19 Feb 2014

Muhasabah Cinta Ku

..السلام عليكم و رحمة الله و بركات

Salam sejahtera, para pembaca sekalian. Entri kali ini istimewa untuk seorang anak seni Nusantara yang baru kembali ke rahmatullah, iaitu Allahyarham Aden EdCoustic.

Kumpulan EdCoustic, salah sebuah kumpulan yang terbaik di Nusantara. Arwah Aden di kiri, saudara Eggie di sebelah kanan.

Sebenarnya, ada kisah antara saya dengan EdCoustic. Sewaktu saya terlantar sakit di rumah kerana kemalangan, ada seorang rakan berikan pautan lagu 'Muhasabah Cinta' nyanyian kumpulan itu. Tanpa sedar, mengalir air mata keinsafan. Tak pernah saya berasa sedemikian rupa. Memang sebelum kemalangan itu, saya pernah mendengar lagu Muhasabah Cinta, namun tanpa penghayatan. Ternyata, bait-bait lirik yang terkandung dalam lagu Muhasabah Cinta amat menyentuh kalbu yang telah sekian lama kekeringan.

Ayuh, hayatilah seni kata Muhasabah Cinta ini, yang ditulis oleh arwah Aden:

Wahai... Pemilik nyawaku
Betapa lemah diriku ini
Berat ujian dariMu
Kupasrahkan semua padaMu

Tuhan... Baru ku sadar
Indah nikmat sehat itu
Tak pandai aku bersyukur
Kini kuharapkan cintaMu

Kata-kata cinta terucap indah
Mengalun berzikir di kidung doaku
Sakit yang kurasa biar jadi penawar dosaku

Butir-butir cinta air mataku
Teringat semua yang Kau beri untukku
Ampuni khilaf dan salah selama ini
Ya Ilahi....
Muhasabah cintaku...

Tuhan... Kuatkan aku
Lindungiku dari putus asa
Jika ku harus mati
Pertemukan aku denganMu



Sejak itu, saya mula kembali mendekati agama. Betapa hambaMu ini sudah sekian lama lalai, harus diingatkan dengan cara yang keras. Syukurlah, sesungguhnya setiap ujian itu adalah tanda kasih sayang Allah terhadap hambaNya. Tiada satu ujian Allah pun yang tidak mampu untuk kita galas. Allah tidak akan memberati seseorang itu dengan ujian yang tidak mampu untuk mereka jalani.

"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang di usahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.." [Al-Baqarah, 2:286]

Alhamdulillah, setelah kejadian itu, saya berkenalan dengan mereka yang cenderung dalam jalan keagamaan. Merekalah yang membimbing saya sehingga kini untuk terus kekal dalam jalan yang diredhai Allah. Hidup saya mula berubah sedikit demi sedikit. Kehidupan menjadi lebih rukun. Persahabatan juga dirasakan semakin seronok kerana mengharapkan keredhaan daripada Allah. Dulunya saya amat meminati lagu-lagu yang sering berkumandang di radio-radio biasa, namun kini tiada lagi dominasi lagu-lagu bergenre sedemikian dalam senarai putar (playlist) saya. Majoriti lagu yang saya dengari kini adalah lagu-lagu nasyid, ketuhanan dan berunsur nasihat.

Saya juga telah membuat keputusan untuk tidak lagi membuat persembahan nyanyian lagu-lagu selain bergenre nasyid, ketuhanan dan nasihat, di khalayak ramai dan di mana-mana media sosial. Bukanlah tidak mahu bekerjasama, namun ini merupakan keputusan saya sendiri. Hormatilah, semoga kita semua diberkati. Rezeki ada di mana-mana, boleh dicari, dan merupakan rahsia Allah S.W.T.

Saya berkongsi pengalaman ini bukanlah untuk menunjukkan saya lebih baik berbanding orang lain, atau dalam bahasa mudahnya, bukanlah untuk menjadi 'poyo', namun niat saya adalah untuk berkongsi dengan para pembaca bahawasanya lagu ini telah mencetuskan kesedaran untuk saya berubah ke arah yang lebih baik. Biarlah anda mahu fikir yang bukan-bukan, namun Allah S.W.T. sahaja yang tahu isi hati saya.

Antara penglibatan terakhir arwah Aden EdCoustic dalam bidang seni adalah lagu 'Kau Ditakdirkan Untukku', bersama kumpulan nasyid Inteam. Sebuah karya yang hebat.



Akhir kata, semoga arwah Aden EdCoustic ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Ayuh kita sedekahkan al-Fatihah, semoga arwah tenang di sana.



Kang Aden, jasamu tetap akan ku kenang. Terima kasih atas lagu-lagu dendangan semasa kang bersama EdCoustic, terutamanya lagu Muhasabah Cinta. Semoga Allah mengganjari kang Aden dengan sebaik-baik ganjaran.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan