5 Feb 2014

Cuti-Cuti Diwali : Mangalore & Manipal

..السلام عليكم و رحمة الله و بركات

Salam sejahtera, semua. Entri terakhir tentang percutian sewaktu cuti Deepavali yang lepas.

Dari Bangalore, saya ke Mangalore pula secara solo kerana Helmi Hamid terus pulang ke Belgaum kerana ada urusan yang lebih penting. Tak mengapa, teruskan sahaja perjalanan sambil mengharapkan semuanya akan selamat.

Pemandangan yang agak klasik di Mangalore


Setibanya di Mangalore pada jam 6.45 pagi, 7 November 2013, sahabat saya, Harith Aini menjemput saya di PVS Circle dan terus membawa saya ke rumahnya di Maharaja Residency. Rumah yang bernombor 904 itu diberi nama 'Darul Rantissi'. Harith tinggal bersama Muhsan dan Syahir. Jika pada kunjungan yang lepas, saya tidak sempat bermalam di sana, namun pada kunjungan kali ini, saya telah berjaya menebus kekecewaan mereka.

Bertukar-tukar cerita, bersenda gurau, itulah aktiviti kami. Namun masih dalam suasana ingat-mengingati kepada Allah S.W.T.. Indahnya suasana sebegini. Terasa manisnya ukhuwah, boleh membawa kepada penyakit Diabetes Mellitus Type 2. Kurangkan gula dalam minuman, lebihkan manis dalam senyuman!

Alhamdulillah, sepanjang berada di Mangalore, saya disaji dengan pelbagai juadah yang menarik. Semuanya ditanggung beres. Pertama kali merasa makan di Kobe Sizzlers di City Centre, Mangalore.

Minuman di Kobe Sizzlers

Malamnya, setelah makan malam di Darul Rantissi, makan ais krim pula di Ideals. Alhamdulillah, ditanggung lagi. Tunggu kehadiran mereka di Belgaum pula untuk balas kembali budi.

Setelah bermalam di Mangalore, tibalah hari terakhir percutian. Saya menuju ke Manipal pada paginya. Bakal bertolak pulang ke Belgaum pada malamnya. Sudah banyak kali saya berkunjung ke Manipal, terasa seperti rumah kedua.

Suasana dalam bas dari Mangalore ke Manipal. Jarak perjalanan lebih kurang 80km, mengambil masa kira-kira 1 jam 45 minit.

Sudah tiba. Tiger Circle, Manipal.

Setelah 3 tahun tidak bersua, akhirnya peluang itu datang jua untuk bertemu kawan lama. Memperkenalkan Parthiban a/l Subramaniam, rakan sedorm di SM Sains Alam Shah (ASiS) dulu. Masing-masing dah naik berat badan ya.

Tidak sah andai tidak menjamah juadah yang lazat di Manipal sekiranya anda ke sana, kerana Manipal memang terkenal dengan makanan yang murah dan sedap. Alhamdulillah, untuk makan tengah hari, saudara Parthiban belanja. Dah lama tak jumpa. 3 tahun tak jumpa, mestilah banyak cerita dan kisah yang keluar. Masing-masing rindu ASiS, terutamanya suasana dalam dorm 2A3.

Petangnya, saya dibawa ke Malpe Beach oleh kenalan saya di Manipal, Syafiq Zharfan atau lebih dikenali sebagai Apan. Dari Manipal, kami ke Malpe Beach dengan menaiki vespa.


Malpe Beach, Udupi

Boleh cuba untuk parasailing untuk mereka yang berminat

Suasana matahari terbenam yang amat menarik

Ada juga khidmat tunggang kuda di pantai tersebut

Pantai yang indah dan tidak pernah mengecewakan, cumanya agak sukar untuk mencari pengangkutan pulang sekiranya anda datang ke sini dengan menaiki auto.

Apan, Bulan Mac ni dia akan pulang ke Malaysia untuk sambung belajar di kampus MMMC di Melaka yang masih berbaki 2.5 tahun.

Antara makanan laut yang dijual di pantai tersebut. Jangan bimbang, harga amat berpatutan.

Suasana senja di Malpe Beach, sambil kami makan makanan laut yang boleh tahan sedap.
Setelah mengukir pelbagai memori di pelbagai destinasi, akhirnya percutian pada cuti Deepavali telah tamat. Setiap yang bermula pasti ada pengakhirannya. InshaAllah, saya akan terus mengembara jika ada kelapangan masa dan ada rezeki kerana saya yakin, ada saja pengalaman yang baru dalam setiap perjalanan. Jangan lupa ucap 'Subhanallah' andai ternampak sesuatu yang mengagumkan di sepanjang perjalanan.


Berjalan dan bermusafirlah
Untuk melihat kebesarannya
Lantas berfikir dan bersyukur
Di atas nikmat dan kurnianya
Nilai harganya iman dan taqwa
Bagi hamba yang setia


Bersama rakan-rakan seperjuangan di ASiS dulu sebelum pulang ke Belgaum. Semoga Allah S.W.T. kekalkan silaturrahim antara kami.

Cuti-Cuti Diwali 2013 : TAMAT.

4 ulasan:

  1. salam.sy nak tnya adakah permohonan ke usm kle hanya boleh sampai 3 kali sahaja?

    BalasPadam
  2. salam..nk tnye bile ek permohonan usm kle utk thun 2015

    BalasPadam
    Balasan
    1. Biasanya selepas keputusan matrik & asasi keluar..

      Padam