Memaparkan catatan dengan label accident. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label accident. Papar semua catatan

27 Dis 2012

Dialah DELISA

Assalamualaikum, salam sejahtera 1 Dunia!

Siapa pernah menonton filem 'Hafalan Shalat Delisa'? Cerita yang sangat sedih kan?


Lagu tema untuk filem ini adalah lagu 'Ibu', nyanyian Rafly. Liriknya amat menyentuh hati, apatah lagi kalau anda menonton filem ini.



Lembut kukenang, kasihmu ibu
di dalam hati ku kini menanggung rindu
kau tabur kasih seumur masa
bergetar syahdu, ooh di dalam nadiku

9 bulan ku dalam rahimmu
bersusah payah, oh ibu jaga diriku
sakit dan lelah tak kau hiraukan
demi diriku, oh ibu buah hatimu

tiada ku mampu, membalas jasamu
hanyalah do’a oh di setiap waktu
oh ibu tak henti kuharapkan do’amu (2x)
mengalir di setiap nafasku (2x)

ibuuuuuuuuuuuuuu……….. (3x)

Lembut kukenang, kasihmu ibu
di dalam hati ku kini menanggung rindu
engkau tabur kasih seumur masa
bergetar syahdu oh di dalam nadiku

indah bercanda denganmu ibu
di dalam hati ku kini slalu merindu
sakit dan lelah tak kau hiraukan
demi diriku, oh ibu buah hatimu

tiada ku mampu, membalas jasamu
hanyalah doa oh di setiap waktu
oh ibu tak henti kuharapkan doamu (2x)
mengalir di setiap nafasku (2x
ibuuuuuuuuuu…….. (3x)

“Allahummaghfirlii waliwaa lidayya warhamhumaa kamaa rabbayaanii shaghiiraa”

Sebenarnya, filem ini diadaptasi daripada novel. Tadi, masa melayari laman Facebook, ternampak ada orang kongsikan sebuah pautan ini, mengenai diri Delisa yang sebenar. Mesti ramai yang nak kenal kan?

Inilah beliau, Delisa, gadis yang tabah.

Beliaulah DELISA yang sebenar, mangsa tsunami yang kisahnya difilemkan itu. Walaupun salah satu kakinya telah dipotong, namun dia tetap tabah berdiri di tengah Panggung Peringatan 8 Tahun Tsunami yang terletak di Muzium Tsunami Banda Aceh. 

Nama sebenar beliau adalah Delisa Fitri Rahmadani, dan nama panggilan beliau adalah Delisa. Gadis ini lahir di Ulee Lheu Banda Acheh pada 15 Disember 1997. Pada kejadian itu (tsunami 26 Disember 2004), beliau masih berusia 8 tahun 15 hari. Beliau bukan sahaja kehilangan kaki kirinya, malahan turut kehilangan ibunya, Salamah dan tiga orang adik-beradiknya yang ditelan gelombang yang dahsyat itu.


Kini, Delisa menjalani kehidupan seharian dengan bantuan tongkat dan kaki palsunya. Beliau tinggal bersama ayahnya, Bakhtiar dan seorang abangnya yang selamat. Kini, beliau belajar di Kelas Satu SMK 5 Telkom Banda Aceh. Sejak masih SMP, beliau pernah menjadi juara umum di sekolahnya. Tidak hanya menonjol dalam prestasi akademik, gadis ini juga hebat bermain alat muzik keyboard.

"Saya berterima kasih kepada Allah, yang telah mengambil salah satu kaki saya, di luar sana masih banyak Delisa-Delisa lain yang mungkin lebih daripada saya," ujarnya. Kelak, Delisa bercita-cita ingin menjadi pemain muzik  dan pengarang buku. Beliau juga berkeinginan membuat komuniti untuk anak-anak cacat, sudah tentunya sebuah keinginan yang amat mulia. 

Bila baca kisah Delisa ini, sebenarnya aku rasa bersyukur kerana nasib aku tak seburuk Delisa. Ingatlah pada setiap masa, walau seteruk mana pun keadaan kita, ada orang yang lebih menderita daripada kita, barulah hati kita akan lebih tenang. Namun, setiap yang berlaku mungkin ada hikmah yang tersembunyi kan? Selalunya, dalam sesebuah kekurangan, ada kelebihan yang tersendiri. Allah Maha Adil kan? :)

Alhamdulillah, insyaAllah sebulan sahaja lagi aku akan bertongkat. Kini, pelbagai tanda positif ditunjukkan oleh kaki kanan itu.. Harapnya proses penyembuhan ini takkan lama lagi. Terima kasih kepada semua yang mendoakan selama ini. :)


Tetap semangat wahai Delisa, semoga anda dapat menggapai cita-cita tersebut. InsyaAllah, amin..

 

15 Dis 2012

20 Tahun

Assalamualaikum, salam sejahtera 1 Dunia!

Alhamdulillah, pada 14 Disember 2012, aku telah genap 20 tahun hidup di dunia yang fana ni. Pada 14 Disember 1992, jam 5.57 pagi, di Hospital Besar Kota Bharu (kini dikenali sebagai Hospital Raja Perempuan Zainab II), aku dilahirkan ke dunia ini. Kebetulan, aku lahir pada hari ulang tahun kelahiran ibu aku yang ke-33. Jadi, kami berkongsi tarikh lahir yang sama! (tahun je la yang beza eh. hehe) 

Apa yang jadi malam tu??

Mastermind : Fareed Azlan (Roommate aku)


Tukang nyanyi lagu Happy Birthday : Hampir kesemua pelajar laki USM-KLE senior and junior



Mangsa : Rashdan Roslan



Teknik : Mengejutkan aku bangun daripada tidur.. Hampir nak mimpi dah masa tu. Hehehe..


Jalan Cerita :


  • Malam tu nak tido awal, sebab esoknya ingat nak bangun awal, belajar... (kononnye. hahaha)
  • Tido dalam pukul 11.40 malam.. Dah lena tak lama lepas tu.
  • Dah sedap tido tu, ramai-ramai kejut aku bangun dari tido. Aisehhhh..
  • Diorang nyanyi lagu 'Happy Birthday' pulak. Sungguh tak disangka, ingatkan acara sambut hari jadi masa tengah malam ni dah berhenti. Rupanya ada lagi. Hehehe :)
Alhamdulillah, ramai juga yang nak sambut birthday aku, tak sangka!! Terharu dowh!! Susah-susah je buat semua ni kat aku... Rugi la, aku sikit lagi nak mimpi-mimpi indah, tetiba korang kejut kan. Tapi aku okay je. :D


Kek birthday yang Fareed Azlan sponsor. Hehehe.. Kat kek tu bukan nama sebenar eh :D


Antara yang mengejutkan aku tido..

Muka aku blur di situ.. Baru bangun kot. Safwan nak bermanja-manja pulak. Hahaha

Aznil, ko teringin nak 'after' tongkat aku ke? :p

Fakih Khan si abang gym buat muka tomei. Hehehe

Acara potong kek

Afiq Aizat si ketua Biro Sukan & Kebudayaan. Tak payah nak stretching sangat la. Haha :P

Kini, aku sudah besar panjang. Alhamdulillah, aku masih diberi keizinan olehNya untuk meneruskan hidup seharian. Syukur kerana aku masih mampu berdiri teguh setelah pelbagai ujian yang melanda aku sejak kebelakangan ini. Ujian yang paling berat adalah kemalangan yang aku alami pada 31 Julai 2012. Namun, syukur kerana aku kini semakin pulih. Sebulan setengah lagi, insyaAllah.

Dah 20 tahun ni, kena la siap-siapkan diri untuk jadi insan yang lebih baik. Takde angka '1' dah kat depan. Maknanya umur dah semakin meningkat, kena lebih matang, dan perlukan peningkatan diri. InsyaAllah, secara perlahan-lahan, aku akan cuba untuk jadi lebih baik dari dulu. Kalau ade salah, tolong tegur ye.. Permulaan ni, nak belajar masak dulu. Nak belajar masa balik Malaysia hari tu.. Tapi korang tahu la kan apa yang jadi.. Sampai bila nak bergantung kat orang je kan. Aku pun segan =.='

Baiklah, terima kasih kepada semua yang mengucapkan 'Happy Birthday' dan mendoakan kebaikan kepada aku, sama ada di Facebook, Twitter, WhatsApp mahupun secara SMS. Telefon pun ada.. Semoga korang pun beroleh kebaikan yang sama.

Sekian dulu untuk kali ini, terima kasih kerana membaca :)

 

30 Nov 2012

Rawak

Assalamualaikum, salam sejahtera 1 Dunia!

Agak sibuk sejak kembalinya aku ke Belgaum, India, sebab banyak benda harus dilakukan. Hujung minggu ni, aku bakal ke Pune, Maharashtra untuk satu program. Nanti lepas aku pergi, aku tulis dalam blog ni pasal semua tu, tapi untuk sekarang, biarlah rahsia. Hehehe..

Entri kali ni adalah untuk berkongsi sedikit tentang gambar-gambar yang telah aku ambil sewaktu tiga bulan aku di Malaysia. 3 bulan.. Lama tu. Yang penting, gambar-gambar ini rawak ye.


Billboard besar punye ni terletak di hadapan Wisma Persekutuan Kota Bharu. Kat bandar KB, merata-rata tempat ada muka Apex. Jeles la pulak. Hahaha.. Tapi tak lama lagi nampaknya muka Mat Yo dah takkan kelihatan lagi..

SMK Ismail Petra, Kota Bharu, Kelantan. 3 tahun aku belajar kat sini, dari Tingkatan 1 sampai Tingkatan 3, sebelum ke ASiS. Banyak kenangan kat sini. Gambar diambil sewaktu membuat ceramah di sana, tentang pembelajaran aku dalam bidang perubatan. (masa tak kemalangan lagi)

Menara jam di tepi Sungai Kelantan. Terletak di Tambatan Diraja. Ramai juga orang lepak malam-malam kat sini.

Tambatan Diraja pada waktu malam..

Setelah beberapa minggu kemalangan. Di depan Jabatan Ortopedik dan Traumatologi, Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu. Hadir untuk temu janji bersama doktor pakar.

Iklan hari raya oleh Suria FM. Keunikan terserlah di situ, apabila Kenchana Devi pun pakai tudung kat Kelantan! Memang syarat untuk iklan-iklan di sana untuk menutup aurat dan ada tulisan jawi. Satu langkah yang harus dipuji.

Tatkala hujan turun. Orang sakit, tak tahu nak buat apa, jadi, bosan-bosan, ambiklah gambar dari tingkap.

Flyover depan KB Mall. Hampir siap nampaknya. Terasa macam kat KL pulak. Hehe..

KB Mall. Sekali je aku pergi hari tu, dengan bertongkat. Penat jugak. Aisehhh...

Jalan Gerik - Pasir Puteh. Nak balik kampung aku kat Tanah Merah.


Restoran Nasi Lemak Sri Maharani, atau lebih dikenali sebagai Restoran Nasi Lemak Tok Wan, terletak betul-betul di bandar Tanah Merah, Kelantan. Nasi lemak dia, serius sedap! Agak terkenal dan masyhur di seluruh negeri Kelantan, terutamanya di Tanah Merah.


Selepas hujan turun. Lokasi : Selepas Jambatan Kusial, menghala ke Machang.


Menghala ke Machang. Lokasi : Kg. Wakaf Bata, Machang. Pepohon yang indah menghiasi kiri dan kanan jalan.

Flyover berhampiran bandar Machang. Belok kiri ke Kota Bharu, terus untuk ke Pasir Puteh dan Machang, kanan ke Kuala Krai.

Selepas hujan di pekan Ketereh. Jalan agak sesak.


Lampu trafik di hadapan KB Mall.. Suasana senja.

Menghampiri malam di tengah bandar Kota Bharu.

Pintu gerbang yang amat popular di Kota Bharu.

Beli-belah kat KB Mall. Sape kata orang patah kaki tak boleh pergi shopping? Hehe..

Pasar malam di hadapan Masjid Saidina Hamzah, Kuala Lumpur. Masa ni aku kat rumah kakak aku, seminggu jugak lamanya. Sebelum pulang ke India.

Baiklah, itu aje gambar yang aku dapat kongsikan, sebab tak mampu nak ambik gambar bebanyak. Korang tahu kenapa kan. Hahaha.. Gambar-gambar ni pun banyak aku ambik masa duduk dalam kereta, kecuali yang awal-awal tu, sebelum aku patah kaki.

Patutlah kawan-kawan aku hairan, tak tahu apa yang jadi pada aku. Mestilah, sebab aku sempat habiskan cuti di Malaysia secara normal hanya 3 hari. Sedih kan? Haha.. Takpe, tu cerita lama. Yang penting, aku makin sembuh, dan sekarang dah pakai tongkat sebelah sahaja. Alhamdulillah. 2 bulan lagi, insyaAllah akan pulih semula kaki aku ni. Buat masa sekarang, bertongkat sebelah je, untuk ke kuliah, kelas klinikal, kelas-kelas lain dan ke mana sahaja. Yang seronok, aku ke kelas klinikal kat Hospital Prabhakar Kore tu, ada orang bawak naik kereta. Setiap minggu.  Syukur, ringan sikit bebanan aku, tak perlu berjalan jauh.

Kepada keluarga, kaum kerabat, sahabat handai, guru-guru dan sesiapa jua yang mengenali diri ini, jangan khuatir, jangan risau, pandai-pandailah saya menjaga diri. Selama hampir sebulan di sini, dah mula sesuaikan diri. Rasa bersalah pun ada sebab terpaksa minta jasa baik daripada orang lain untuk membantu aku dalam kehidupan seharian. Syukur sebab ramai orang yang membantu aku setiap hari. Dengan rendah diri, aku mintak maaf kalau aku menyusahkan korang, dan aku harap korang faham akan kesukaran yang aku hadapi. Mungkin hari ini hari aku, mungkin hari esok hari korang pulak kan? Aku akan ada di situ nanti kalau korang memerlukan, dan aku akan bertindak atas kemampuan..

Sekian dahulu coretan aku untuk kali ini, setelah sekian lama bersawang blog ni. :D

14 Nov 2012

Kembali Ke Belgaum

Assalamualaikum, salam sejahtera 1 Dunia!

Maaf, sebab meninggalkan blog ni bersawang lebih 2 minggu. Terima kasih kepada mereka yang tetap membaca walaupun tak dikemas kini. Apa yang dah berlaku dua minggu lepas?

Raya Haji:

Alhamdulillah, dapat beraya kat rumah, dan berkumpul balik dalam satu keluarga.

Pengumuman tarikh hari raya Aidil Adha daripada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja

Senior IMS-MSU Bangalore masuk paper di hari raya..
Antara hikmah dapat cuti lebih lama kat rumah ialah dapat makan juadah yang lebih baik (dan of course lah lebih sedap) berbanding di India.. Antaranya:

Sate ayam

Ketupat

Roti jala

Suasana hari raya kat rumah lebih berseri dengan kehadiran 'askar-askar' a.k.a anak buah.. Sekurang-kurangnya lebih meriah keadaan rumah tu. Aku dah mula merindui mereka. Sobs sobs..


Ariel Daniel yang poyo.. hehe

Marsha Arianna yang propa.. :D
Tak ke mana-mana pun masa raya hari tu, almaklumlah dengan keadaan yang tak mengizinkan. Lagipun, ada majlis aqiqah kat rumah aku hari tu, sempena kelahiran dua orang anak buah aku yang terbaru.. Muhammad Yusuf Mikail dan juga Muhammad Adam Dasuki..

Kuala Lumpur:

Setelah 12 minggu di Kota Bharu, akhirnya terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada rumah. Habiskan masa seminggu yang terakhir di KL.. 28 Oktober 2012 aku tiba di KL. Perjalanan agak lancar pada awalnya, walaupun agak sesak di Raub dan Bentong. 10 jam jugak perjalanan KB-KL pada hari tersebut. Syukur kaki tak sakit..

Hentian Gua Musang yang baru.. Segalanya lengkap, cuma servis agak kurang memuaskan.

Comel je Mikail tido atas riba mak dia. :)
Selama seminggu tu, aku stay dekat rumah kakak aku kat Pangsapuri Sri Batu.. Kakak aku mengajar kat SMK Batu Muda, KL.. Abang ipar aku pulak kerja dekat Jabatan Perhutanan..

Masjid Saidina Hamzah.. betul-betul depan blok pangsapuri tu..
Sepanjang duduk kat KL, aku tak duduk diam. Hehe.. Aku pergi jugak jalan-jalan kat Sogo, Giant Batu Caves, dan yang paling best, Universiti Malaya.. Dapat mengimbau kembali memori silam di sana, sepanjang setahun di PASUM. Dapat jugak jumpa kawan-kawan lama kat sana.

Pulang ke India:

Akhirnya, setelah menyambung cuti selama 8 minggu, aku harus pulang ke Belgaum demi meneruskan pengajian yang telah 8 minggu juga tergendala. Walaupun masih belum sepenuhnya sihat, tapi perjuangan harus diteruskan, demi satu matlamat - menggenggam ijazah Perubatan pada konvokesyen tahun 2016 nanti. 

Boarding Pass
Masa kat LCCT, nampak bebudak SeSeRi kat sana, nak pergi Jakarta rasanya. Ada apa, tak tau lah, tak sempat nak tanya. Hehe.. Yang seronoknya, ada orang tolak aku pakai wheelchair untuk naik flight. Like a boss. Hehehe.. Kejap je dah sampai kat gate, sebab habis potong barisan orang lain. Staf AirAsia yang tolak aku tu pun peramah. Namun, yang tak seronoknya, kena bayar RM12. Ingatkan free. :(


Pintu inilah..

Suasana mendung seakan-akan menangisi kepergianku dari Malaysia. Ececeh :D

Boleh nampak Sungai Langat kat bawah tu..

Kali terakhir aku nampak Malaysia :(

Usah sedih, usah berduka, kita makan dulu :)
Setibanya kat Bangalore International Airport, dah ada kawan-kawan aku menunggu, iaitu Fareed dan Hanif Tarmizi. Alhamdulillah, rupanya aku terbang bersama-sama rakan-rakan di IMS-MSU Bangalore. Alhamdulillah, ada yang sudi membantu aku mengangkat barang. Faqis, dulu sepengajian dengan aku kat PASUM, dialah yang tolong aku angkat luggage yang berat tu. Fareed dan Hanif pulak tolong aku angkat barang-barang sampai ke Belgaum, dan sampai ke dalam bilik juga. Syukurlah perjalanan aku dipermudahkan.

Hari Rabu, 7 November 2012, aku mula ke kelas, setelah lama (terpaksa) meninggalkan tanggungjawab itu. Akhirnya, aku memulakan pengajian di tahun kedua secara rasmi. Syukurlah ramai orang bertanyakan khabar kepada aku.. Walaupun penat untuk menjawab soalan-soalan sama yang berulang, namun tetap jawab juga. Tak kurang juga yang melihat aku seperti alien. Haha.. Tak kisah pun, 3 bulan je lagi.

Oh ya. Menurut kata doktor, 3 bulan lagi, insyaAllah aku akan pulih. Sebulan lagi dengan bertongkat dua (seperti sekarang), dan dua bulan selepas itu, bertongkat satu di lengan. Selepas itu, insyaAllah, kehidupan aku akan normal semula. 

Syukur, aku ada rakan-rakan yang amat membantu di sini. Jujurnya, aku malu untuk meminta bantuan daripada mereka, namun aku terpaksa, sebab aku tak mampu nak buat semua benda secara sendirian. Contohnya, basuh baju. Macam mana aku nak bawak baldi.. Lif pun takde lagi kat hostel ni. Alhamdulillah, ada yang sudi membantu. Janganlah pulak kata aku buli ke ape deh. Huhu.. Hari ini, hari aku.. Kalau ada yang memerlukan bantuan aku pada masa yang akan datang, insyaAllah aku pula akan bantu. Sesungguhnya aku terhutang budi :)

Sekian dulu untuk entri kali ni, setelah lama blog tak dikemas kini. Ada 254 hari lagi (setakat hari ni) nak balik Malaysia. Hehe.. Dah mula countdown nampaknya. Haruslah, sebab aku sayang Malaysia. :)
 

Rindu rumah :')