3 Feb 2011

Di Mesir, Di Malaysia....

Assalamualaikum, dan salam sejahtera, salam 1 Malaysia...


Meskipun agak terlambat bagi kawe untuk menulis entri kali ini, namun tak bermakna kawe tidak peka akan isu semasa. Hati tersentuh dan minda selalu memikirkan nasib rakan-rakan dan insan yang berada di Mesir dan juga di selatan tanah air, kerana mereka kini ditimpa musibah yang berbeza.






Insan yang berada di Mesir kini dalam kebimbangan dan kegusaran kerana rusuhan dan keganasan yang berlaku di sana. Hal ini berpunca daripada kebangkitan rakyat Mesir yang ingin menggulingkan pucuk pimpinan negara itu, yang dikepalai oleh Presiden, Hosni Mubarak. Beliau sudah 3 dekad berada di takhta pemerintahan. Punca sebenar penentangan mereka ada dinyatakan di pautan INI. Pelbagai kesengsaraan dilalui oleh insan yang berada di sana, seperti harga makanan yang naik melambung (secawan air kopi berharga RM200!), talian internet dan telefon disekat, dan rompakan yang berleluasa. Di sini, kawe ingin mengucapkan jutaan terima kasih dan tahniah serta syabas kepada Kerajaan Malaysia kerana mendengar suara hati rakyat supaya membawa pulang rakyat Malaysia yang berada di Mesir, di sebalik kritikan dan cemuhan yang dilemparkan oleh sesetengah pihak yang tidak sehaluan dengan kerajaan.






Kepada mereka yang berada di Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang (tengah dan selatan) pula, lain bentuk musibahnya. Allah menguji mereka dengan bencana banjir. Kini, puluhan rakyat di empat buah negeri itu berada di pusat pemindahan. Hujan lebat luar biasa sehingga mencecah hampir 400mm dalam masa sehari sahaja menyebabkan paras air sungai di sana naik dengan mendadak. Keadaan ini menyebabkan banyak harta-benda tidak dapat diselamatkan. Ada sesetengah kawasan dilanda banjir lebih teruk daripada banjir besar pada tahun 2006.


Kepada mereka yang ditimpa bencana ketika ini, harap bersabarlah dan redha dengan ketentuan daripada Allah yang Maha Besar. Ketahuilah bahawa bencana itu adalah salah satu bentuk ujian daripada Allah S.W.T. kepada hambaNya untuk menguji keimanan dan ketaqwaan kita terhadapNya, dan juga salah satu bentuk 'kafarah' dosa (penghapusan dosa yang lalu). Nabi Muhammad s.a.w bersabda : 


“Apabila seseorang mukmin diuji oleh Allah dengan sesuatu bencana pada tubuhnya, Allah Taala berfirman kepada Malaikat penulis amalnya: “Tulislah juga untuknya amal-amal soleh yang biasa ia lakukan;” kemudian jika Tuhan hilangkan bencana yang menimpanya itu, Tuhan jadikan ia hidup berkeadaan baru – bersih suci dari dosanya; dan jika Tuhan mengambil nyawanya, diberikannya keampunan serta dikurniakan rahmat kepadanya”. (Anas r.a)


Kuatkanlah keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah S.W.T., semoga kita dikasihi dan diredhai olehNya senantiasa. Kepada rakan-rakanku yang ditimpa musibah, harap kalian sabar dan semoga kalian jaga diri baik-baik. Ramai yang sayang akan diri anda. 
Kawe menanti khabar berita daripada anda semua. Ingat pesanan kawe! :)


Rashdan Roslan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan