6 Dis 2010

Maal Hijrah 1432 H

Assalamualaikum dan salam perpaduan saya ucapkan.. Hari ni, mulai waktu Maghrib, dah rasmi bahawa tahun 1431 H dah melabuhkan tirainya, dan tahun 1432 H pula yang menjengah.. Semoga kita akan jadi insan yang lebih baik..




Ayuhlah kita semua panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah S.W.T. yang masih memberi ruang dan peluang kepada kita untuk terus hidup di muka bumi yang fana ini dan untuk terus beribadah kepadaNya. Seharusnya kita berasa gembira dan bersyukur kerana kita masih merpeluang untuk menambahkan 'saham' kita di akhirat nanti..

Saya rasa tak perlulah diceritakan lagi tentang peristiwa hijrah ni yea.. Budak sekolah rendah pun tahu pasal hijrah ni..

Dengan tibanya tahun 1431 H ini, kita akan memperbaiki kualiti hidup kita. Jadilah insan yang lebih baik, demi kebaikan diri anda semua juga kelak. Bulatkanlah tekad anda untuk berubah, supaya tidak sekadar hangat-hangat tahi ayam. Apa gunanya berubah sekadar untuk jangka masa yang pendek. Biarlah kita kekalkan momentum perubahan itu, menuju ke arah yang positif.

Sebenarnya kan, kenapa ada sesetengah daripada kita yang nak berubah, tapi tak kekal lama? Jawapannya mudah sahaje, iaitu kerana insan tersebut sebenarnya diuji oleh Allah S.W.T., tentang sejauh mana tahap keinsafannya, dan benarkah insan itu ingin bertaubat sebenarnya. Andainya insan tersebut benar-benar ikhlas, maka dengan izin Allah, beliau akan berubah ke arah yang lebih baik. Namun, sebilangan besar daripada kita masih kekurangan ilmu untuk bertaubat, oleh sebab itu, perubahan yang kita mahu lakukan kebanyakannya menemui jalan buntu.

Sekadar ingin berkongsi ilmu, tadi saya ada mendengar satu tazkirah yang disampaikan oleh sahabat saya, Muhammad Umar Imarah bin Murtadza, beliau ada menyampaikan sepotong ayat daripada Al-Quran, dari Surah Al-Ankabut, ayat 2-3, mafhumnya :

"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; “Kami telah beriman,” sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.."

Dalil tersebut jelas menyatakan bahawa manusia yang mengatakan diri mereka itu beriman, masih diuji oleh Allah, kerana Allah ingin melihat sejauh mana keikhlasan mereka untuk beriman kepadaNya.. Kalau setakat bersifat sementara, itu tandanya insan tersebut sebenarnya masih belum betul-betul bersedia untuk berubah.

Rakan pembaca yang dikasihi, sempena dengan tahun baru ini,marilah sama-sama kita teguhkan  tekad, berusaha dan menanam semangat baru untuk memulakan hidup baru dengan satu tujuan untuk menjadi insan yang berperibadi mulia dan berakhlak baik. Semoga yang buruk itu menjadi baik, dan semoga yang baik itu menjadi lebih baik. InsyaAllah. Tanamkanlah azam yang baru, yang mampu untuk dicapai oleh kalian. Saya doakan yang azam anda akan tercapai. Semoga kita disirami dengan hidayah daripada Allah S.W.T.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Salam Maal Hijrah 1432 H.. Tema tahun ni, Satu Malaysia Satu Ummah.. Hayatilah hari ini, dan bukan dengan sia-sia, dan lebih buruk lagi, bergembira kerana Awal Muharram adalah cuti umum.

Akhir kalam, wassalam..

Rashdan Roslan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan