16 Mei 2010

LILIN MEMBAKAR DIRI

Guru – insan yang amat mulia dalam hidup ini. Gurulah yang bertanggung jawab untuk menyampaikan ilmu kepada kita yang jahil ini. Ibarat lilin yang membakar diri, guru, tanpa mengenal erti penat lelah telah berusaha sedaya-upaya untuk mendidik dan membimbing kita ke arah yang benar dan betul. Mereka juga telah memberi tunjuk ajar kepada kita dalam pelbagai subjek yang dipelajari oleh kita di sekolah.


Kerjaya sebagai guru adalah amat terpuji. Sama ada anda sedar atau tidak, guru juga menjalankan sebahagian daripada tugas rasul, iaitu menyampaikan ilmu. Justeru, golongan guru ini begitu mulia kerana mereka telah menyampaikan ilmu milik Allah SWT yang tidak terkira bilangannya. Malahan, golongan guru juga menerima manfaat daripada pengajaran yang dilakukan oleh mereka.


Hal ini demikian kerana selagi mana ilmu yang disampaikan itu dimanfaatkan, kebaikan daripada ilmu itu akan terus diterima oleh orang yang menyampaikan ilmu itu, yakni guru, walaupun guru itu telah meninggal dunia.


Kini, 16 Mei tiba lagi. Sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan sekali lagi diadakan di seluruh negara. Hari Guru ini bertujuan untuk mengenang jasa guru yang telah bekerja keras selama ini untuk mendidik anak bangsa untuk menjadi modal insan yang berkualiti pada masa depan. Tahun ini, sambutan Hari Guru bertemakan ‘Guru Pembina Negara Bangsa’- begitu tepat untuk menggambarkan betapa beratnya tanggungjawab yang dipikul oleh seseorang insan yang bergelar ‘guru’ untuk melihat anak bangsanya berjaya.


Hakikatnya, guru tidak mengharapkan balasan wang ringgit atau balasan dari segi material. Balasan yang selayaknya diterima oleh guru ialah KEJAYAAN - khususnya dalam peperiksaan atau dalam kehidupan amnya. Bayangkan hati seorang guru, sekiranya kita menghadiahkan gred A dalam subjek yang diajar oleh seseorang guru, pastinya hati guru tersebut akan melonjak kegembiraan. Namun, sekiranya keputusan kita agak mengecewakan, pastinya robek hati seseorang guru itu.


Dalam konteks kehidupan amnya, apabila kita berjaya dalam kehidupan, pastinya guru akan berbangga dengan kita – anak didik mereka. Guru mana yang tidak mahu melihat anak didik mereka menjadi ahli korporat, orang kenamaan atau menteri, atau ingin melihat anak didik mereka menceburkan diri dalam profession lain, seperti jurutera, doktor, saintis atau arkitek. Renungkanlah, seandainya kita gagal dalam hidup, dan menjadi penganggur ataupun yang lebih teruk lagi, sampah masyarakat seperti penagih dadah dan ‘samseng jalanan’? Pastinya luluh hati guru kita sekiranya mereka terdengar berita tentang kita. Oleh itu, janganlah kita hancurkan hati guru kita.


Sempena Hari Guru ini, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan “Terima kasih, cikgu!” kepada guru-guru yang pernah mendidik dan membimbing diri ini selama 11 tahun saya berada di bangku persekolahan. Kepada guru-guru yang pernah mengajar diri ini di SK Ismail Petra 1, Kota Bharu ; SMK Ismail Petra, Kota Bharu; dan SM Sains Alam Shah, Kuala Lumpur, hanya Allah yang dapat membalas jasa cikgu. Tanpa cikgu, saya tidak mungkin dapat menggenggam erat kejayaan dalam UPSR, PMR dan SPM. Siapalah saya kalau tanpa guru-guru sekalian. Halalkan semua ilmu yang dicurahkan dulu. Dengan izin Allah, saya akan manfaatkan segala tunjuk ajar yang disampaikan dulu untuk menempuh kehidupan yang mencabar ini. Semoga Allah melindungi cikgu-cikgu semua daripada marabahaya dan malapetaka. Semoga rezeki cikgu-cikgu semua akan bertambah, berkat hasil cikgu-cikgu semua. Jasa cikgu-cikgu semua memang tiada tolok bandingnya, dan tidak ternilai. Hanya ucapan terima kasih jualah yang saya mampu berikan sebagai tanda ingatan kepada cikgu-cikgu semua. Anda semua adalah yang terbaik!


Kepada rakan-rakan pula, janganlah hanya ingat kepada guru-guru kita pada Hari Guru sahaja. Sentiasalah ingat kepada guru yang telah banyak berjasa kepada kita. Ucaplah “Selamat Hari Guru” kepada guru-guru anda, tanda ingatan tulus ikhlas dan kasih sayang kepada insan yang bergelar ‘guru’. Doakanlah kesejahteraan mereka sebagai tanda penghargaan kepada guru kita. Kenanglah jasa guru-guru kita. Tanpa mereka, tidak mungkin kita akan jadi seperti sekarang. Renung-renungkanlah.


Akhir kata, saya sayang cikgu-cikgu semua!!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan