualiti dengan pelbagai corak boleh dibeli dengan harga murah yang tidak dijangka di minda. Misalnya, untuk kain sepasang baju kurung hanya sekitar RM22.

Ini dapat difahamkan kerana India adalah negara pengeluar kapas terbesar di dunia, malah China yang kini menghadapi kekurangan bekalan kapas untuk dijadikan kain, mengimport kapas daripada India.

Selain terkenal dengan pelbagai aneka kain, Belgaum menjurus kepada satu daripada perbandaran pendidikan bagi negeri Karnataka.

Kebanyakan warga asing di sini adalah pelajar, terutama Malaysia yang menghantar ramai pelajar perubatannya melanjutkan pelajaran di universiti di sini.

Dalam kunjungan ke Belgaum baru-baru ini, penulis mendapati beberapa universiti mengkhusus dalam perubatan moden dan alternatif diuruskan sama ada yayasan atau badan kebajikan bukan kerajaan.

Dengan adanya yayasan sebegini, ia memberi peluang pekerjaan kepada rakyatnya tanpa perlu bergantung kepada kerajaan.

Yayasan juga memberi rawatan percuma di hospital yang dikendalikan mereka bagi golongan berpendapatan rendah seperti di Hospital Prabhakar Kore di Universiti KLE.

Ketika berkunjung, cuaca di Belgaum sejuk dan ini menimbulkan rasa nyaman berjalan di tengah bandar dan penulis mengambil kesempatan berjalan kaki sejauh tiga kilometer untuk sampai ke tasik, satu-satunya tempat orang tempatan beriadah.

Bukan tidak ada pengangkutan ke tasik, tetapi menjadi amalan biasa penulis di tanah air berjoging setiap pagi.

Pengangkutan di sini sungguh mudah kerana dengan bayaran 20 rupee anda mudah bergerak dengan menaiki auto yang boleh dinaiki tiga penumpang. Ini sungguh menjimatkan. Auto adalah motosikal beroda tiga yang hanya ditemui di India.

Apabila tiba waktu menjamu selera, penulis boleh memilih pelbagai restoran yang sentiasa menanti pengunjung. Makanan di sini juga murah dan penulis memilih restoran vegetarian di sebelah tempat penginapan yang kelihatan bersih dan menyediakan set hidangan makanan tengah hari.

Ia merangkumi dua capati, semangkuk nasi, satu mangkuk kari kacang kuda, satu mangkuk dal, semangkuk sambal, satu mangkuk dadih dan segelas susu segar serta sebiji pisang. Harganya cuma RM3. Murah dan berkhasiat.

Kos makan di restoran dengan hiasan dalaman moden dan cantik juga tidak mahal.
Penulis hanya membayar RM23 untuk hidangan nasi beriani, lauk tambahan dan pencuci mulut bagi dua orang.

- Sumber daripada Harian Metro

Bangga juga apabila Belgaum masuk dalam surat khabar. Tak sangka orang dari Malaysia susah payah datang sini. Bukan mudah taw nak datang sini. Kena naik bas 10 jam dari Bangalore. 

Alhamdulillah, beliau sedar akan kewujudan warga Malaysia kat Belgaum ni. Ramai sebenarnya rakyat Malaysia yang belajar di Belgaum ni. Bukan sekadar pelajar USM-KLE sahaja, ada juga yang belajar kat Jawaharlal Nehru Medical College dalam bidang perubatan dan KLE Vishwannu Katti Dental College dalam bidang pergigian. Semuanya dalam satu kawasan yang sama. Kami pun rasa gembira apabila menyedari artikel ni.

Apa lagi, sila berkujung ke Belgaum ye! Cubalah pengalaman baru di sini.. Macam hari tu, ada juga ibu bapa pelajar kat sini datang sini.. Rakyat Malaysia yang mana berkunjung ke India, apa salahnya datang ke Belgaum kan.. Tak rugi, ada kain sari yang sangat berkualiti. Boleh buat baju raya nanti. :)

Akhir kalam, terima kasih Harian Metro kerana menulis entri tentang Belgaum. Sekurang-kurangnya, meningkatlah populariti Belgaum di Malaysia, walaupun tak sepopular bandar-bandar besar seperti New Delhi, Bangalore, Chennai atau Mumbai. Sekian dulu buat kali ini.

Jauh perjalanan, luas pandangan.