15 Feb 2011

Antara Si Dia dan DIA....

Assalamualaikum dan salam sejahtera, salam 1 Malaysia.


Terlebih dahulu, kawe ingin ucapkan selamat menyambut Maulidur Rasul kepada seluruh umat Islam di seantero dunia, tanpa mengira bangsa dan warna kulit. Kita semua 1 Ummah..






Sebenarnya, tajuk entri kali ini disedut dipetik daripada sebuah ceramah yang diadakan pada malam semalam di Kolej Kediaman Raja Dr. Nazrin Shah, atau Kolej Kediaman Ke-12 (KK12) Universiti Malaya. Siapakah si dia? Mesti ramai yang dah dapat agak...


Si dia yang dimaksudkan ini adalah insan yang bernama kekasih. Pada zaman moden sekarang ni, banyak istilah digunakan untuk merujuk kepada kekasih, seperti awek, balak, sayang, baby, hubby, papa, mama, dan segala macam lagi. Mesra bukan main ek... Cinta adalah lumrah kepada setiap insan yang memiliki minda yang waras. Apa yang mewujudkan bibit-bibit cinta ni?


Ada sebuah kisah yang ingin kawe kongsi. Adalah sorang mamat ni, suka cari perempuan yang cantik, cun, 'dahi licin', dan serba lengkap lah pakejnya. Sekali apabila mamat ni jumpa perempuan yang dia target, apa lagi, ambikla nombor phone atau add dia kat Facebook. Mula-mula, berkenalanlah dulu. Siap tanya-tanya banyak benda, contohnya, "Dah makan ke belum?" , "Sihat tak?" , "Dah tidur ke?" dan macam macam lagi, semata-mata nak tunjukkan betapa dia ambil berat kepada wanita berkenaan.


Lepas tu, mulalah buat-buat tersilap, terpanggil 'sayang' la pulak.... Tapi, nak dijadikan cerita, perempuan tu suka la pulak. Maka, timbullah rasa kasih dan sayang. Jadi, mulalah satu aktiviti yang dinamakan 'couple'. Yang masih membataskan perhubungna, alhamdulillah, namun ada di antara mereka yang ber'couple' sudah lupa dosa dan pahala. Mereka terus bermesra tanpa mengingati bahawa Allah nampak segala yang mereka lakukan, termasuklah perkara yang mereka rasa baik, tapi sebenarnya haram. 


Apabila nafsu mula menguasai diri, dan apabila mendengar bisikan syaitan, mereka terjerumus ke arah zina. Wanita yang kurang kesedaran diri dan hanya membabi-buta mengikut nafsu dengan sewenang-wenangnya menyerahkan 'mahkota' yang paling bernilai yang dimiliki oleh mereka. Apabila sudah terlanjur, dan mengandung pula, si lelaki hilang entah ke mana. Tinggallah wanita itu sendirian, menggalas bebanan untuk mengandungkan anak luar nikah tersebut. Akibat tidak mahu menanggung rasa malu, wanita itu pun menggugurkan kandungan atau membuang bayi setelah dilahirkan. Ini amalan zaman jahiliah!


Jadi, kepada insan yang bergelar wanita, kawe ada pesanan untukmu. Janganlah mudah termakan pujuk rayu si jejaka, kerana itu semua hanya akan menyumbang kepada dosa besar. Jagalah maruah diri dan kehormatan diri. Kalau tidak mahu pedulikan tentang kesan kepada diri sendiri, fikirkan pula kesan yang bakal menimpa kepada kedua-dua ibu bapa serta keluarga. Janganlah menconteng arang di muka mereka. Janganlah pula dibuang bayi itu. Seandainya tidak mahu menjaga mereka, maka serahkanlah anak itu kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat atau kepada mereka yang berhajat untuk mengambil amak angkat, kerana anak kecil itu juga berhak untuk hidup. Lakukanlah sedemikian seandainya masih ada nilai kemanusiaan dalam diri anda. Kucing pun sayang anak, tahu!


Dalam pergaulan, ada batasnya, tak kira sama jantina atau tidak. Jadi, janganlah melampaui batas, sesungguhya nanti kemungkaran akan berleluasa. Kepada pasangan yang belum memiliki ikatan pernikahan, janganlah berdua-duaan, sebaik-baiknya kalau mahu berjumpa juga, seeloknya bawalah bersama mahram wanita tersebut, kerana dibimbangi ada pihak yang ketiga seandainya anda berdua sahaja, iaitu syaitan laknatullah. Lebih elok untuk anda supaya tidak berjumpa, demi mengelak kemungkaran berlaku, atau putuskan saja perhubungan itu, kerana dibimbangi akan berlakunya zina hati. Islam tidak melarang percintaan, tapi seelok-eloknya selepas kahwinlah.


Kepada semua, janganlah pula kita menyambut Hari Valentine, kerana ini bukan budaya kita. Islam tidak menganjurkan perayaan sebegini. Jika kita ingin berkasih sayang, apakah kita patut membataskannya hanya dalam satu hari sahaja? Sama sekali tidak patut. Islam itu sendiri sudah menerapkan nilai kasih sayang. Justeru, tidak ada perayaan yang bertujuan untuk mengingatkan kita tentang kasih sayang, lebih-lebih lagi kepada pasangan kita. Kalau dah betul kita sayang dia, kita kenalah tunjukkan kasih sayang kita dengan cara yang berterusan, bukan pada hari itu sahaja. Kita tunggu dalam masa 9 bulan 10 hari nanti, banyak anak luar nikah akan dilahirkan. Maklumat daripada ceramah semalam, statistik dari tahun 2000-2008, menunjukkan purata bayi luar nikah yang dilahirkan setiap bulan adalah seramai 2500 orang, dan ini cukup membimbangkan! Oh Malaysiaku...






Baiklah, benda lain pulak. DIA. Dia yang dimaksudkan di sini adalah junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Kebetulan pula, pada tahun ini, 12 Rabiulawal 1432H jatuh pada 15 Februari 2011, iaitu sehari selepas 'perayaan' Hari Valentine. Umat Islam, sendiri mahu ingatlah, nak utamakan tarikh yang mana satu.


Kalau ditanya kepada 10 orang tentang makna Maulidur Rasul, mesti kesemua mereka akan menjawab jawapan yang sama, 'kelahiran Nabi Muhammad s.a.w.' . Rasulullah dilahirkan pada 12 Rabiulawal, atau 20 April tahun gajah, di Mekah al-Mukarramah. Kelahiran Nabi Muhammad s.a.w.dianggap sebagai pembuka rahmat di pelusuk alam semesta.

Kelahiran baginda menjadi seribu satu tanda bahawa baginda akan menjadi utusan terakhir dalam menyampaikan risalah Islam. Ia merupakan peristiwa utama dalam sejarah Islam. Banyak keajaiban yang berlaku sebelum kelahiran Nabi Muhammad s.a.w.

Kawe pun tak memiliki ilmu yang banyak tentang rentetan cerita kelahiran Rasulullah s.a.w., tapi setelah dicari dalam Internet, jumpa jugak.. Mari kawe kongsi untuk ingatan kita bersama.

Semasa Rasulullah s.a.w. berada di dalam kandungan bondanya, Aminah, beliau tidak merasa susah sebagaimana dialami oleh ibu-ibu yang hamil. Kehamilannya disedari melalui perkhabaran malaikat yang datang kepadanya ketika beliau sedang tidur. Malaikat mengatakan bahawa beliau telah mengandungkan seorang Nabi dan Penghulu kepada seluruh umat manusia. Selain itu, kehamilannya ditandai dengan haidnya terputus dan berpindahnya cahaya daripada wajah Abdullah ke wajahnya.

Kedua, ketika Nur Muhammad masuk ke dalam rahim Aminah, Allah memerintahkan malaikat supaya membukakan pintu syurga Firdaus dan memberitahu semua penghuni langit dan bumi.

Tanah-tanah di persekitaran kawasan tersebut yang kering menjadi subur, pohon-pohon kayu rimbun dan berbuah lebat. Begitu juga haiwan-haiwan di darat dan di laut sibuk membincangkannya.

Ketiga, peperangan tentera bergajah yang disebut di dalam al-Quran surah al-Fil, datang menyerang kota Mekah. Ia diketuai oleh tentera bergajah dengan menunggang seekor gajah besar bernama Mahmudi. Apabila mereka hampir sampai ke tempat tersebut, gajah-gajah itu berhenti dan berundur dengan izin Allah.
Namun demikian, sekumpulan burung Ababil datang menyerang dan menghancurkan mereka sebagaimana yang disebut di dalam al-Quran. Peristiwa ini amat menakjubkan dan diriwayatkan dalam kitab-kitab sejarah.

Keempat, Aminah turut mengalami mimpi yang menakjubkan. Beliau menadah tangan ke langit dan melihat sendiri malaikat turun dari langit. Ia diumpamakan kapas putih yang terapung di angkasa. Kemudian malaikat tersebut berdiri di hadapannya. Ia berkata, "Khabar bahagia untuk saudara, wahai ibu daripada seorang nabi. Putera saudara itu menjadi penolong dan pembebas manusia. Namakan dia Ahmad.''


Semasa kelahiran Nabi Muhammad s.a.w., Aminah ditemani Asiah dan Maryam. Dalam hal ini ia merupakan satu isyarat bahawa Nabi Muhammad lebih tinggi darjatnya daripada Nabi Isa dan Musa. Keadaan ini diterangkan dalam kitab Taurat dan Injil bahawa akan datang seorang nabi pada akhir zaman.


Semasa baginda dilahirkan, bondanya menyaksikan nur atau cahaya keluar dari tubuh badan baginda. Cahaya tersebut menyinari sehingga ke Istana Busra di Syria. Ia dilihat seolah-olah seperti anak panah bagaikan pelangi sehingga dari jauh kota-kota tersebut dapat dilihat.

Ada juga yang berpendapat bahawa cahaya itu datang dan menerangi seluruh dunia. Ini dapat dijelaskan oleh sumber-sumber Arab yang paling awal yang menyatakan bahawa suatu cahaya terpancar dari rahim Aminah apabila baginda dilahirkan. Aminah sendiri melihat baginda dalam keadaan terbaring dengan kedua tangannya mengangkat ke langit seperti seorang yang sedang berdoa.


Kemudian bondanya melihat awan turun menyelimuti dirinya sehingga beliau mendengar sebuah seruan "Pimpinlah dia mengelilingi bumi Timur dan Barat, supaya mereka tahu dan dialah yang akan menghapuskan segala perkara syirik''. Selepas itu awan tersebut lenyap daripada pandangan Aminah. Setengah riwayat menyatakan nabi dilahirkan dalam keadaan memandang ke arah langit sambil meletakkan tangannya ke tanah sebagai tanda ketinggian martabatnya daripada semua makhluk. Dikatakan juga pada malam kelahiran baginda, berhala-berhala yang terdapat di situ mengalami kerosakan dan kemusnahan.

Menurut riwayat daripada Abdul Mutalib, "Ketika aku sedang berada di Kaabah, tiba-tiba berhala jatuh dari tempatnya dan sujud kepada Allah. Lalu aku mendengar suara dari dinding Kaabah berkata, "Telah lahir nabi pilihan yang akan membinasakan orang kafir dan mensucikanku daripada berhala-berhala ini dan akan memerintahkan penyembahan Yang Maha Mengetahui.''


Selain itu di tempat yang lain pula satu goncangan berlaku di mahligai Kisra dan menyebabkan mahligai tersebut retak, manakala empat belas tiang serinya runtuh. Keadaan ini merupakan di antara tanda -tanda keruntuhan kerajaan tersebut.


Namun, api di negara Parsi yang tidak pernah padam hampir selama seribu tahun telah padam dengan sendirinya. Api tersebut merupakan api sembahan orang-orang Majusi yang dianggap sebagai tuhan. Peristiwa itu amat mengejutkan orang Parsi. Dalam waktu yang sama, pada malam kelahiran baginda, Tasik Sava yang dianggap suci tenggelam ke dalam tanah.

Setelah baginda lahir, tembakan bintang menjadi kerap sebagai tanda bahawa pengetahuan syaitan dan jin mengenai perkara ghaib sudah tamat. Dalam riwayat yang sahih dan masyhur, ketika baginda diasuh oleh ibu susunya iaitu Halimatus Sa'diah, ladang-ladang Halimah kembali menghijau setelah mengalami kemarau.


Begitu juga binatang ternakan seperti kambing mengeluarkan susu yang banyak. Selain itu, Nabi tidak pernah diganggu walaupun oleh seekor lalat termasuk juga pakaian baginda. Halimah dan suaminya juga beberapa kali melihat tompokan awan kecil di atas kepala melindungi baginda daripada panas matahari.

Ketika berusia empat tahun, sedang baginda bermain-main dengan saudara susuannya, tiba-tiba datang malaikat mendekati baginda iaitu malaikat Jibril dan Mikail. Lalu membelah dada baginda dan mengeluarkan segumpal darah dan mencuci gumpalan darah itu dengan salji. Ada yang meriwayatkan bahawa gumpalan darah itu dicuci di dalam bejana emas dengan air zam-zam, lalu diletakkan semula di tempatnya. Hal ini jelas diterangkan dalam surah Insyirah ayat 1 : Bukankah Kami telah melapangkan dadamu (wahai Muhammad)?

Berdasarkan peristiwa tersebut jelaslah kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. mempunyai keistimewaan tersendiri. Ini kerana baginda adalah khatamun nubuwwah, penutup segala nabi. Perkara -perkara luar biasa ini telah membuktikan kepada kita kemuliaan baginda di sisi Allah, sekali gus sebagai bukti kerasulannya. Di samping itu, bukti -bukti tersebut juga dijelaskan di dalam kitab kitab terdahulu seperti kitab Taurat, Zabur dan Injil sebagai rasul yang terakhir.

Lagu nasyid ini sungguh indah, menerangkan peristiwa kelahiran baginda.


Betapa hebatnya peristiwa yang berlaku ketika kelahiran baginda. Impak yang besar telah terhasil semasa kelahiran Nabi Muhammad s.a.w seperti yang telah diterangkan tadi. Subhanallah, Maha Suci Allah.. Allah yang berkuasa ke atas semua makhluknya.

Sempena datangnya Maulidur Rasul kali ini, ayuhlah kita kembali ke jalan yang benar. Seandainya kita sudah mulai lupa untuk mentaati sunnah Rasulullah s.a.w., maka tiba masanya untuk kita ingatkan balik, dan jangan lupakan lagi, semoga kita akan beroleh syafaat daripada baginda di Padang Mahsyar nanti.

Kesimpulannya, antara si dia dan DIA, DIAlah yang harus diutamakan! Cinta kepada Rasulullah s.a.w adalah lebih tinggi darjatnya daripada cinta kepada sang kekasih.

Rashdan Roslan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan