Memaparkan catatan dengan label syukur. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label syukur. Papar semua catatan

30 Mei 2014

Fasa II : Lulus atau Gagal?

..السلام عليكم و رحمة الله و بركات

Salam sejahtera, semua. Dah lama tak kemas kini blog ini, dek kerana kesibukan dalam kehidupan seharian.

Setelah mengharungi 4 (empat) peperiksaan dalam masa lebih kurang dua bulan, maka tamatlah Fasa II USM-KLE yang merangkumi Tahun 2 dan Tahun 3. Persoalannya, luluskah saya dan rakan-rakan lain?

Penentu sama ada kami lulus atau tidak adalah Peperiksaan Ikhtisas II (atau lebih popular dikenali sebagai Professional Exam-II) . Peperiksaan yang menyumbang sebanyak 60% markah keseluruhan untuk Fasa II.

'Peperangan' susulan tiga 'pertempuran' selama ini bermula pada 19 Mei 2014 sehingga 22 Mei 2014. Ada dua komponen yang diuji dalam peperiksaan kali ini, iaitu komponen teori dan klinikal. Sejujurnya, peperiksaan teori terasa lebih sukar berbanding klinikal. Namun, setelah tamat semuanya, saya yakin yang saya akan lulus peperiksaan ini. Dapat kepujian (distinction) ? Yang tu semestinya tidak. Cukuplah sekadar lulus.

Hari Khamis, 28 Mei 2014, tibalah hari yang dinanti oleh 111 orang pelajar batch kedua USM-KLE IMP, Belgaum - Hari Pengumuman Keputusan Peperiksaan Ikhtisas II (Professional Exam-II). Pengumuman dilakukan oleh Timbalan Dekan USM-KLE, Professor Kamarudin Ja'alam bersama Pengerusi Fasa II USM-KLE, Dr. Santosh Patil. Keputusannya...


.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.

Semua pelajar LULUS!


Alhamdulillah, segala puji bagi Allah S.W.T. kerana memberi kejayaan kepada kami. Tahniah kepada rakan-rakan dan diri sendiri kerana berjaya melangkah ke Fasa III, fasa terakhir sebelum bergraduasi pada tahun 2016. Tahniah kepada tiga rakan saya yang berjaya mendapat 'Distinction' iaitu Gan Rick Kye, Syahirah Kamal dan Noor Khaleeda Khairudin.



Secara peribadinya, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang telah membantu saya selama ini terutamanya para pensyarah yang dihormati dan rakan-rakan yang disayangi. Tanpa anda, siapalah saya. Kepada ibu bapa, adik-beradik serta keluarga dan rakan-rakan yang memberi sokongan dan dorongan, saya amat menghargainya. Doakan supaya saya dan rakan-rakan dapat mengekalkan momentum ini pada Fasa III pula.

Benarlah kata Prof KJ, sesiapa yang bekerja keras, dia akan menuai hasilnya. Setelah pelbagai dugaan dan cabaran yang saya alami sejak awal Tahun 2 sehingga tamat Tahun 3, pernah patah kaki, pernah demam denggi, menghadapi kematian orang tersayang, apabila kejayaan ini datang, terasa amat manis. InshaAllah, bulan September, tahun 4 akan bermula. Terima kasih sekali lagi, hanya Allah yang mampu balas jasa semua.

Bawa bertenang dan balik Malaysia 1 Jun ini. =)

"Sekilas ikan di air, sudah tahu ikan keli atau ikan koi." Prof KJ.

16 Nov 2013

Anda 5A UPSR?

..السلام عليكم و رحمة الله و بركات

Salam sejahtera, semua..

Keputusan UPSR 2013 telahpun diumumkan pada Khamis, 14 November 2013. Kepada yang mendapat 5A, tahniah atas kejayaan anda. Kepada yang tidak mendapat 5A pun, tahniah juga diucapkan kerana telah berusaha sedaya-upaya, namun rezeki belum memihak kepada anda. Mungkin pada masa depan? InsyaAllah..



UPSR bukanlah segalanya wahai adik-adikku sekalian. Gagal mendapat 5A bukanlah bermaksud gagal selamanya. Sepanjang perjalanan hidup saya selepas UPSR sehingga kini, betapa ramainya rakan saya yang tidak berjaya mendapat 5A dalam UPSR, namun pada hari ini mencapai kejayaan yang tersendiri. Ada rakan saya yang sama sekolah rendah dulu hanya mendapat 3A 2B, belajar betul-betul pada PMR, dapat ke sekolah berasrama penuh. Ada rakan sebaya saya yang dulu dapat 4A 1B, kini belajar di USA, bakal menggenggam ijazah dalam bidang kejuruteraan pada tahun depan. Ada rakan saya yang mendapat 4A 1C pada UPSR dulu, bakal menjadi ahli farmasi yang berjaya. Ada juga yang mendapat keputusan UPSR yang jauh lebih buruk, kini menjadi ahli perniagaan yang berjaya. Percaya atau tidak? Rezeki itu rahsia Allah. Apa-apapun, berbaik sangkalah dengan ketentuanNya. Mungkin ada hikmah yang tersurat dan tersirat.

Alhamdulillah, Allah telah memberi rezeki kepada saya untuk mendapat 5A UPSR pada tahun 2004. Masa tu, saya dapat hadiah basikal lumba ala-ala Le Tour de Langkawi, berharga lebih kurang RM300. Syukur tak terkata. Hadiah itu mendorong saya berusaha lebih keras dalam peperiksaan-peperiksaan yang lain. Kecoh satu Malaysia bila mendengar berita pada Khamis lepas, yang mana ada seorang pelajar cemerlang UPSR dihadiahi kereta mewah oleh bapanya sebagai hadiah kecemerlangannya. Ayuh baca sedikit ulasan dari halaman Facebook 'I Love Kelantan':



Anak Kelantan : KISAH PENJUAL AYAM YANG JUTAWAN.

Kecoh seluruh negara dan menjadi trending no 1 di media sosial Malaysia ketika ini mengenai isu seorang bapa memberi Hadiah sebuah kereta Mini Cooper untuk anaknya yang mendapat keputusan cemerlang 5A iaitu adik Fatini daripada SK Zainab 2 , Kota Bharu.

Lagi tergamam, situasi ini terjadi disebuah negeri nun jauh di pantai Timur yang seringkali dimomok-momokkan sebagai negeri paling Miskin di Malaysia. 

Ya benar, kejadian ini berlaku di Kota Bharu. Ayahnya hanya seorang penjual ayam, belajar sehingga SPM sahaja tapi berkat usaha dalam perniagaan mampu memberi dan menukar status keluarga mereka daripada miskin kepada golongan yang mempunyai masa depan.

Saya turut sedih membaca setiap komen di facebook yang mengutuk bapa Fatini yang menyamakan kes ini sebagai tidak masuk akal, megarut, menunjuk-nunjuk, membazar dan sebagainya. Biasalah, orang Melayu Malaysia memang terkenal dengan sikap dengki, suka mengutuk jika orang lain lebih daripadanya.

Ada komen seperti " Alah, jual ayam je pun. Aku belajar sampai degree, jadi pegawai kerajaan hanya mampu pakai Myvi. Gile nak menunjuk bapak dia ni "

Saya yang membaca komen sebegini turut luruh air mata menunjukkan masyarakat Melayu kita benar-benar kritikal mengenai isu moral. Langsung tiada adap, mahupun akal yang waras walaupun mempunyai ijazah.

Ayah Fatini hanyalah anak Kelantan yang langsung tidak cemerlang , result UPSRnya adalah 4D1E sahaja bukan seperti anda mempunyai ijazah. Tetapi berkat usaha beliau bangun seawal jam 4 pagi, terus ke kedai menyembelih beratus-ratus ekor ayam untuk dijual dihampir seluruh Kelantan . Siapa yang kerja seperti ini, bergelumang dengan bau tahi ayam setiap hari, kena sembelih ayam , potong ayam dan sebagainya.

Ayahnya juga bukan seperti anda, log in FB tengok orang berjaya dan buat 'benda pelik' sedikit terus kutuk, maki tanpa rasa belas. Ayahnya cuma penjual ayam tetapi jutawan. Itu sahaja.

Anda bekerja makan gaji dengan gred 41 pun belum mampu untuk menjadi jutawan sekiranya sikap anda yang seringkali menyangkal kejayaan orang lain.

Yang peliknya, orang kaya dan ahli politik yang secara terang-terangan salah guna duit kerajaan dan memberi kemewahan kepada anak mereka tidak pula anda maki sehebat dugaan yang diterima oleh ayah Fatini ini. Niat ayah Fatini cuma satu, berkongsi rasa gembira dengan kejayaan anak sulungnya yang cemerlang dengan penuh rasa syukur.

Kepada anda yang mempunyai ijazah ataupun kelayakan iktisas yang lain, saya cabar anda untuk gantung sijil graduasi anda di dinding dan menjadi seorang penjual ayam seperti usaha yang ayah Fatini lakukan ini. Kita lihat hasilnya.

Inilah kisah seorang anak Kelantan menjadi jutawan hanya dengan menjual ayam.

Nukilan oleh : Pok Dogo
Untuk I LOVE KELANTAN.



Mari kita lihat dari sudut yang positif. Bukanlah saya mengampu apatah lagi dibayar oleh jutawan berkenaan untuk menulis berkenaan perkara ini, namun sebagai seorang pelayar tetap media sosial saban hari, ada beberapa perkara yang saya lihat tidak baik dalam komen kebanyakan pengguna media sosial.

Pertama, orang kita memang tak boleh tengok orang lain 'lebih'. Anda faham maksud saya? Asal miskin, dikatakan malas berusaha. Asal kaya, pelbagai tohmahan dan cacian dilempar oleh mereka yang tidak senang melihat kejayaan orang lain. Cubalah kita husnudzon (bersangka baik) dengan orang lain. Di hati mereka hanya Allah yang tahu. Mengambil kisah hadiah UPSR ini sebagai contoh, mungkin si bapa hanya mahu menunjukkan rasa sayang kepada anaknya, lebih-lebih lagi setelah anaknya mendapat kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan. Siapakah kita untuk menghukum atau menilai? Allah sahaja yang tahu apa yang terbuku dalam hati bapanya.

Kedua, Mungkin ada sesetengah pihak mengatakan bahawa si ayah ingin menunjuk-nunjuk dengan memberi hadiah di sekolah. Baiklah, mungkin tempat yang dipilih untuk menyampaikan hadiah adalah kurang sesuai kerana mungkin menimbulkan rasa cemburu di dalam hati pelajar lain. Mungkin si ayah teruja sehingga terlupa untuk mengambil kira hal tersebut. Maafkanlah dia, dia juga manusia biasa.

Hadiah kereta mewah membazir? Lebih baik duit itu diinfaqkan ke jalan yang diredhai Allah? Ya, memang bagus menginfaqkan harta ke jalan yang Allah redha. Namun, ada siapa yang tahu, dah berapa banyak harta si ayah yang didermakan kepada mereka yang memerlukan? Jadi, tolonglah jangan buat andaian buruk sedemikian.

Biarlah dikatakan anaknya belum mempunyai lesen kerana berusia 12 tahun. Mungkin usia yang masih muda itu agak kurang sesuai untuk adik Fatini menerima hadiah sebuah kereta. Para pembaca harus ingat, 5 tahun lagi, adik Fatini bakal layak untuk mendapat lesen pandu kereta. Dalam tempoh 5 tahun ini, mestilah ayah atau ibu adik Fatini yang bawa kereta tu. Mungkin dengan hadiah ini, Fatini bakal menjadi lebih bersemangat dalam pembelajarannya di sekolah menengah? Mudah-mudahan begitulah. Saya doakan Fatini bakal meneruskan kecemerlangannya dalam pembelajaran selepas tamat sekolah rendah. Salah seorang permata negara, jangan disia-sia.

Penyakit dengki amat sukar dikikis dalam diri kita. Siapakah yang tahu kegigihan adik Fatini dalam berusaha demi mencapai kejayaan yang diidamkan? Usahlah berfikiran negatif, sebaliknya ubahlah diri, fikir dengan cara yang lebih baik. Husnudzon, itu yang dianjurkan oleh Islam. Biarlah kita jauh lebih dewasa daripada adik Fatini, tapi ambillah iktibar dari kisah kejayaan ini. Sekali lagi, rezeki itu rahsia Allah. Mungkin kita akan dapat rezeki yang tidak disangka setelah mendapat kejayaan dunia? Campakkan rasa ego "aku dah lebih makan garam" itu jauh-jauh. Sebaliknya, usahalah dan banyakkan doa kepada Allah S.W.T.. Apa kata amalkan Solat Dhuha? Rahsia murahnya rezeki..

Kesimpulannya, janganlah suka cari silap dan salah orang lain. Kalau hati dah tak suka, ada saja yang tak kena. Berdoalah supaya kita dijauhkan dengan fikiran sebegini. Punca timbulnya iri hati dan dengki.

Satu lagi kisah menarik sekitar keputusan UPSR 2013 adalah kejayaan seorang calon Orang Kelainan Upaya (OKU), adik Amir Zuhaidi dari Ketereh, Kelantan yang berjaya mendapat 5A dalam UPSR.

SEORANG bapa, Razali Harun, 45, yang berkerja sebagai buruh binaan dengan gembira terus menggendong pulang anaknya Amir Zuhaidi Razali, 12, yang mendapat keputusan cemerlang 5A dalam UPSR 2013 untuk memberitahu kepada ahli keluarga lain di Kampung Hutan Pasir, Ketereh. Amir, murid Istimewa Orang Kelainan Upaya (OKU) Sekolah Kebangsaan (SK) Ketereh mengalami kecacatan kaki kiri akibat kemalangan. Kredit Harian Metro.

Tersentuh hati ini bila melihat gambar di atas. Sebak terasa melihat wajah bangga seorang bapa. Ternyata kekayaan dunia bukanlah segalanya, namun kekayaan budi dan hati tidak ternilai. Kasihnya seorang bapa kepada anaknya. Meskipun tidak mampu memberi kekayaan dan kesenangan harta, namun kasih sayang adalah segalanya. Tiba-tiba rindukan abahku di rumah. Semoga sentiasa sihat walafiat.

Di sini kita melihat dua kes yang berbeza. Kejayaan yang sama, namun dalam latar belakang keluarga yang berbeza. Status kewangan dan kesihatan bukanlah penghalang untuk berjaya. Biarlah apa yang anda semua nak kata kepada dua orang adik yang berjaya dalam UPSR ini, tapi saya harapkan mereka akan terus cemerlang di dunia dan akhirat, dan menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. Semoga menjadi anak soleh dan solehah. Ilmu yang ada jangan disia-sia!


"Kadang-kadang Allah sembunyikan matahari,
Dia datangkan hujan petir.
Kita bersedih dan tertanya tanya ke mana hilangnya matahari
Rupa-rupanya Allah nak hadiahkan kita pelangi yang indah. "


Sekian dahulu coretan dari saya, semoga kita dapat mengambil pengajaran, dan terima kasih kerana membaca..

19 Sep 2013

Aidilfitri 2013

..السلام عليكم و رحمة الله و بركات

Salam sejahtera, semua. Jom cerita pasal hari raya Aidilfitri / Eidul Fitri / Eid Mubarak 2013.



Berbanding raya tahun lepas, raya tahun ini lebih baik kerana aku dikurniakan kesihatan yang lebih baik tahun ini. Pengalaman terlantar di hari raya tahun lepas begitu menginsafkan. Mungkin itu salah satu cara Allah S.W.T. menegur hambaNya ini yang alpa. Allah tarik nikmat bergerak bebas sebagai kafarah dosa. Dengan kesihatan yang lebih baik tahun ini, aku memanfaatkannya dengan sebaik mungkin demi merapatkan kembali silaturrahim yang terjalin antara aku dengan insan-insan lain di Malaysia.

Jika tahun lepas aku hanya mampu beraya di sebuah rumah sahaja, tahun ini kembali normal. Allah beri peluang untuk jumpa rakan-rakan dan sahabat handai, yang tinggal di Kelantan, yang tinggal di luar Kelantan tapi balik kampung kat sini, yang belajar di Malaysia, yang belajar di luar negara. Masa hari rayalah peluang terbaik untuk berkongsi cerita mengenai tempat belajar masing-masing sambil menyingkap kembali memori lama.

Semua ahli keluarga berkumpul pada malam raya. Aktivitinya, main bunga api. No mercun-mercun, nanti ada yang beraya kat hospital. Sayangilah anggota tubuh badan anda. Hehehe..

Lepas gian setelah lama tak main bunga api.
Kami di malam raya =)

Pagi raya, bangun solat Subuh, mandi sunat Aidilfitri, solat sunat Aidilfitri, dan beraya bersama keluarga. Tak balik kampung pun sebab mak dan abah kerja di hari raya. Raya ke-3 baru balik kampung kat Tanah Merah.

Juadah pagi raya? Macam-macam ada.. Tengok kat bawah ni..

Sate dan ketupat palas

Nasi impit, lemang, kuzi ayam, roti jala, rendang ayam pun ada..

Kuih dan muih beraneka macam, makanlah jangan hanya dipandang

Bergambar bersama abah tersayang. Masa ni abah baru je balik kerja, terus tukar baju. Itulah pengorbanan abahku di pagi raya. Mak aku kerja di pagi raya, lagi besar pengorbanannya.

Sempat juga ke rumah rakan-rakan pada hari raya. Masa ni la yang seronok. Yang jauh kita dekatkan, yang dekat kita eratkan. Eratkan jalinan. Antara gambar yang sempat diambil sewaktu hari raya hari tu:

Bersama rakan sekelas (5 Dinamik) di ASiS dulu, Amar Zharif yang kini belajar di Jordan University of Science and Technology (JUST), Irbid, Jordan. Dia belajar dalam bidang Pergigian di tahun ke-3, ditaja oleh JPA. Amar balik kampung kat Kota Bharu, tu yang sempat jumpa tu.

Rakan-rakan di SMK Ismail Petra dulu. Gambar diambil sewaktu beraya di rumah Shamir.
Beraya di kampung Nik Yusrin di Ketereh, rakan seperjuangan di ASiS dulu. Dari kiri : Rashdan Roslan, Sariy Syazani, Nik Yusrin, Nabil Irfan

Dua sahabat baik aku di ASiS dulu, Syakir dan Murshidien. Gambar diambil sewaktu beraya di rumah Murshidien di Pasir Mas.

Beraya bersama senior aku yang dihormati di ASiS dulu, Huzaifah. Dia belajar kat Ireland sekarang. Gambar diambil di Majlis Solidariti Rakyat Syria dan Sambutan Hari Raya ISMA Kota Bharu tempoh hari.
Beraya pula di kampung aku di Kg. Repah, Lawang, Tanah Merah. Meskipun lambat dua hari, tapi tak mengapa. Yang penting, dapat beraya bersama nenek, mak saudara dan sepupu.

Jalan yang tak pernah jam, masa raya, jam la pulok. 'Keseronokan' beraya di Kelantan. Hehe..

Bergambar bersama nenek tersayang. Silau lah pulak.
Si nenek bersama Adam Dasuki
Ada juga beraya di Terengganu pada raya ke-4 dan ke-5, sambil ke kenduri kesyukuran presiden pelajar USM-KLE, Hanif Hashim atas perkahwinannya dengan kak Annazifah. Senang kata, Hanif buat kenduri sambut menantu. Akan ada entri yang berlainan tentang majlis tersebut. Hehe..

Random awesome. Hehehe


Setakat ini dahulu entri mengenai hari raya Aidilfitri. Raya setahun sekali, kenangan yang bersemi itu semoga kekal tersemat di hati. Terima kasih ya Allah kerana mengurniakan kesihatan kepadaku untuk bertemu insan-insan yang aku sayang.

20 Mac 2013

Ashabul Gokak

..السلام عليكم و رحمة الله و بركات


Salam sejahtera, semua. Pada 27 Januari 2013, para muslimin USM-KLE IMP, Belgaum menyertai program 'Ashabul Gokak' yang bertempat di Gokak Falls dan Godachina Malki. Program yang dianjurkan oleh pihak Islamic Society (I-Soc) USM-KLE ini adalah bertujuan untuk mengukukuhkan ukhuwah antara pelajar lelaki USM-KLE. Namun, program ini bukanlah sekadar program biasa. Program ini juga diselit dengan acara kerohanian.

Seawal 7.30 pagi, kami bertolak dari hostel ke Gokak dengan menaiki bas. Kami membaca al-Mathurat semasa awal perjalanan kami. Selepas itu, kami bersarapan pagi di dalam bas. Seperti biasa, langit tidak selalu cerah. Bukan rezeki kami, apabila sebekas besar air Milo tumpah di dalam bas. Namun, masih ada banyak rezeki lain yang kami bawa dari Belgaum. Alhamdulillah, sebelum kami bertolak lagi, dah dapat sedulang nasi lemak buatan kaum hawa USM-KLE. Syukur =)

Sepanjang perjalanan itu, aku tidak tidur, melihat pemandangan yang indah sambil mendengar lagu-lagu nasyid yang berkumandang di dalam bas. Almaklumlah, ini kali pertama aku ke Gokak. 2 jam setelah kami bertolak dari Belgaum, akhirnya tiba jua di Gokak Falls. Pada pandangan pertama, aku terus kagum dengan keindahan alam di situ.

Amacam? Inilah Gokak Falls!
Sebenarnya, pada waktu kami berkunjung ke Gokak Falls ini (yakni bulan Januari), agak tidak sesuai sebenarnya, kerana tarikan utamanya iaitu air terjun agak kering kerana musim kemarau. Waktu musim monsun, air sangat banyak, seperti gambar di bawah ini...

Subhanallah..
Setibanya kami di sana, ambik gambar dulu. Biasalah kan.. Oh ya, sebelum terlupa, rombongan kali ini turut disertai oleh saudara Amirul Asyraf, pelajar tahun 2 di Manipal. Beruntunglah dapat join kami kan? =)

Kami semua..
Pintu gerbang betul-betul depan tangga tempat kami bergambar..
Lepas bergambar, kami menunaikan solat sunat Dhuha pula, sebelum meneruskan aktiviti kami yang seterusnya..

Keceriaan terpancar di wajah mereka..

Mula duduk mengikut kumpulan usrah masing-masing
Pepohon yang merimbun.. Pepohon cinta mungkin? :D

Kali ini, kami membincangkan 10 Muwasafat Tarbiyah. Kepada mereka yang tidak tahu, Muwasafat Tarbiyah adalah kriteria yang perlu ditanamkan dalam diri untuk menjana keperibadian Muslim yang syumul. Untuk pembacaan yang lebih terperinci, boleh terus baca di SINI.


Kebetulan pula kami di USM-KLE, ada 10 kumpulan usrah lelaki, jadi setiap kumpulan diberi satu muwasafat tarbiyah untuk dipelajari dan dibentangkan kepada semua. 'Sangat Menjaga Masa' - itu yang kumpulanku dapat. Sebenarnya, kumpulan usrah kami bergabung dengan sebuah lagi kumpulan usrah lain, kerana naqib kumpulan tersebut tidak dapat hadir atas sebab kesihatan. Kumpulan tersebut dapat tajuk 'Ibadah Yang Benar'.

Hasil kumpulan kami
Blogger Rusydi Mazlan sedang membentangkan hasil kerja kumpulan beliau bersama Hafizuddin
Giliran kumpulanku pula..
Para hadirin khusyuk mendengar nampaknya..

Setelah selesai aktiviti berkenaan, kebetulan waktu Zohor dah masuk, jadi, kami solat Zohor dulu, jamak sekali dengan Asar.

Walaupun keadaan permukaan tanah yang kurang rata, namun tetap mesti solat.
Lepas solat, acara makan ramai-ramai pula. Di sini aku cukup terharu sebab ahli-ahli usrah aku sanggup bangun awal pagi untuk memasak. Sedap pulak tu. Alhamdulillah.. Takde pulak gambar diambil masa makan ni, fokus sangat. Hehe.. Tapi lepas makan pulak, sempat jalan-jalan sikit kat sekitar Gokak Falls.

Batuan yang unik
Jambatan Tamparuli. Eh bukan-bukan!! Jambatan gantung.. Hehehe
Tukar profile picture. Hehe
Jambatan gantung dari atas
Kalau musim hujan ni, jadi macam gambar yang atas-atas tu..
Saujana mata memandang
Mak cik jual air kelapa.. Murah je, 15 rupee (tak sampai seringgit)
Ada juga mak cik jual kekacang..
Setelah selesai menerokai keindahan Gokak Falls, kami ke Godachina Malki Falls pulak. Nama agak pelik yer, harap maklum. Hehe.. Tak jauh pun dari Gokak Falls, dalam 13 kilometer je. Tapi jalan dia, I tell you, macam naik roller coaster.

Sengih je budak gigi besi.. Afirul Afiq
Tiba di destinasi berikutnya. Tapi tapi tapi dan tapi.. bas tak dapat masuk dalam, jadinya, kena jalan kaki dalam 1 kilometer jugak rasanya. Aku degil, walaupun masih bertongkat masa tu, tapi nak jugak pergi sana. Teruja la katakan.
Sempat lagi...
Hasil berjalan jauh yang tak berbaloi.. Air berlumut dan bertakung.. Nak buat macam mana, takde rezeki. Sape suruh datang masa bukan musim monsun..
Air kat bilik air lagi laju. =.='
Batu-batuan yang unik di sini pengubat duka lara. Lagi duka bila tak dapat turun kat bawah disebabkan batasan kemampuan. Pemandangan lebih menarik katanya. Takpe lah, tunggu lebih sihat nanti datang lagi..

Masing-masing dah penat, maka kami pulang ke Belgaum, dan tiba di sana pada pukul 7.20 malam. Lagi 10 minit nak masuk waktu Isyak. Semua kalut naik bilik, nak solat Maghrib. Syukurlah sempat sampai.. Apa-apapun, aktiviti ke Gokak membawa pengalaman baru dan memberi kesan kepada hati aku. Semoga aku dapat menjadi insan yang lebih baik daripada dulu dan sekarang. Terasa ukhuwah antara kami semakin erat. Syukur alhamdulillah, dapat juga kebaikan daripada aktiviti tersebut.

Setakat ini dahulu nukilan aku untuk kali ini. Tunggu entri yang berikutnya pula..