Memaparkan catatan dengan label sakit. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label sakit. Papar semua catatan

31 Dis 2013

Imbasan 2013

..السلام عليكم و رحمة الله و بركات

Salam sejahtera, semua. Ini adalah entri terakhir untuk tahun 2013.

Tahun 2013 hampir melabuhkan tirai. Akan datang pula tahun 2014. Syukur ke hadrat Ilahi, kita masih diberi peluang untuk hidup hingga ke hari ini. 365 hari yang berlalu banyak meninggalkan memori yang manis dan juga pahit.

Yang manis pada 2013:






















  • Pengalaman belajar fotografi dengan lebih mendalam














































Yang pahit pada 2013:







  • Dijangkiti demam denggi




Apa-apa pun, alhamdulillah, tahun 2013 menyaksikan kesihatan saya secara keseluruhannya bertambah pulih, namun bukan sepenuhnya. Masih terbatas, namun sudah banyak perkembangan baik. Terima kasih kepada rakan-rakan yang sentiasa bersama saya semasa senang atau susah.

Yang manis, kekalkannya sebagai kenangan yang indah dalam hidup anda. Yang pahit, terimalah seadanya meskipun sukar untuk dilupakan. Ambillah iktibar, dan jadilah insan yang lebih baik. Mungkin ada hikmah yang menunggu di hujung jalan, inshaAllah, yakinlah dengan qada' dan qadar.

Sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud:

"Barang siapa yang amalannya hari ini lebih baik dari semalam, dia adalah orang yang beruntung.
Barang siapa yang amalannya hari ini sama dengan yang semalam, dia adalah orang yang rugi.
Barang siapa yang amalannya hari ini lebih buruk dari hari semalam, dia tergolong orang yang dilaknat Allah SWT."

Sempena tahun baru ini, ayuh semua, kita buka buku baru, jadikan tahun 2014 lebih baik daripada tahun 2013. Jadilah insan yang lebih taat dan beriman kepada Allah S.W.T.. Sama-samalah kita mencari keredhaanNya.

Biar Allah sayang, biar syaitan benci.

30 Sep 2013

Sakit Itu Kaffarah Dosa

..السلام عليكم و رحمة الله و بركات

Salam sejahtera, semua. Entri kali ini mengenai perjalanan pulang ke India tempoh hari.

Setelah menikmati percutian selama 6 minggu di tanah air, akhirnya tamat jua cuti aku. Ahad, 8 September 2013, tarikh kepulangan aku ke India. Namun, sejak 3 hari sebelum tarikh kepulanganku ke India, aku mula berasa tidak sedap badan dan demam yang amat panas. Pening kepala pun teruk. Hilang selera makan. Aku abaikan sahaja kerana menyangka demam itu berpunca daripada makan durian hari tu, namun kenapa demam ni berpanjangan?

Maka, pada hari Ahad itu, aku ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Kota Bharu untuk menaiki penerbangan ke Kuala Lumpur yang dijadualkan pada 9.25 pagi. Setelah menimbang berat muatan aku, nampaknya terlebih dalam 7kg. Terpaksalah buang sedikit muatan itu, dan syukur bila ada kawan perempuan sekelas denganku, dia masih ada 4kg yang boleh dimuatkan dalam ruangan bagasinya. Boleh tumpang sikit.

Namun, setelah beberapa ketika, tak tengok jam, nampaknya dah pukul 8.50 pagi. Kaunter AirAsia dah tutup. Tak sempat nak masuk dalam balai berlepas, sedangkan kawan aku tadi dah masuk! Aku cuba jugak nak masuk ke dalam balai berlepas dengan bagasi yang belum dicheck-in lagi, namun cubaan itu gagal. Pengawal tu kata, kalau nak masuk jugak, kena tinggalkan bagasi tu. Memang tak la. Banyak barang kat dalam tu. Maka, aku sanggup menanggung kerugian. Tunggu bila flight seterusnya. Kena beli tiket baru. Tidak boleh tidak, aku mesti balik ke India jugak pada hari itu meskipun terlepas flight dari KB, sebab pada aku ada tiket bas untuk 4 orang dari Bangalore ke Belgaum. Tarikh perjalanan pulak pada hari yang sama, makanya, kalau aku tak pulang pada hari itu, kesian kepada rakan-rakan yang lain, di samping kami yang menanggung kerugian.

Alhamdulillah, ada flight pada jam 12.05 tengah hari. Maka, aku pun terus beli tiket baru. Sepatutnya, kalau beli on the spot, kena bayar RM1180. Berpeluh aku bila mendengarnya, tapi mujurlah ada duit. Aku keluarkan dari akaun bank di India untuk menanggung kerugian itu. Pekerja AirAsia di kaunter tu suruh aku tunggu dulu untuk tempoh lebih sejam sebab dia nak tolong aku kurangkan kos tiket tu. Alhamdulillah, seakan-akan Allah membantu aku, aku hanya perlu membayar RM200, hampir 6 kali ganda lebih murah daripada harga asal. Tak tahu mereka buat macam mana, tapi syukur alhamdulillah. Takdelah aku rasa kesal sangat.

Bergegas ke LCCT.


Setelah drama di LTSIP tadi, akhirnya aku berlepas juga ke Kuala Lumpur bukan pada jam 12.20 tengah hari. Lewat sikit, biasalah AirAsia selalu delay. Namun alhamdulillah, berjaya sampai di LCCT tepat pada waktunya. Di sana dua orang kakak aku, abang ipar dan anak buah dah menunggu, ada barang yang perlu diserahkan dan perlu diambil. Jumpa kejap je dalam 5 minit sebab kena bergegas check-in untuk flight ke Bangalore pulak. Kesal jugak dapat jumpa kejap je. Alhamdulillah sempat check-in dan selesaikan urusan imigresen. Ramai warga USM-KLE pulang pada hari berkenaan rupa-rupanya.

Pesawat AK1211 ke Bangalore

Hujan seakan menangisi pemergianku dari tanah air. Hehe.. InsyaAllah, awal bulan 6 balik lagi =)


Flight ke Bangalore kali ni tak delay, tepat pada masanya. Dalam flight tu, aku order dua makanan, namun hanya mampu habiskan satu sahaja. Sebelum ni, jika naik flight, tak pernah aku beli minuman atas flight (sebab mahal), tapi hari tu, terpaksa beli beberapa kali sebab aku mengalami dehidrasi yang luar biasa atas flight tu. Badan pun menggigil walaupun pakai jaket kulit. Pendek kata, 4 jam 15 minit yang menyeksakan. Lupa pulak nak tambah sejam flight dari KB ke KL. Tiba di Bangalore pada jam 5.30 petang waktu India.

Tiada apa yang perlu dikejarkan kerana bas kami ke Belgaum akan berlepas pada jam 11.00 malam waktu India. Maka, kami singgah ke Raghuram Residency, Gokula untuk ke Baitul Hikmah (BH), iaitu rumah akhi Fatah dan Hasbi, bakal pelajar tahun akhir di IMS-MSU. Hari tu sebelum balik Malaysia pun singgah BH jugak. Mereka memang sentiasa bersedia untuk menerima tetamu.

Memandangkan keadaan kesihatan aku yang kurang mengizinkan, sakit kepala, sakit-sakit badan, pening kepala yang teruk, maka rakan-rakan aku yang membantu angkat semua barangan aku yang berjumlah lebih 50kg. Luggage saja dah 22+18kg. Sangat terhutang budi. Keadaan kesihatan aku juga menyebabkan aku tak dapat berborak banyak dengan tuan rumah. Terpaksa tidur di sofa ruang tamu BH. Rasa macam kurang ajar pun ada, namun aseef jiddan, maafkan ana kerana ana benar-benar tak sihat. Sekali lagi, makan pun rasa tak lalu. Sempat makan dua tiga mulut je. Maaf ye tuan rumah =(

Sempat bagi hadiah kepada bakal pengantin. Masa ni akhi Fatah bujang lagi, sekarang dah menemui tulang rusuk kirinya yang hilang. Hehe


Naik bas pada jam 11.00 malam di Anand Rao Circle, dan tiba di Belgaum pada jam 6.45 pagi. Setibanya di bilik, tak kemas pun barang-barang. Terus cari cadar dan sarung bantal, kemudian tidur. Rasa amat lemah. Kemudian, petang tu, ajak kawan aku, Aznil Ramly ke hospital sebab dah tak tahan. Risau pulak, kot-kot jadi benda yang buruk. Buat ujian darah, keputusannya, platelet rendah dari biasa! Doktor suruh aku datang lagi keesokan hari untuk ulang ujian darah.

Pergi lagi ke hospital esoknya, pada waktu petang. Hasil ujian darah, platelet masih rendah daripada biasa, malahan lebih rendah dari hari sebelumnya. Doktor nasihatkan supaya masuk hospital. Maka, bermulalah 'penginapan' aku di hospital pada hari Selasa. Nasib baik dah siap sedia dengan semua barang yang aku bakal perlukan di hospital.

Akhirnya, doktor keluarkan diagnosis. Rupanya, aku demam denggi. Patutlah demam dia lain macam je.. Tapi yang penting, keadaan aku bertambah baik dari hari ke hari. Kalau aku degil tak nak ke hospital, mesti lagi teruk jadinya..

Bosan bila duduk hospital, tengok tv, tutup tv. Kat tangan, masuk air. Kesabaran itu yang utama. Syukurlah ramai yang datang melawat, termasuklah beberapa junior tahun pertama yang aku tak sempat pun jumpa lagi kat hostel tu. Tak kenal, blur-blur jugak, namun itulah permulaan ta'aruf untuk aku dan mereka. Hehe..

Masuk air kat tangan. Seksa dunia.


Akhirnya, pada hari Sabtu, boleh keluar dari hospital. Tahniah, seminggu tertinggal kelas. Nasib baik tajuk Bioethics je. Namun, alhamdulillah, keadaan jauh berbeza daripada sebelum masuk hospital. Tiada lagi demam atau sakit kepala. Yang penting, selera makan dah kembali. Badan aku sedikit susut selepas sakit ni. Takpe, memang aku berhajat nak mengurangkan berat badan. Baru saham naik. Eh!

Akhirnya, aku memulakan pembelajaran di tahun ke-3 secara rasmi pada 18 September 2013. Selalu macam ni, awal tahun akademik mesti ada masalah kesihatan. Namun aku yakin, ini semua kaffarah dosa, tanda kasih sayang Allah kepada aku.

Ini bukanlah kali pertama aku masuk hospital. Dulu, aku pernah dimasukkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu kerana patah kaki. 8 bulan kemudian, aku dimasukkan ke KLE Hospital sebab inflamasi tisu lembut (soft tissue inflammation) dekat bahagian bawah paha aku, tempat skru dipasang masa aku dibedah akibat patah kaki pada bulan Ogos 2012. Senang kata, satu daripada dua skru kat bahagian itu longgar. Maka, skru tu hampir terkeluar keseluruhannya, menyebabkan inflamasi pada tisu lembut, dan kemudian jadi bengkak, dan aku tak dapat 'lipat' kaki aku. Maka, satu lagi pembedahan dijalankan untuk buang skru. Tertinggal 2 minggu lagi kuliah dalam Musculoskeletal Block pada sidang akademik yang lepas. Betapa ironi nya aku ada masalah pada sistem musculoskeletal (otot dan rangka) pada blok tersebut. Jangan nanti belajar pasal sistem saraf (CNS), jadi gila pulak! Hehehe..

Inilah skru yang dikeluarkan. Berada dalam badanku selama 8 bulan.

Sekian saja coretan untuk kali ini. Kepada yang mendoakan kesihatanku, jazakumullahu khairan kathira, semoga kita sihat-sihat sokmo. =)

30 Nov 2012

Rawak

Assalamualaikum, salam sejahtera 1 Dunia!

Agak sibuk sejak kembalinya aku ke Belgaum, India, sebab banyak benda harus dilakukan. Hujung minggu ni, aku bakal ke Pune, Maharashtra untuk satu program. Nanti lepas aku pergi, aku tulis dalam blog ni pasal semua tu, tapi untuk sekarang, biarlah rahsia. Hehehe..

Entri kali ni adalah untuk berkongsi sedikit tentang gambar-gambar yang telah aku ambil sewaktu tiga bulan aku di Malaysia. 3 bulan.. Lama tu. Yang penting, gambar-gambar ini rawak ye.


Billboard besar punye ni terletak di hadapan Wisma Persekutuan Kota Bharu. Kat bandar KB, merata-rata tempat ada muka Apex. Jeles la pulak. Hahaha.. Tapi tak lama lagi nampaknya muka Mat Yo dah takkan kelihatan lagi..

SMK Ismail Petra, Kota Bharu, Kelantan. 3 tahun aku belajar kat sini, dari Tingkatan 1 sampai Tingkatan 3, sebelum ke ASiS. Banyak kenangan kat sini. Gambar diambil sewaktu membuat ceramah di sana, tentang pembelajaran aku dalam bidang perubatan. (masa tak kemalangan lagi)

Menara jam di tepi Sungai Kelantan. Terletak di Tambatan Diraja. Ramai juga orang lepak malam-malam kat sini.

Tambatan Diraja pada waktu malam..

Setelah beberapa minggu kemalangan. Di depan Jabatan Ortopedik dan Traumatologi, Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu. Hadir untuk temu janji bersama doktor pakar.

Iklan hari raya oleh Suria FM. Keunikan terserlah di situ, apabila Kenchana Devi pun pakai tudung kat Kelantan! Memang syarat untuk iklan-iklan di sana untuk menutup aurat dan ada tulisan jawi. Satu langkah yang harus dipuji.

Tatkala hujan turun. Orang sakit, tak tahu nak buat apa, jadi, bosan-bosan, ambiklah gambar dari tingkap.

Flyover depan KB Mall. Hampir siap nampaknya. Terasa macam kat KL pulak. Hehe..

KB Mall. Sekali je aku pergi hari tu, dengan bertongkat. Penat jugak. Aisehhh...

Jalan Gerik - Pasir Puteh. Nak balik kampung aku kat Tanah Merah.


Restoran Nasi Lemak Sri Maharani, atau lebih dikenali sebagai Restoran Nasi Lemak Tok Wan, terletak betul-betul di bandar Tanah Merah, Kelantan. Nasi lemak dia, serius sedap! Agak terkenal dan masyhur di seluruh negeri Kelantan, terutamanya di Tanah Merah.


Selepas hujan turun. Lokasi : Selepas Jambatan Kusial, menghala ke Machang.


Menghala ke Machang. Lokasi : Kg. Wakaf Bata, Machang. Pepohon yang indah menghiasi kiri dan kanan jalan.

Flyover berhampiran bandar Machang. Belok kiri ke Kota Bharu, terus untuk ke Pasir Puteh dan Machang, kanan ke Kuala Krai.

Selepas hujan di pekan Ketereh. Jalan agak sesak.


Lampu trafik di hadapan KB Mall.. Suasana senja.

Menghampiri malam di tengah bandar Kota Bharu.

Pintu gerbang yang amat popular di Kota Bharu.

Beli-belah kat KB Mall. Sape kata orang patah kaki tak boleh pergi shopping? Hehe..

Pasar malam di hadapan Masjid Saidina Hamzah, Kuala Lumpur. Masa ni aku kat rumah kakak aku, seminggu jugak lamanya. Sebelum pulang ke India.

Baiklah, itu aje gambar yang aku dapat kongsikan, sebab tak mampu nak ambik gambar bebanyak. Korang tahu kenapa kan. Hahaha.. Gambar-gambar ni pun banyak aku ambik masa duduk dalam kereta, kecuali yang awal-awal tu, sebelum aku patah kaki.

Patutlah kawan-kawan aku hairan, tak tahu apa yang jadi pada aku. Mestilah, sebab aku sempat habiskan cuti di Malaysia secara normal hanya 3 hari. Sedih kan? Haha.. Takpe, tu cerita lama. Yang penting, aku makin sembuh, dan sekarang dah pakai tongkat sebelah sahaja. Alhamdulillah. 2 bulan lagi, insyaAllah akan pulih semula kaki aku ni. Buat masa sekarang, bertongkat sebelah je, untuk ke kuliah, kelas klinikal, kelas-kelas lain dan ke mana sahaja. Yang seronok, aku ke kelas klinikal kat Hospital Prabhakar Kore tu, ada orang bawak naik kereta. Setiap minggu.  Syukur, ringan sikit bebanan aku, tak perlu berjalan jauh.

Kepada keluarga, kaum kerabat, sahabat handai, guru-guru dan sesiapa jua yang mengenali diri ini, jangan khuatir, jangan risau, pandai-pandailah saya menjaga diri. Selama hampir sebulan di sini, dah mula sesuaikan diri. Rasa bersalah pun ada sebab terpaksa minta jasa baik daripada orang lain untuk membantu aku dalam kehidupan seharian. Syukur sebab ramai orang yang membantu aku setiap hari. Dengan rendah diri, aku mintak maaf kalau aku menyusahkan korang, dan aku harap korang faham akan kesukaran yang aku hadapi. Mungkin hari ini hari aku, mungkin hari esok hari korang pulak kan? Aku akan ada di situ nanti kalau korang memerlukan, dan aku akan bertindak atas kemampuan..

Sekian dahulu coretan aku untuk kali ini, setelah sekian lama bersawang blog ni. :D

18 Okt 2012

Nak Balik India Dah..

Assalamualaikum, salam sejahtera 1 Dunia!

Macam tajuk kat atas tu, aku nak umumkan bahawa tak lama lagi aku dah nak balik India.. Belgaum, lebih spesifik. Pulang meneruskan pengajian dalam bidang perubatan di tahun kedua...



Hasil temu janji bersama doktor hari tu, mendapati bahawa aku masih belum sembuh sepenuhnya, tapi sudah ada perkembangan berbanding 6 minggu lepas. Doktor izinkan aku balik ke India, tapi masih lagi kena pakai tongkat dua-dua belah. Teruskan 'follow-up' kat India pulak. Kiranya, kes aku dah discharge dari Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

InsyaAllah, setelah mendapat lanjutan cuti sakit (MC) dari doktor, maka aku akan balik ke India pada 4 November 2012. Walau bagaimanapun, aku hanya akan mula kembali ke kelas pada 7 November, sebab nak uruskan pendaftaran kes aku kat hospital sana pulak.

The MC. Tengok tulisan doktor :D
Aku akan berhari raya Aidil Adha di rumah aku di Kota Bharu, Kelantan. Kebetulan, pada hari raya pertama nanti, ada majlis aqiqah anak buah aku kat rumah... Namun, 28 Oktober nanti, aku akan ke Kuala Lumpur pulak, sampai 4 November. Duduk rumah kakak aku pulak kat KL.. Mungkin ada harapan untuk jumpa kawan-kawan kat sana pulak, tapi susah jugak sebab nak kena pakai tongkat ni lagi.

"Macam mana nak bawak barang banyak-banyak?"

InsyaAllah, sebaik sahaja aku mendarat kat airport Bangalore nanti, ada sahabat yang akan datang ambik. Syukur alhamdulillah, kurang bebanan aku.. Kalau tak, macam mana lah nak bawak barang-barang tu nanti. Nak pergi LCCT nanti pun kakak aku akan hantar. Jadi, takde masalah nak bawak barang-barang tu nanti..

Dah 6 minggu aku sambung cuti ni. Tak sanggup nak tinggal lebih banyak kelas. Jadi, aku ambil keputusan untuk balik sana, walaupun doktor cakap boleh je nak stay kat Malaysia lagi. Takpe, aku terpaksa pulang ke Belgaum untuk meneruskan pengajian, sebab Selanjar 1 bakal menjelma pada bulan Februari...

Kepada rakan-rakan kat Belgaum, tunggu sahaja kepulangan aku.. Kalau aku perlukan bantuan, terutamanya untuk bergerak ke sana-sini, harap dapat bantu aku deh.. Mungkin hari ini hari aku, dan mungkin akan datang nanti hari korang pulak. Di saat itu, aku akan ingat balik jasa yang korang pernah taburkan kat aku.. Semoga Allah sayang. :)

2 Okt 2012

Tragedi Oktober

Assalamualaikum, salam sejahtera 1 Dunia!

Sebelum apa-apa hal, aku nak belanja korang satu lagu, yang judulnya macam entri kali ini iaitu 'Tragedi Oktober' oleh Awie.

Nak play, play lah.. Tak nak play, sudeyhhhh.. :P



Ni apahal tetiba share lagu Tragedi Oktober ni?? Takde ape la, jangan risau. Takde tragedi pun yang berlaku pada aku.. Tragedi hujung bulan Julai hari tu je tak habis-habis lagi. Haha.. Alhamdulillah, aku semakin pulih daripada kecederaan yang teruk akibat kemalangan jalan raya tempoh hari. Lagu ini hanya lagu kegemaran aku sahaja. Hehe..

Oktober ni juga menandakan lagi sebulan penuh aku tinggal di Malaysia. Temu janji aku yang seterusnya bersama doktor adalah pada 16 Oktober 2012. MC aku setakat ni pun setakat 16 Oktober sahaja, tapi mesti akan disambung punya.. Masa tu, baru aku tahu sama ada aku dah dibenarkan berjalan tanpa menggunakan tongkat atau tidak. Setakat ini, masih guna tongkat untuk berjalan. Kalau tak guna tongkat nanti dibimbangi kaki aku akan pendek sebelah dan jugak dibimbangi besi dalam tulang paha aku tu patah. Oh nooooo..



Tarikh aku dijangka pulang ke India masih lagi kekal, 4 November 2012 setakat ni.. Tak lama dah, dalam sebulan lagi tu. Pembelajaran tetap diteruskan, walaupun tak hadir ke kelas.. Aku baca nota-nota kuliah, sekurang-kurangnya ada juga terisi sedikit ilmu dalam minda aku. Balik nanti, mesti beli buku, rujuk pensyarah-pensyarah dan rakan-rakan!!



Aku sentiasa mengikuti perkembangan rakan-rakan di Belgaum sana.. Tipulah kalau aku kata aku tak cemburu tengok aktiviti diorang. Aku jugak yang kebosanan kat rumah.. Contohnya macam aktiviti jamuan pasca-raya dan jamuan sempena kedatangan batch ke-3 USM-KLE.. Agak jeles di situ.. Tengok diorang bergambar kat kelas pun rasa macam jiwa kacau jap. Hahaha.. Takpe, tak lama dah nak balik.

Sekarang pulak, syukur alhamdulillah, kami semua pindah ke hostel baru, yang sangat dekat dengan kampus. Namun, rasa bersalah pulak, sebab aku macam 9Gag-gers kata, dengan "like a boss" nye, mintak tolong rakan-rakan tolong pindahkan semua barang aku.. Nak buat macam mana, tuan punya barang-barang ni jauh beribu-ribu kilometer. Jasa baik korang amat dihargai.. Alhamdulillah sebab tolong angkat barang-barang aku yang banyak tu. Bolehlah nanti aku belanja makan kat Habba ke Zaika ke.. Elaun aku 3 bulan tak terusik ni.. Hehehe..

Ada hikmah di sebalik sesuatu kejadian kan. Duduk rumah bukannya tiket untuk aku bersenang-lenang. Meskipun aku dapat makan benda-benda yang sedap dan lebih baik daripada apa yang ada kat India, namun aku tak bebas bergerak, masih lagi dibelenggu dengan masalah kesihatan aku ni. Jadi bersyukurlah kawan-kawan, sebab korang masih ada nikmat untuk bergerak, walaupun nikmat nak makan makanan sedap kat Malaysia ni takde buat sementara waktu. Aku dah kembali berisi sebab tak dapat nak exercise. Adoiiii..

Yang paling penting, insyaAllah aku dapat berhari raya Aidil Adha kat rumah tahun ni. Di sebalik sebuah kekurangan, ada kelebihan pulak. Syukurlah, dapat berkumpul lagi sekeluarga sempena hari raya nanti. Baiklah, setakat ini dahulu coretan daripada aku untuk kali ini. Terima kasih kerana membaca, dan tolong doakan saya supaya cepat sembuh. :)