8 Jan 2014

Cuti-Cuti Diwali : Bangalore

..السلام عليكم و رحمة الله و بركات

Salam sejahtera, semuanya. Jom, sambung cerita percutian semasa Deepavali tempoh hari.

Kira-kira pada jam 10.00 malam, 1 November 2013, saya bersama Helmi Hamid dan Najmi Latif bertolak ke Bangalore dari Dharwad. Kami tiba di Bangalore pada jam 6.30 pagi keesokan harinya. Secara lebih spesifiknya, kami berhenti di sebelah stesen kereta api Yeshwantpur dan kemudian berpecah ke destinasi masing-masing.

Saya dan Helmi meneruskan perjalanan kami dengan menaiki 'auto' ke rumah sahabat lama saya, saudara 'Isa Al-Wafa. Ada sedikit drama di pagi hari, namun lupakan sahaja kerana perut yang lapar perlukan makanan. Sarapan dulu di Gokula dengan juadah nasi lemak dan ayam goreng. Selepas itu, barulah kami ke rumah sahabat saya itu dengan bantuan saudara Amirul Hasbi, Presiden ISMA India, yang merupakan kenalan saya di Bangalore.

Inilah rumah akhi 'Isa di Bangalore. Baitul Na'im nama diberi. Akhi 'Isa menyewa bersama akhi Fareed dan Naqib. Jangan salah sangka, mereka hanya menyewa di tingkat paling atas.

Setelah tiba di rumah akhi 'Isa dan selepas berehat, saya bersama 'Isa dan Helmi ke Bangalore Baptist Hospital untuk melawat seorang ikhwah yang sedang sakit. Ikhwah yang dimaksudkan adalah saudara Fatah Md Radzi, atau lebih mesra disapa dengan panggilan akhi Fatah. Akhi Fatah baru selesai pembedahan di bahagian lutut untuk membaik pulih Anterior Cruciate Ligament (ACL).

Warga Belgaum melawat akhi Fatah yang terlantar di hospital
Akhi Fatah yang merupakan pelajar tahun akhir di IMS-MSU Bangalore ditemani oleh isterinya sepanjang berada di hospital. Masih mampu tersenyum walaupun sedang sakit.

Sebelah petangnya, kami bertiga ke Orion Mall pula untuk membeli-belah dan cuci mata. Almaklumlah, tiada pusat beli-belah di Belgaum. Variasi makanan juga banyak, alhamdulillah, banyak yang halal.

Antara kedai yang ada di dalam Orion Mall

TESCO di India?!

Fish and Chips versi India. Pertama kali makan di Bangalore, rasanya boleh tahan.

Kemeriahan Deepavali di India turut diraikan di Orion Mall

Hasil beli-belah di Orion Mall, saya berjaya membeli sehelai 'dupatta', iaitu aksesori untuk kurta yang bakal dipakai pada keesokan harinya di Mysore. 'Dupatta' ini lebih kurang skaf, namun lain sikit. Nak tengok gambar? Tunggu.. Takkan nak jalan dalam Orion Mall sahaja kan? Kami jalan-jalan di sekitar Mahatma Gandhi Road (MG Road) dan Brigade Road pula. Tak dilupakan, Commercial Street.


Snow Gola, aiskrim yang unik. Nak tahu macam mana cara pembuatannya? Mula-mula, bongkah ais akan dikisar seperti mana cara pembuatan air batu campur, kemudian akan dimampatkan di dalam gelas dan dicucuk lidi, dan selepas itu akan dicelup di dalam perisa yang diinginkan.

Levi's Square di Brigade Road
Deretan kedai berjenama di Brigade Road


Krispy Kreme Doughnuts di Commercial Street. Teruja sedikit kerana tiada donut sesedap ini di Belgaum.

Sinar Islam di Bangalore. Alhamdulillah, ada juga masjid di celah kesibukan kota di negara yang bukan majoriti rakyatnya beragama Islam.

Hard Rock Cafe, Bengaluru.
Keesokan harinya, saya dan Helmi ke Mysore pula, sebuah bandar yang terletak kira-kira 2 jam 30 minit perjalanan dari Bangalore. Tak mengapa, kisah di Mysore akan diungkap dalam entri yang seterusnya.

Hari yang berikutnya, kami sambung jelajah kami di Bangalore dengan ke Pheonix Market City (Bangalore) yang terletak di . Setelah mendengar cerita daripada rakan-rakan di Bangalore, rasa teringin pula untuk ke sana. Yang penting, di sana ada sebuah restoran Malaysia, iaitu Secret Recipe. Untuk ke Pheonix Market City, kami perlu menaiki 'Metro' (sama sahaja seperti LRT di Kuala Lumpur) dari stesen MG Road ke Baiyappanahalli.

Stesen Metro MG Road

Ini merupakan stesen terminal setakat ini kerana jajaran aliran Metro belum siap sepenuhnya.

Helmi bersemangat

Inilah rupa koc Metro di Bangalore

Terasa seperti di Kuala Lumpur meskipun tak sama

Pengalaman kali pertama menaiki Metro Bangalore. Boleh tahan selesa!

Stesen terakhir, Baiyappanahalli. Susah nak sebut pada awalnya. Untuk ke Phoenix Market City, kami perlu menaiki 'auto' dengan tambang Rs.60. Macam biasa, hati-hati, elakkan diri anda ditipu pemandu 'auto'!

Pemandangan yang menarik

Phoenix Market City, Bangalore. Macam-macam ada di sini, boleh tengok senarai kedai-kedai utama di luar bangunan.

Tujuan utama saya ke Pheonix Market City. Rindukan suasana di Malaysia.

Untuk pengetahuan pembaca sekalian, cawangan Secret Recipe ini merupakan cawangan pertama di India. Definisi kerinduan kepada Malaysia tidak bermakna buat seketika apabila dapat menjamu selera di sini walaupun harganya sedikit mahal berbanding di Malaysia. Mungkin untuk menampung kos penghantaran. 
Suasana di dalam kedai. Terasa benar-benar seperti di Malaysia.

Lagi suasana di dalam Secret Recipe, Bangalore. Yang penting, pekerja sini boleh cakap Bahasa Melayu walaupun tak berapa fasih.

Marble Cheese Cake. Sama sahaja rasanya seperti di Malaysia. Akhirnya dapat juga cheese cake yang sama seperti di Malaysia, kerana di India, kebanyakan kek dibuat tanpa menggunakan telur demi menjaga diet masyarakat India yang makan makanan berasaskan sayur sahaja (vegetarian).

Lupa nama menu ini, tapi ini adalah makaroni dan keju berserta udang. Amat sedap, alhamdulillah. 

Malamnya, makan di sebuah restoran yang bernama Casino Restaurant. Casino?! Jangan disalah erti, tiada unsur hiburan yang lagha pun di situ. Minuman keras dan makanan haram pun tiada. Hanya nama yang kontroversi. Alhamdulillah, akhi 'Isa belanja makan. Semoga Allah memberkati sahabatku nan seorang ini.

Grilled Chicken yang amat sedap, lebih sedap bila orang belanja =)

Bersama akhi 'Isa, rakan seperjuangan di SM Sains Alam Shah (ASiS) dulu. Kami ditakdirkan di sini, dan di sinilah peluang kami untuk mengeratkan lagi ikatan persahabatan yang terjalin sejak tahun 2008. 

Mercun yang amat panjang! Boleh menghasilkan 10,000 letupan. Sempena perayaan Deepavali. Agak membazir dan mengganggu ketenteraman awam. Mungkin mereka sudah terbiasa dengan budaya mereka saban tahun. Pembaca yang beragama Islam, kalau boleh, elakkan budaya membazir, kerana sesungguhnya membazir itu amalan syaitan. Lebih baik wang itu disalurkan untuk tujuan yang lebih berfaedah.

Saya berada di Bangalore sehingga 6 November 2013. Menumpang berteduh di rumah akhi Hasbi dan akhi Hafizulfaiz pula. Mereka merupakan pelajar tahun akhir di IMS-MSU. Kediaman mereka diberi nama Baitul Hikmah. Memang banyak hikmahnya. =)

Banyak buku di BH. Sempat baca buku ini. Mungkin berguna pada masa hadapan? :D

Memperkenalkan, Mario. Kucing milik akhi Hafizulfaiz. Teringat kucing-kucing yang pernah dibela di rumah dulu.

Banyak kenangan yang tercipta sama ada yang diungkapkan dalam entri kali ini mahupun tidak. Apa-apa pun, terima kasih kepada semua yang memberi layanan terbaik untuk saya dan Helmi. Destinasi berikutnya, Mysore. Kisah di sana akan dikemas kini dalam entri yang berikutnya.

2 ulasan:

  1. amboi , bestnya !!

    :)

    singgah sini ..meh folo if blm . i will follow back !! salam ukhwah !!
    :)

    BalasPadam