25 Mac 2013

Selamat Hari Polis Ke-206

..السلام عليكم و رحمة الله و بركات

Salam sejahtera, semua. 25 Mac 2013 merupakan Hari Ulang Tahun a.k.a. Hari Polis yang ke-206. Di kesempatan ini, aku ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Polis kepada seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM), sama ada yang sedang berkhidmat atau yang telah bersara. Kepada warga PDRM yang beragama Islam yang telah tiada, sedekahkan al-Fatihah kepada mereka, semoga ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.



Kepada abahku, KPL R/F 74622 Roslan bin Abdul Rahim, selamat hari polis. Terima kasih kerana terus gigih mencari rezeki kepada kita sekeluarga, pagi petang siang malam, tak kira panas terik atau hujan badai. 21 tahun membesar di dalam keluarga polis dan bersama keluarga-keluarga polis yang lain di Perumahan Polis Wakaf Mek Zainab, Kota Bharu, Kelantan. Tahun depan merupakan tahun terakhir abah berkhidmat dalam PDRM.

Tentu ramai yang teringat kisah Lahad Datu dan Semporna, yang mana belum selesai ketika entri ini ditulis. . Al-Fatihah sekali lagi kepada wira-wira yang gugur. Kepada yang cedera, semoga tabah dan terus sedia berkhidmat untuk agama, bangsa dan negara. Sekurang-kurangnya mereka sanggup menggadaikan nyawa untuk mempertahankan negara. Kita?

Aku ingin berkongsi berita daripada selangordaily.com sempena Hari Polis ke-206 ini:

Hari Polis Ke-206:Jasamu Dikenang!! Menjaga Kedaulatan Negara


Hari Polis ke 206 akan disambut pada Isnin 25 Mac 2013 akan dirasmikan oleh PM DS Najib . Disamping itu ESSCOM akan diwujudkan demi memastikan kedaulatan negara terus terjamin dari dicerobohi oleh anasir-anasir yang tidak diingini.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga menerbangkan khas 93 anggota barisan hadapan yang terlibat secara langsung dalam Operasi Daulat untuk menyertai perbarisan Hari Polis Ke-206 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) esok.

Kumpulan yang terdiri daripada 50 anggota dan 13 pegawai Komando VAT69 dan Jabatan Siasatan Jenayah itu dijangka menyertai perbarisan dengan mengenakan pakaian seragam lengkap semasa operasi di Lahad Datu dan Semporna, Sabah.

Kumpulan itu merupakan pasukan barisan hadapan yang terlibat secara langsung dalam pertempuran di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 1 Mac dan serangan hendap di Kampung Simunul, Semporna sehari selepas itu.

Pertempuran antara pasukan keselamatan dan militan dari selatan Filipina yang menceroboh Sabah sejak 12 Feb lepas, di Kampung Tanduo mengorbankan dua anggota keselamatan manakala enam anggota polis gugur dalam serangan hendap di perkampungan air di Semporna.

Mereka yang terkorban di Kampung Tanduo ialah ASP Zulkifli Mamat, 29, dan Sjn Sabarudin Daud, 46, manakala anggota yang gugur di Semporna ialah ACP Ibrahim Lebar, 52, dan Kpl Mohd Azrul Tukiran, 27, DSP Michael Padel, 36, Sjn Mejar Baharin Hamid, 49, Sjn Mejar Abdul Aziz Sakirun, 48, dan Sjn Salam Togiran, 42.

Tujuh balu dan seorang waris anggota yang terkorban akan mengambil kenaikan pangkat pegawai dan anggota berkenaan.  Pasukan keselamatan telah  menunjukkan kesungguhan, komitmen dan kepahlawanan yang tinggi dalam menangani krisis pencerobohan di Sabah.

Sambutan Hari Polis, yang bertemakan ‘Komuniti Sejahtera Komitmen Kami’ itu antara lain, akan mengetengahkan revolusi kepolisian negara sejak zaman Kesultanan Melayu hingga kepada usaha pasukan keselamatan itu ke arah perkhidmatan masyarakat bertaraf dunia.

Tiga era perkhidmatan PDRM itu ialah dari zaman Kesultanan Melayu sehingga negara mencapai kemerdekaan; pasukan polis di zaman pasca merdeka sehingga era komunis; dan menuju era kepolisian bertaraf antarabangsa.

Konsep ketiga-tiga era itu akan dipersembahkan dalam perbarisan Hari Polis, merangkumi kelengkapan dan pakaian polis. Turut dipersembahkan pada perbarisan itu ialah pertunjukan pantomin yang akan dipersembahkan mengikut era kepolisian masing-masing.

Pasukan polis buat pertama kalinya akan mempersembahkan lagu tema perbarisan sempena sambutan Hari Polis

Dalam menuju status polis bertaraf dunia, PDRM memperkenalkan pelbagai inisiatif seperti terbaharu menubuhkan Unit Rondaan Bermotosikal PDRM (URB) dengan peruntukan RM20 juta bagi membeli 1,000 motosikal.

Bagi mencapai Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) mengurangkan jenayah, pelbagai usaha dilakukan PDRM antaranya menambah bilangan anggota di kawasan ‘panas’ serta penggunaan kamera litar tertutup di kawasan yang berisiko tinggi untuk mengurangkan jenayah seperti ragut, curi kenderaan dan samun.

Hari Polis disambut setiap tahun pada 24 Mac bagi mengenang jasa dan mengingati sejarah penubuhan pasukan keselamatan itu yang banyak menabur bakti kepada negara termasuk mempertahankan negara daripada ancaman komunis.

Harapan kepada warga PDRM, semoga menjalankan tugas dengan lebih baik dalam menjaga keharmonian masyarakat. Tidak dinafikan bahawa bukan semua polis yang melakukan kerja dengan balik. Ada juga yang rasuah. Ada juga yang menyeleweng. Ada juga yang curi tulang. Adapun yang bersikap sedemikian, ketahuilah bahawa ramai lagi polis yang sedang berkhidmat dengan lebih baik. Ada yang berkorban masa dan tenaga untuk kesenangan kita. Semoga mereka terus diberikan kekuatan untuk berkhidmat kepada agama, bangsa dan negara. Betullah peribahasa Melayu, kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Kepada warga PDRM yang mengamalkan rasuah, penyelewengan dan sebagainya, semoga anda insaf dan tidak lagi melakukannya agar tidak mencalarkan nama baik PDRM.

Akhir kata, jutaan terima kasih kepada PDRM. Hanya Allah S.W.T. mampu membalas jasa anda semua.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan