16 Nov 2013

Anda 5A UPSR?

..السلام عليكم و رحمة الله و بركات

Salam sejahtera, semua..

Keputusan UPSR 2013 telahpun diumumkan pada Khamis, 14 November 2013. Kepada yang mendapat 5A, tahniah atas kejayaan anda. Kepada yang tidak mendapat 5A pun, tahniah juga diucapkan kerana telah berusaha sedaya-upaya, namun rezeki belum memihak kepada anda. Mungkin pada masa depan? InsyaAllah..



UPSR bukanlah segalanya wahai adik-adikku sekalian. Gagal mendapat 5A bukanlah bermaksud gagal selamanya. Sepanjang perjalanan hidup saya selepas UPSR sehingga kini, betapa ramainya rakan saya yang tidak berjaya mendapat 5A dalam UPSR, namun pada hari ini mencapai kejayaan yang tersendiri. Ada rakan saya yang sama sekolah rendah dulu hanya mendapat 3A 2B, belajar betul-betul pada PMR, dapat ke sekolah berasrama penuh. Ada rakan sebaya saya yang dulu dapat 4A 1B, kini belajar di USA, bakal menggenggam ijazah dalam bidang kejuruteraan pada tahun depan. Ada rakan saya yang mendapat 4A 1C pada UPSR dulu, bakal menjadi ahli farmasi yang berjaya. Ada juga yang mendapat keputusan UPSR yang jauh lebih buruk, kini menjadi ahli perniagaan yang berjaya. Percaya atau tidak? Rezeki itu rahsia Allah. Apa-apapun, berbaik sangkalah dengan ketentuanNya. Mungkin ada hikmah yang tersurat dan tersirat.

Alhamdulillah, Allah telah memberi rezeki kepada saya untuk mendapat 5A UPSR pada tahun 2004. Masa tu, saya dapat hadiah basikal lumba ala-ala Le Tour de Langkawi, berharga lebih kurang RM300. Syukur tak terkata. Hadiah itu mendorong saya berusaha lebih keras dalam peperiksaan-peperiksaan yang lain. Kecoh satu Malaysia bila mendengar berita pada Khamis lepas, yang mana ada seorang pelajar cemerlang UPSR dihadiahi kereta mewah oleh bapanya sebagai hadiah kecemerlangannya. Ayuh baca sedikit ulasan dari halaman Facebook 'I Love Kelantan':



Anak Kelantan : KISAH PENJUAL AYAM YANG JUTAWAN.

Kecoh seluruh negara dan menjadi trending no 1 di media sosial Malaysia ketika ini mengenai isu seorang bapa memberi Hadiah sebuah kereta Mini Cooper untuk anaknya yang mendapat keputusan cemerlang 5A iaitu adik Fatini daripada SK Zainab 2 , Kota Bharu.

Lagi tergamam, situasi ini terjadi disebuah negeri nun jauh di pantai Timur yang seringkali dimomok-momokkan sebagai negeri paling Miskin di Malaysia. 

Ya benar, kejadian ini berlaku di Kota Bharu. Ayahnya hanya seorang penjual ayam, belajar sehingga SPM sahaja tapi berkat usaha dalam perniagaan mampu memberi dan menukar status keluarga mereka daripada miskin kepada golongan yang mempunyai masa depan.

Saya turut sedih membaca setiap komen di facebook yang mengutuk bapa Fatini yang menyamakan kes ini sebagai tidak masuk akal, megarut, menunjuk-nunjuk, membazar dan sebagainya. Biasalah, orang Melayu Malaysia memang terkenal dengan sikap dengki, suka mengutuk jika orang lain lebih daripadanya.

Ada komen seperti " Alah, jual ayam je pun. Aku belajar sampai degree, jadi pegawai kerajaan hanya mampu pakai Myvi. Gile nak menunjuk bapak dia ni "

Saya yang membaca komen sebegini turut luruh air mata menunjukkan masyarakat Melayu kita benar-benar kritikal mengenai isu moral. Langsung tiada adap, mahupun akal yang waras walaupun mempunyai ijazah.

Ayah Fatini hanyalah anak Kelantan yang langsung tidak cemerlang , result UPSRnya adalah 4D1E sahaja bukan seperti anda mempunyai ijazah. Tetapi berkat usaha beliau bangun seawal jam 4 pagi, terus ke kedai menyembelih beratus-ratus ekor ayam untuk dijual dihampir seluruh Kelantan . Siapa yang kerja seperti ini, bergelumang dengan bau tahi ayam setiap hari, kena sembelih ayam , potong ayam dan sebagainya.

Ayahnya juga bukan seperti anda, log in FB tengok orang berjaya dan buat 'benda pelik' sedikit terus kutuk, maki tanpa rasa belas. Ayahnya cuma penjual ayam tetapi jutawan. Itu sahaja.

Anda bekerja makan gaji dengan gred 41 pun belum mampu untuk menjadi jutawan sekiranya sikap anda yang seringkali menyangkal kejayaan orang lain.

Yang peliknya, orang kaya dan ahli politik yang secara terang-terangan salah guna duit kerajaan dan memberi kemewahan kepada anak mereka tidak pula anda maki sehebat dugaan yang diterima oleh ayah Fatini ini. Niat ayah Fatini cuma satu, berkongsi rasa gembira dengan kejayaan anak sulungnya yang cemerlang dengan penuh rasa syukur.

Kepada anda yang mempunyai ijazah ataupun kelayakan iktisas yang lain, saya cabar anda untuk gantung sijil graduasi anda di dinding dan menjadi seorang penjual ayam seperti usaha yang ayah Fatini lakukan ini. Kita lihat hasilnya.

Inilah kisah seorang anak Kelantan menjadi jutawan hanya dengan menjual ayam.

Nukilan oleh : Pok Dogo
Untuk I LOVE KELANTAN.



Mari kita lihat dari sudut yang positif. Bukanlah saya mengampu apatah lagi dibayar oleh jutawan berkenaan untuk menulis berkenaan perkara ini, namun sebagai seorang pelayar tetap media sosial saban hari, ada beberapa perkara yang saya lihat tidak baik dalam komen kebanyakan pengguna media sosial.

Pertama, orang kita memang tak boleh tengok orang lain 'lebih'. Anda faham maksud saya? Asal miskin, dikatakan malas berusaha. Asal kaya, pelbagai tohmahan dan cacian dilempar oleh mereka yang tidak senang melihat kejayaan orang lain. Cubalah kita husnudzon (bersangka baik) dengan orang lain. Di hati mereka hanya Allah yang tahu. Mengambil kisah hadiah UPSR ini sebagai contoh, mungkin si bapa hanya mahu menunjukkan rasa sayang kepada anaknya, lebih-lebih lagi setelah anaknya mendapat kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan. Siapakah kita untuk menghukum atau menilai? Allah sahaja yang tahu apa yang terbuku dalam hati bapanya.

Kedua, Mungkin ada sesetengah pihak mengatakan bahawa si ayah ingin menunjuk-nunjuk dengan memberi hadiah di sekolah. Baiklah, mungkin tempat yang dipilih untuk menyampaikan hadiah adalah kurang sesuai kerana mungkin menimbulkan rasa cemburu di dalam hati pelajar lain. Mungkin si ayah teruja sehingga terlupa untuk mengambil kira hal tersebut. Maafkanlah dia, dia juga manusia biasa.

Hadiah kereta mewah membazir? Lebih baik duit itu diinfaqkan ke jalan yang diredhai Allah? Ya, memang bagus menginfaqkan harta ke jalan yang Allah redha. Namun, ada siapa yang tahu, dah berapa banyak harta si ayah yang didermakan kepada mereka yang memerlukan? Jadi, tolonglah jangan buat andaian buruk sedemikian.

Biarlah dikatakan anaknya belum mempunyai lesen kerana berusia 12 tahun. Mungkin usia yang masih muda itu agak kurang sesuai untuk adik Fatini menerima hadiah sebuah kereta. Para pembaca harus ingat, 5 tahun lagi, adik Fatini bakal layak untuk mendapat lesen pandu kereta. Dalam tempoh 5 tahun ini, mestilah ayah atau ibu adik Fatini yang bawa kereta tu. Mungkin dengan hadiah ini, Fatini bakal menjadi lebih bersemangat dalam pembelajarannya di sekolah menengah? Mudah-mudahan begitulah. Saya doakan Fatini bakal meneruskan kecemerlangannya dalam pembelajaran selepas tamat sekolah rendah. Salah seorang permata negara, jangan disia-sia.

Penyakit dengki amat sukar dikikis dalam diri kita. Siapakah yang tahu kegigihan adik Fatini dalam berusaha demi mencapai kejayaan yang diidamkan? Usahlah berfikiran negatif, sebaliknya ubahlah diri, fikir dengan cara yang lebih baik. Husnudzon, itu yang dianjurkan oleh Islam. Biarlah kita jauh lebih dewasa daripada adik Fatini, tapi ambillah iktibar dari kisah kejayaan ini. Sekali lagi, rezeki itu rahsia Allah. Mungkin kita akan dapat rezeki yang tidak disangka setelah mendapat kejayaan dunia? Campakkan rasa ego "aku dah lebih makan garam" itu jauh-jauh. Sebaliknya, usahalah dan banyakkan doa kepada Allah S.W.T.. Apa kata amalkan Solat Dhuha? Rahsia murahnya rezeki..

Kesimpulannya, janganlah suka cari silap dan salah orang lain. Kalau hati dah tak suka, ada saja yang tak kena. Berdoalah supaya kita dijauhkan dengan fikiran sebegini. Punca timbulnya iri hati dan dengki.

Satu lagi kisah menarik sekitar keputusan UPSR 2013 adalah kejayaan seorang calon Orang Kelainan Upaya (OKU), adik Amir Zuhaidi dari Ketereh, Kelantan yang berjaya mendapat 5A dalam UPSR.

SEORANG bapa, Razali Harun, 45, yang berkerja sebagai buruh binaan dengan gembira terus menggendong pulang anaknya Amir Zuhaidi Razali, 12, yang mendapat keputusan cemerlang 5A dalam UPSR 2013 untuk memberitahu kepada ahli keluarga lain di Kampung Hutan Pasir, Ketereh. Amir, murid Istimewa Orang Kelainan Upaya (OKU) Sekolah Kebangsaan (SK) Ketereh mengalami kecacatan kaki kiri akibat kemalangan. Kredit Harian Metro.

Tersentuh hati ini bila melihat gambar di atas. Sebak terasa melihat wajah bangga seorang bapa. Ternyata kekayaan dunia bukanlah segalanya, namun kekayaan budi dan hati tidak ternilai. Kasihnya seorang bapa kepada anaknya. Meskipun tidak mampu memberi kekayaan dan kesenangan harta, namun kasih sayang adalah segalanya. Tiba-tiba rindukan abahku di rumah. Semoga sentiasa sihat walafiat.

Di sini kita melihat dua kes yang berbeza. Kejayaan yang sama, namun dalam latar belakang keluarga yang berbeza. Status kewangan dan kesihatan bukanlah penghalang untuk berjaya. Biarlah apa yang anda semua nak kata kepada dua orang adik yang berjaya dalam UPSR ini, tapi saya harapkan mereka akan terus cemerlang di dunia dan akhirat, dan menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. Semoga menjadi anak soleh dan solehah. Ilmu yang ada jangan disia-sia!


"Kadang-kadang Allah sembunyikan matahari,
Dia datangkan hujan petir.
Kita bersedih dan tertanya tanya ke mana hilangnya matahari
Rupa-rupanya Allah nak hadiahkan kita pelangi yang indah. "


Sekian dahulu coretan dari saya, semoga kita dapat mengambil pengajaran, dan terima kasih kerana membaca..

2 ulasan:

  1. salam saudara. saya hargai pendapat peribadi saudara. tapi pada pandangan saya pemberian hadian terlalu mewah ni sangat tak sesuai bagi anak perempuan yang masih kecil. Lebih banyak perkara negatif dari manfaat.

    ramai jutawan dan billionaire di Malaysia ni (pantai timur juga ramai yang jutawan) mampu hadiahkan anak mereka kapal terbang sekali pun tapi mereka bersikap 'sederhana' dan tidak sewenang-wenangnya terlalu memanjakan anak mereka.
    kesian adik ni sebab tak merasa NIKMAT PENGALAMAN perit kehidupan =)

    jujurnya, saya lebih terharu dengan gambar terakhir.

    Apapun ucapan tahniah saya pada kedua-dua adik di atas dan semua yang dapat 5A. yang tidak berjaya pula jangan sedih, langkah anda masih awal lagi.

    BalasPadam
    Balasan
    1. wslm. ada benarnya apa yang diutarakan oleh saudari. rezeki masing-masing. mungkin adik Fatini tidak diuji dengan kesempitan hidup, tapi sedang diuji dengan kemewahan. Allah Maha Mengetahui. apa jua bentuk ujian yang bakal dilalui, semoga mereka cekal mengharungi.

      perjalanan adik ini masih panjang, sama-sama doakan agar urusan mereka dipermudahkan dan semoga murah rezeki mereka. insyaAllah =)

      Padam