Memaparkan catatan dengan label exam. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label exam. Papar semua catatan

30 Mei 2014

Fasa II : Lulus atau Gagal?

..السلام عليكم و رحمة الله و بركات

Salam sejahtera, semua. Dah lama tak kemas kini blog ini, dek kerana kesibukan dalam kehidupan seharian.

Setelah mengharungi 4 (empat) peperiksaan dalam masa lebih kurang dua bulan, maka tamatlah Fasa II USM-KLE yang merangkumi Tahun 2 dan Tahun 3. Persoalannya, luluskah saya dan rakan-rakan lain?

Penentu sama ada kami lulus atau tidak adalah Peperiksaan Ikhtisas II (atau lebih popular dikenali sebagai Professional Exam-II) . Peperiksaan yang menyumbang sebanyak 60% markah keseluruhan untuk Fasa II.

'Peperangan' susulan tiga 'pertempuran' selama ini bermula pada 19 Mei 2014 sehingga 22 Mei 2014. Ada dua komponen yang diuji dalam peperiksaan kali ini, iaitu komponen teori dan klinikal. Sejujurnya, peperiksaan teori terasa lebih sukar berbanding klinikal. Namun, setelah tamat semuanya, saya yakin yang saya akan lulus peperiksaan ini. Dapat kepujian (distinction) ? Yang tu semestinya tidak. Cukuplah sekadar lulus.

Hari Khamis, 28 Mei 2014, tibalah hari yang dinanti oleh 111 orang pelajar batch kedua USM-KLE IMP, Belgaum - Hari Pengumuman Keputusan Peperiksaan Ikhtisas II (Professional Exam-II). Pengumuman dilakukan oleh Timbalan Dekan USM-KLE, Professor Kamarudin Ja'alam bersama Pengerusi Fasa II USM-KLE, Dr. Santosh Patil. Keputusannya...


.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
.

Semua pelajar LULUS!


Alhamdulillah, segala puji bagi Allah S.W.T. kerana memberi kejayaan kepada kami. Tahniah kepada rakan-rakan dan diri sendiri kerana berjaya melangkah ke Fasa III, fasa terakhir sebelum bergraduasi pada tahun 2016. Tahniah kepada tiga rakan saya yang berjaya mendapat 'Distinction' iaitu Gan Rick Kye, Syahirah Kamal dan Noor Khaleeda Khairudin.



Secara peribadinya, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang telah membantu saya selama ini terutamanya para pensyarah yang dihormati dan rakan-rakan yang disayangi. Tanpa anda, siapalah saya. Kepada ibu bapa, adik-beradik serta keluarga dan rakan-rakan yang memberi sokongan dan dorongan, saya amat menghargainya. Doakan supaya saya dan rakan-rakan dapat mengekalkan momentum ini pada Fasa III pula.

Benarlah kata Prof KJ, sesiapa yang bekerja keras, dia akan menuai hasilnya. Setelah pelbagai dugaan dan cabaran yang saya alami sejak awal Tahun 2 sehingga tamat Tahun 3, pernah patah kaki, pernah demam denggi, menghadapi kematian orang tersayang, apabila kejayaan ini datang, terasa amat manis. InshaAllah, bulan September, tahun 4 akan bermula. Terima kasih sekali lagi, hanya Allah yang mampu balas jasa semua.

Bawa bertenang dan balik Malaysia 1 Jun ini. =)

"Sekilas ikan di air, sudah tahu ikan keli atau ikan koi." Prof KJ.

10 Apr 2014

Doakan Kami!

..السلام عليكم و رحمة الله و بركات

Salam sejahtera, semua. Dah lama tak menulis di sini, dek kerana kesibukan sebagai seorang pelajar.

Untuk pengetahuan semua, saya dan 110 orang lagi pelajar tahun ketiga USM-KLE IMP, Belgaum, bakal menduduki tiga peperiksaan dalam masa lebih kurang sebulan. Ya, sebulan.


  • Peperiksaan Selanjar 3 - 14, 15, 16 April 2014.
  • Peperiksaan 'Long Case' - 28 April - 3 Mei 2014.
  • Peperiksaan Ikhtisas II - 19, 20, 21 Mei 2014.




Mohon kepada semua pembaca blog saya ini untuk mendoakan supaya dipermudahkan segala urusan saya dan rakan-rakan. Peperiksaan ini amat penting demi memastikan kami semua dapat mara ke tahun seterusnya, iaitu tahun 4.

Kepada rakan-rakan, ayuh teruskan usaha, jangan berhenti. Semoga kita semua lulus dan bulan September nanti, kita mulakan tahun 4 bersama-sama.

InshaAllah, segala entri yang tertunggak akan dikemas kini setelah tamat semua peperiksaan. Fokus saya buat masa sekarang adalah pada peperiksaan. Namun sekiranya ada sebarang soalan yang ingin anda ajukan, boleh tanyakan di dalam blog ataupun secara mesej peribadi di Facebook.

3 Feb 2013

Fasa 2, Selanjar 1

..السلام عليكم و رحمة الله و بركات

Salam sejahtera, semua.. Kekurangan masa pulak untuk kemas kini blog ini selalu, dek kerana kesibukan dalam mengejar cita-cita untuk menjadi seorang doktor. Blog ni dah macam jadi blog untuk Wordless Wednesday je. Kena faham, sebab aku tak banyak masa lapang. :D

Jadinya, selepas segala dugaan yang mendatang sejak 6 bulan lepas, apa khabar kaki aku? Alhamdulillah, dah pulih.. Mulai kelmarin (1 Februari), dah jalan tanpa tongkat dah.. Sebenarnya masa pementasan teater hari tu lagi, aku dah buat kejutan pada kawan-kawan serta lecturer semua, dengan berlakon tanpa tongkat. Hehe.. Terima kasih kepada semua yang mendoakan kesihatan aku selama ini..

Kini, setelah selesai Gastrointestinal Block, maka bermulalah Study Week. WeekS actually, sebabnya 2 minggu.. Seminggu untuk study week, seminggu untuk cuti Tahun Baru Cina. Cabaran yang bakal mendatang dalam tempoh 15 hari lagi adalah peperiksaan Selanjar 1 bagi Fasa 2 MD USM ini.. 


Seperti yang anda sedia maklum, peperiksaan Selanjar ini menyumbang 10% daripada keseluruhan markah akhir pada hujung Fasa 2 nanti. Konsepnya masih sama seperti Fasa 1 dahulu.. Cuma, ada sedikit perubahan pada cara penilaian.. Kalau dulu, ketika Fasa 1, ada kertas Multiple Choice Questions (MCQ), Short Essay Questions (SEQ) dan juga Spot Slide Assessment (SSA) / Objective Structured Practical Examination (OSPE), kini di Fasa 2 lain ceritanya. Di Fasa 2, kami mula didedahkan dengan pembelajaran klinikal dan juga berdasarkan senario benar. Kertas MCQ masih ada, tetapi jumlahnya lebih banyak, iaitu 80. Ada pula kertas Scenario-Based Questions (SBQ), Objective Structured Clinical Examination (OSCE) dan Clinical OSCE.

Peperiksaan akan bermula pada 18 Februari 2013, dan akan berakhir pada 21 Februari 2013..

18/02 - SBQ
19/02 - OSCE
20/02 - Clinical OSCE
21/02 - MCQ

Doakan yang terbaik untuk aku dan 82 rakan yang lain dalam 2nd batch USM-KLE ini.. Setelah kesukaran yang aku hadapi tempoh hari, iaitu tertinggal kuliah selama 8 minggu, aku akan cuba buat yang terbaik, agar meningkat tahap keyakinan untuk terus belajar dalam bidang perbuatan ini.. Kepada rakan-rakan, semoga Allah permudahkan urusan kita ini, dan mengurniakan kejayaan kepada kita.. Bittaufiq wannajah fil imtihan :)

13 Ogo 2012

Alhamdulillah.. Ke Tahun Kedua!

Assalamualaikum, salam sejahtera 1 Dunia!

Maaf, sebab baru nak update cerita ni walaupun dah nak basi. Benda dah berlaku 3 minggu lepas. Huhu.. Namun, ada sesuatu yang aku perlu kongsikan untuk pembaca blog sekalian..

Setelah mengharungi Peperiksaan Ikhtisas I atau Pro-Exam I yang sukar, akhirnya tiba detik pengumuman keputusan! Nak tau macam mana sedikit-sebanyak gaya keputusan exam kami diumumkan??

  • Kami semua dipanggil ke dalam dewan dan dikumpulkan di sana untuk menantikan keputusan.

  • Keputusan diumumkan oleh Timbalan Dekan USM-KLE, Prof. Kamaruddin Jaalam

  • Nama pelajar yang lulus akan disebut satu demi persatu, dan sesiapa yang namanya tidak disebut, maka pelajar tersebut tak dapat meneruskan pengajian ke fasa seterusnya.

Lokasi kejadian..
Pengumuman tu dilakukan pada waktu tengah hari, tapi memandangkan dah puasa, jadi tak perlu risau untuk makan tengah hari. Masih ada kegentaran dalam hati, tapi kami tetap yakin bahawa kami akan lulus tahun pertama berdasarkan maklum balas daripada para pensyarah.. Well, they know better :)

Maka, setelah menanti kehadiran Prof KJ, akhirnya beliau tiba di dalam Lecture Hall 2. Suasana bertukar menjadi sunyi sepi. Cuak kot!!

Prof KJ sedang mengumumkan keputusan.
Sebelum tu, sehari sebelum keputusan diumumkan, senarai nama bagi mereka yang layak untuk ke temuduga Viva Voce Distinction telah dikeluarkan. Ada 14 orang yang layak untuk batch kami. Namun, hanya 5 orang sahaja yang bak kata Prof KJ, mencapai golden standard untuk mendapat distinction. Aku ada? Tak la, aku biasa je, nak masuk senarai interview pun tak mampu.. Bukan mudah untuk melayakkan diri, kena dapat gred A untuk dipanggil temuduga. Bergantung kepada prestasi masa temuduga, anda akan dinilai sama ada layak atau tidak untuk mendapat 'Distinction'. Untuk maklumat yang lebih lanjut serta pengalaman temuduga Viva Voce ni, boleh buka blog senior saya, saudara Azhar.. Klik kat SINI.

Dipendekkan cerita, maka Prof KJ mula mengumumkan satu demi persatu nama-nama kami, dan, alhamdulillah, semua nama telah disebut. Maknanya........

KAMI SEMUA LULUS TAHUN PERTAMA!!!!!!!!!

Syukur alhamdulillah, ini semua berkat usaha dan kerja keras kami. Tak dilupakan, ini semua hasil panduan para pensyarah yang sangat berdedikasi, mengajar dan terus mengajar sehingga kami faham, tanpa penat dan jemu. Dorongan ibu bapa, keluarga dan rakan-rakan juga memainkan peranan penting dalam kejayaan kami. Jangan lupa, tanpa izin Allah, tak mungkin kami dapat mengecapi kejayaan ini.

Pada akhir sesi pengumuman keputusan tu juga, Prof KJ mengumumkan 5 orang yang berjaya mendapat 'Distinction'. Mereka adalah:


  1. Gan Rick Kye
  2. Aznil Ramly
  3. Syuhada Ahmad Soobni
  4. Syahirah Ahmad Kamal
  5. Ryan Gilbert
Tahniah kepada mereka berlima! Tabik spring kepada mereka sebab dapat mengharungi temuduga yang sukar itu.. Aku pun tumpang gembira..

Segala perjuangan kami dalam tahun pertama telah tamat, dan kami berjaya melaluinya dengan jayanya! Detik ini telah lama aku nantikan!! Woot woot!

Gambar setelah lulus tahun pertama.. Kami bersama para pensyarah..
Dengan bangganya, dengan ini, aku kini bergelar pelajar perubatan tahun kedua! Langkah pertama sudah dilepasi.. Jauh lagi perjalanan ini, dan bukanlah semudah yang disangka. Harapan aku agar dipermudahkan jalan untuk aku dan kami semua untuk menempuh segala cabaran sepanjang kami bergelar pelajar perubatan ini. InsyaAllah, dengan bersatu, kita semua boleh!

Keceriaan terserlah di wajah kami. Harapnya berterusan sampai ke akhirnya.
Yang paling penting, jangan mudah putus asa, dan jangan menggelabah! Masa mula-mula dulu pun, aku rasa gelabah, macam mana nak hafal, nak faham, nak ingat semua benda medik ni, banyak sangat! Tapi, belajar slow-slow la, lama-lama seronok pulak, macam baca buku cerita pun ada. Ada yang senang, ada yang sukar, tapi kalau dah minat tu, minat jugak kan..

Syukur alhamdulillah, kini masa untuk aku merehatkan diri setelah setahun berhempas-pulas. Terima kasih semua yang telah membantu diri ini untuk mencapai kejayaan pada hari ini. Kini aku mampu tersenyum dan berhari raya dengan bermaruah :)


20 Jul 2012

Ramadhan Datang Lagi

Assalamualaikum, salam sejahtera 1 Dunia!

Setahun berlalu dengan pantas, kini bulan Ramadhan tiba lagi. Syukur alhamdulillah, masih diberikan peluang oleh Allah S.W.T. untuk bertemu dengan bulan puasa tahun ini.


Seperti yang kita semua sedia maklum, kat Malaysia, mulanya kita berpuasa adalah pada hari Sabtu, 21 Julai 2012, bersamaan hari Sabtu. Kat India ni pun, insyaAllah, akan mula puasa pada Sabtu juga.. Tahun ni tak dapat nak tengok pengumuman puasa kat TV-TV kat Malaysia. Syukurlah ada YouTube, boleh juga rasai keterujaan untuk menyambut Ramadhan.. Kepada sesiapa yang terlepas untuk menonton, jom kita tengok ni:



Untuk tahun ini, agak unik sedikit pengalaman puasa aku. Kali ni merupakan kali pertama aku berpuasa di luar negara. Macam gempak je bunyi dia, tapi aku puasa kat sini seminggu je, iaitu mulai hari pertama Ramadhan, iaitu Sabtu, 21 Julai 2012 hingga hari Jumaat, 27 Julai 2012. Kemudian, hari seterusnya hingga hari terakhir, aku akan sambung berpuasa di Malaysia..

Apa harapan aku untuk Ramadhan kali ni? Semua terkandung dalam lagu 'Harapan Ramadhan' nyanyian Raihan dan Man Bai..




Ku mengharapkan Ramadhan
Kali ini penuh makna
Agar dapat kulalui
Dengan sempurna

Selangkah demi selangkah
Setahun sudah pun berlalu
Masa yang pantas berlalu
Hingga tak terasa ku berada
Di bulan Ramadhan semula

Puasa satu amalan
Sebagaimana yang diperintahNya
Moga dapat ku lenturkan
Nafsu yang selalu membelenggu diri
Tiada henti-henti

Tak ingin ku biarkan Ramadhan berlalu saja
Tuhan pimpinlah daku yang lemah
Mengharungi segalanya dengan sabar
Kita memohon pada Tuhan diberikan kekuatan
Ku merayu pada Tuhan diterima amalan

Selangkah demi selangkah...
Dengan rahmatMu oh Tuhanku...
Ku tempuh jua

Anggaplah Ramadhan kali ini seperti Ramadhan yang terakhir untuk kita, agar kita lebih bersungguh-sungguh untuk merebut segala pahala dan kelebihan yang Allah tawarkan kepada seluruh hambaNya. Jadikan Ramadhan kali ni sebagai medan untuk kita menjadi insan yang lebih baik. InsyaAllah..

Ketika aku menulis entri ini, Peperiksaan Ikhtisas 1 Doktor Perubatan USM-KLE masih berjalan, dan masih berbaki satu kertas lagi. Maafkan aku kerana kurang mengemas kini blog untuk tatapan anda semua, namun aku telah meninggalkan banyak info untuk tatapan dan kegunaan anda semua demi kebaikan dan kesenangan dalam kehidupan anda. Aku juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak kepada seluruh penganut agama Islam di serata dunia, terutamanya kepada ibu bapa, keluarga, guru-guru, sahabat handai, jiran tetangga dan kepada seluruh insan yang mengenali diriku, dengan harapan agar kita diberi kekuatan fizikal dan mental untuk menempuh sebulan ini dengan jayanya...

Akhir kata, kuruskan badan, gemukkan iman. =)

23 Jun 2012

Peperiksaan Ikhtisas 1

Assalamualaikum, salam sejahtera 1 Dunia!

Selanjar 1, Selanjar 2 dan Selanjar 3, semua dah ditempuhi. Alhamdulillah, semuanya lulus. Kini, untuk menyempurnakan Fasa I Doktor Perubatan USM-KLE, tinggal satu lagi peperangan besar yang perlu ditempuh oleh kami semua, iaitu Peperiksaan Ikhtisas 1, ataupun lebih popular dikenali sebagai Professional Exam ataupun lebih pendek, Pro Exam.



Untuk teruskan perjalanan ke Fasa II, kena la lulus Pro Exam ni. Kalau tak, kena ulang lagi Fasa I ni. Jimat masa, jimat duit. Kau ada RM100k? Kalau abah aku keje cap duit, tak risau la.. Lagipun, aku nak balik berhari raya di rumah dengan bermaruah. Kalau tak lulus Fasa I ni, mana la aku nak taruk muka di hari raya yang mulia nanti.

GAMBAR HIASAN SEMATA-MATA. hehehe.. :D

Secara rasminya, sukatan pelajaran untuk Fasa I dah habis. Tinggal untuk mengulang kaji semua benda yang aku dah belajar sejak bulan September baru ni. 16 blok semuanya...


  1. Bioethics & Social Health
  2. Nursing
  3. Cell & Tissue
  4. Musculoskeletal
  5. Nervous System
  6. Haemopoietic & Lymphoid
  7. Cardiovascular
  8. Respiratory
  9. Renal
  10. Gastrointestinal
  11. First Aid
  12. Endocrine & Metabolism
  13. Nutrition
  14. Reproductive
  15. Basic Molecular Biology & Pharmacology
  16. Host & Environment


Pejam celik, pejam celik, dah habis semua ni. Hampir 10 bulan kat sini, tak rasa pun.. Cepat sangat masa berlalu. 10 bulan jugak aku tak balik Malaysia. Perasaan rindu kampung halaman tu tetap ada. Eh, kejap! sejak bila aku duduk kat kampung? Hahaha.. Aku duduk kat bandar la, ngado jugak nak kampung halaman. Bandar halaman je la. Hahaha.. Rosak bahasa.

Persediaan dari segi fizikal kena ada jugak. Jaga pemakanan dalam tempoh yang genting. Minggu ni pun ada kawan yang admitted kat hospital, silih ganti pulak tu. Kena jaga betul-betul kesihatan ni, untuk belajar dengan sebaik mungkin. Persediaan mental pun perlu. Semangat kena ada. Alhamdulillah, ramai rakan yang memberikan sokongan dan dokongan sewaktu saat-saat genting sebegini. Pensyarah-pensyarah kat sini juga banyak memberikan semangat, terutamanya Professor Kamarudin Jaalam (Prof KJ), Timbalan Dekan USM-KLE yang ibarat bapa untuk kami di sini.



Sekarang, dah mula minggu belajar untuk kami kat sini. 3 minggu masa yang diperuntukkan. Masa untuk berusaha dengan gigih telah tiba. Bukan kami sahaja yang bersungguh-sungguh untuk lulus, malahan pensyarah pun sama semangatnya seperti kami. Mereka sanggup mengadakan kelas tambahan dalam 3 minggu ini, semata-mata untuk kami. Sebab tu aku sayang pensyarah-pensyarah kat sini. Matlamat mereka hanya satu, untuk melihat kami semua lulus, dan mengekalkan rekod 100% lulus, seperti yang dicapai oleh senior kami tahun lepas.

Jadual untuk peperiksaan kali ni dah keluar. Jadual ni aku ambil dari laman web MedSoc USM Kubang Kerian. Untuk kami, tak dapat lagi. 

Harapan nye, kita semua lulus dengan jayanya, dan maju ke Fasa II dengan cemerlang. Kita datang sini sama-sama, kita lulus pun sama-sama, insyaAllah. Aku doakan yang terbaik untuk kita semua. Yang penting, doa, usaha, tawakal. Belajar, jangan alpa dan dikaburi dengan tempoh 3 minggu yang nampak je lama, tapi kejap je... Pesanan untuk diri sendiri jugak ni..

Jadi, apa lagi yang ditunggu? Masa makin singkat, jom kita belajar!! Exam fever mode, activated!!!


Para pembaca blog ini yang aku hargai, doakan kami semua berjaya mengharungi salah satu episod penting dalam pengajian kami di sini. Semoga makbul doa kalian. Terima kasih :)

Bersama kita bergandingan melalui liku-liku kehidupan, pahit manis kita hadapi bersama.


15 Jun 2012

SELANJAR 3 : Keputusan

Assalamualaikum, salam sejahtera 1 Dunia!

Aku baru perasan yang aku tak post lagi pasal tajuk di atas. Hehehe.. Maafkan aku. Almaklumlah, sibuk sangat. Padahal dah sebulan resultnye keluar...



Selanjar 3 menyaksikan aku lulus lagi. Alhamdulillah, masih berada dalam zon selesa. Berikut adalah keputusan aku:

MCQ : C-
SEQ : B-
OSPE : A-

GRED KESELURUHAN : B-

Syukur alhamdulillah, tapi result aku tak berganjak, kat kawasan B- je. Selanjar 1, Selanjar 2, Selanjar 3, semua pun B-. Takpe, sekurang-kurangnya aku konsisten, dalam zon selamat. Aku pun teringin nak dapat gred yang lebih tinggi macam A+, A- tapi bukan rezeki aku lagi kot. Takpe, dengan result macam ni pun dah cukup bersyukur.

Matlamat aku hanya ingin terus ke Phase II, tak nak repeat Phase I ni dah. Kalau aku teruskan macam ni, insyaAllah aku boleh! Cuma tak boleh terus selesa. Kena berusaha juga, kalau boleh dapat Distinction tu adalah satu bonus. Kalau tak dapat pun, tak kisah..

Sebulan lagi masa tinggal untuk Peperiksaan Professional Fasa I. Doakan kami semua berjaya!

Doa, usaha, ikhtiar, tawakal.

5 Mei 2012

Selanjar 3 : TAMAT

Assalamualaikum, salam sejahtera 1 Dunia!

Akhirnya setelah berhempas-pulas berjuang dalam Selanjar 3, tamat pun segala perjuangan. Hasilnya macam mana? Mungkin 2-3 minggu lagi, tahu lah nasibnya. Alhamdulillah, setiap kertas dilalui dengan keyakinan yang lebih tinggi berbanding Selanjar 2..

Ke mana arah aku selepas Selanjar 3? Aku ke Manipal, untuk melawat rakan yang dah lama tak jumpa, akhirnya bakal berjumpa semula di bumi India bertuah ini. Trip aku kali ni adalah secara bersendirian. Bukan kerana aku seorang penyendiri, tapi aku nak meningkatkan keyakinan diri aku. (tak habis-habis lah kau ni Dan, dari Malaysia lagi suka jalan jauh sorang-sorang...) Lagipun, majoriti budak lelaki pergi bersuka-ria kat Wonder La, Bangalore.. Aku dah pergi dah kat Wonder La dulu.. Tu yang aku tak ikut... Tengok ni, agak manis kenangan itu :)


Ada juga yang memilih untuk tinggal di Belgaum.. Rugi la, ni last cuti kita sebelum final exam.. Huh? Final exam?!



Semasa aku sedang menulis ni, aku sedang berada di Manipal. Sape kata masa bercuti pun tak boleh update blog? Hehe... Nanti aku update kemudian sekembalinya aku ke Belgaum. Setakat ini, semua pun seronok. Itu aje klu yang aku bagi. :)

Nantikan entri tentang percutian aku di Manipal ye. InsyaAllah tak lama lagi aku taip.

Berjalan, bermusafirlah, melihat kebesaran Tuhan.


24 Apr 2012

Menghampiri Selanjar 3

Assalamualaikum, salam sejahtera 1 Dunia.

Sekali lagi, kami, pelajar USM-KLE International Medical Programme seramai 83 orang akan menduduki peperiksaan Selanjar 3 pada minggu hadapan.


Hidup sebagai pelajar medik ni memang dipenuhi dengan exam, so just bear with it. Untuk kebaikan jugak ni.. Jadual exam minggu depan:

Waktu yang tertera tu adalah waktu India yer.
Peperiksaan kali ini sekali lagi dilakukan serentak dengan USM Kubang Kerian, kerana kami akan jawab soalan yang sejibik-sejibon sama sahaja.. Takut pulak soalan bocor nanti kan...


Nervous sikit lah, sebab Selanjar 3 ini angat penting demi menentukan nasib aku nanti final exam nanti. Kalau aku skor banyak dalam Selanjar 3 ni, ringan sikit beban aku nanti final exam. Aku dah ada lebih kurang 12/20 markah hasil Selanjar 1 dan 2. Selanjar 3 ni kasi skor lebih sikit. Selanjar 3 ini pun menyumbang 10% daripada markah final nanti. Final exam nanti akan menyumbang 70% markah keseluruhan. Untuk lulus, kena dapatkan markah keseluruhan sebanyak 50%. Kalau lulus final exam nanti, barulah dapat pulang ke Malaysia dengan hati yang tenang sambil berhari raya. :)


Aku dalam proses menyediakan diri aku lah sekarang ini... Nak kumpul sebanyak mana informasi dan pengetahuan untuk aku gunakan sepanjang pengajian dan juga karier aku sebagai seorang doktor nanti, insyaAllah. Aku ada masa sampai hari Ahad, 29 April 2012 untuk mengulang kaji. 1 Mei nanti pun cuti, sebab Hari Pekerja kan. Boleh la curi masa kat situ jugak.

Akhir kata, doakan kami semua berjaya menempuh peperiksaan ini. Doakan kami supaya dipermudahkan urusan kami dan semoga mendapat idea-idea yang bernas ketika menjawab peperiksaan. Sekian dulu untuk kali ini. Terima kasih :)

Percaya pada diri dengan harapan dan keyakinan.

3 Mac 2012

Selanjar 2 : KEPUTUSAN

Assalamualaikum, salam sejahtera 1 Dunia!

Hari ni hari Sabtu. Hehehe.. Hari ni jugak 3 Mac 2012. Hari ni jugak, aku telah menerima keputusan daripada hasil titik peluh aku masa Selanjar 2 tempoh hari.


Setelah berhempas-pulas, ini keputusan Selanjar 2 aku:

MCQ - C-
SEQ - B+
SSA - A-

GRED KESELURUHAN - B-

Alhamdulillah, lulus lagi untuk kali ni. Syukur sangat, sebab soalan hati tu agak mencabar jugak. Aku ingatkan result aku dapat lagi rendah daripada yang ni. Namun, sangkaan aku tu meleset. Bukannya apa, pagi tadi, sebelum dapat result, kami bincang jawapan untuk exam hari tu. Nampak benar, banyak giler kesalahan yang aku buat. Aku sangka dapat sikit je, namun dah Allah S.W.T. nak bagi rezeki yang lebih kat aku, alhamdulillah, aku syukur banyak-banyak.

Banyak kesilapan dan kecuaian yang aku buat, yang boleh letakkan diri aku dalam bahaya. Kejayaan kali ni tak boleh dijadikan tiket untuk bersenang-lenang. Banyak lagi halangan yang perlu ditempuh pada tahun ini dan jugak tahun-tahun yang mendatang. InsyaAllah, aku akan cuba perbaiki diri aku, sedikit demi sedikit agar aku mampu menjadi doktor yang hebat nanti, supaya aku boleh berbakti kepada agama, bangsa dan negara. :)

Bila aku kenangkan saat sukar aku kat PASUM dulu, yang mana aku tak mampu nak skor pointer yang dahsyat, aku kembali bermotivasi. Aku takkan sesekali membiarkan diri aku jadi susah macam dulu. Cukuplah sekali aku rasa susah. Dapat masuk USM-KLE ni aku dah cukup bersyukur, dan ibarat peluang kedua untuk aku. Aku akan buktikan bahawa aku layak berada di sini.

Kepada rakan-rakan yang dapat keputusan yang gempak, sekalung tahniah buat kalian. Kepada rakan-rakan yang dapat keputusan yang kurang memberangsangkan, cuba lagi nanti, kita ada Selanjar 3 dan Professional 1 lepas ni. Peluang masih ada, jangan putus asa! Kita mesti bergerak sebagai satu pasukan!


Bergeraklah seperti burung-burung di atas, saling membantu antara satu sama lain.
Sekarang, segala persoalan dah terjawab tentang keputusan Selanjar 2. Kini, kembali kepada matlamat seterusnya, iaitu Selanjar 3 pada 30 April nanti. Sudah semestinya motivasi diri aku semakin meningkat, terima kasih kepada keluarga, rakan-rakan dan para pensyarah yang banyak menyokong.

Sekian dulu bebelan aku untuk kali ni, dengan harapan bahawa aku mampu untuk lulus Tahun 1 ini dengan jayanya. Doakan aku dan kami semua di Belgaum ni! :)


Sederap meluru memburu kejayaan bersama.

17 Feb 2012

Selanjar 2 : TAMAT

Assalamualaikum, salam sejahtera 1 Dunia!

Selanjar 2 dah habis. So, macam mana exam? Secara jujurnya, aku rasa aku tak perform sangat lah untuk Selanjar 2. Lain yang disangka keluar exam, lain pulak yang muncul. Ada jugak beberapa kecuaian yang berlaku, tapi takpe lah, silap sendiri kan. InsyaAllah, aku akan cuba memperbaiki diri dengan kesilapan ni, agar ada peningkatan pada masa hadapan.


Gred pulak macam mana? Kalau dapat lulus tu, kira sangatlah bersyukur. Sebab ramai juga yang kata susah exam kali ni. Even Prof KJ pun kata susah.. Senior pun kata susah jugak. Kalau dapat gred yang lebih tinggi, tu, alhamdulillah...

Jadi, apa yang aku nak buat cuti ni? Ada member yang ajak aku ke Kerala, pergi bercuti ke sana, tapi jadual diorang macam hectic giler, dan jugak macam memenatkan je. So, aku cancel je la. Aku bukan nak penatkan diri aku dalam cuti ni. Aku prefer duduk bilik je la, daripada penat-penat gitu. Aku bukan tak minat mengembara, aku minat giler!!! Cuma ni kan India. Tak biasa lagi dengan tempat ni. Kalau tak, dah lama aku buat solo trip macam sebelum ni, bila kat Malaysia..

Lagipun, takde orang ajak aku pergi mana-mana, even ke Mumbai atau Goa. Macam ni la kan member, tinggal aku.. Memang aku ditakdirkan untuk selalu dilupakan kot. Takde pun orang tanye aku nak ajak ke mana-mana, kecuali ade la member yang ajak aku ke Kerala tadi. Takpe lah, biar aku cari ketenangan sendiri. Kawan-kawan aku ramai jugak yang balik Malaysia.. Sedih jugak, sebab last minute baru mak aku bagi lampu hijau untuk balik. Kalau aku tau, aku pun takkan duduk sini. Rindu jugak kat tanah air. Cuti lama kot, 10 hari.

Aku ade perancangan yang tersendiri la cuti ni. Aku nak baca buku 'Conversational Hindi' yang aku baru beli dari Flipkart.com hari tu. Bosan jugak duk diam-diam kan, baik ada pengisian sikit. Lepas ni, tak payah guna subtitle la kalau tengok cerita Hindustan. Hahaha... Lagipun, secara jujurnya, aku lebih berminat untuk belajar bahasa Hindi berbanding bahasa Kannada. Bahasa Kannada macam susah sikit, tapi kat sini ramai jugak yang cakap Kannada, dan akan jadi penting bila masuk clinical years. Duhhh...

Inilah bukunya, semoga berguna :)
Macam biasa jugak, lumrah mahasiswa-mahasiswi sekalian, aku akan bermarathon movie jugak dalam cuti ni. Banyak jugak movie dalam hard disk aku ni. Hehehe.. Untung jugak duduk sini je, jimat lagi duit, tapi semalam aku ade kirimkan kain sari kat member aku yang duduk kat Kota Bharu jugak, suruh bagi kat family aku, untuk hari raya nanti...

Cantik tak? Kalau berkenan, nanti aku bawak balik.. Tapi bayar la!!
Setakat ni la dulu bebelan aku, yang pasti, aku akan update jugak blog ni dalam cuti, insyaAllah.. Ada banyak jugak inspirasi nak tulis kat blog ni. Hehehe.. Tunggu yer. Sekian..

Ada masanya kita perlu bersendirian, agar jiwa lebih tenang.

6 Feb 2012

Menghampiri Selanjar 2

Assalamualaikum, salam sejahtera 1 Dunia!

Selanjar 2 semakin dekat, dan semua 83 orang pelajar batch ke-2 USM-KLE International Medical Programme, Belgaum, India boleh dikatakan sedang menghadapi 'demam' exam buat masa sekarang. Aku pun terkena sama.. Huhu..

Bila kami nak exam nye? 14-16 Februari, kami bakal menempuh 'battle' kami yang ke-2 setelah berjaya menempuh Selanjar 1 dengan jayanya. Alhamdulillah...

Jadual Selanjar 2 (waktu yang dipaparkan adalah waktu India.. Untuk waktu Malaysia, sila tambah 2 jam 30 minit) :

Tiga hari sahaja..
Sebenarnya, sekarang ni kami tengah ada study week.. Ada 66 nota kuliah yang perlu dibaca.. 30 Anatomi, 27 Fisiologi, 9 Biochemstry.. InsyaAllah, sempat nak baca balik semua tu.. Kerajinan amat dituntut dalam fasa sebegini. Hehe..

Akhir kata, harapannya agar kami semua dapat keputusan Selanjar 2 yang lebih gempak daripada Selanjar 1 tempoh hari. Aku yakin kita semua boleh. Tapi, aku nak tanya satu soalan:

Sudahkah anda semua bersedia???????

Kalau aku, belum sedia lagi. Hehe.. Ada banyak lagi yang nak kena cover ni. Namun, jangan tertekan sangat yer kawan-kawan. Satu lagi, jaga kesihatan baik-baik, nanti tak pasal-pasal sakit masa exam, sape yang susah? Korang jugak...

Baiklah, setakat ini dulu bebelan aku untuk kali ni. Aku ada banyak buku dan lecture note untuk dibaca. Doakan kami berjaya! =)

Pantang kalah sebelum berjuang.

22 Dis 2011

Jangan Menyerah

Assalamualaikum, salam sejahtera, salam 1 Malaysia.

Entri kali ni ditujukan khas kepada mereka yang masih lagi bergelar pelajar Asasi / Matrikulasi. Aku baru dapat tahu yang result exam Semester 1 korang dah keluar kan. Di kesempatan ini, aku ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada mereka yang dapat 4.00 rata yer. Kekalkan prestasi anda yang mantap tu! Syukur dan beruntung la.. Aku tak pernah merasa 4.00 flat..


Kepada mereka yang dapat keputusan yang kurang gempak atau tak seperti yang disangka, harap jangan putus asa yer. Aku dulu pun masa Sem 1 dapat ala kadar je. Jangan terlebih-lebih la sedih tu ek. Mari sini, nak kongsi pengalaman sikit tentang kehidupan aku lepas dapat result tu.

Tapi, sebelum tu, aku nak belanja korang dengan satu lagu (yang aku nyanyi masa 'Malaysian Night' baru ni.. Hahaha..) yang bertajuk "Jangan Menyerah", daripada kumpulan D'Masiv.




Tak ada manusia
Yang terlahir sempurna
Jangan kau sesali
Segala yang telah terjadi


Kita pasti pernah
Dapatkan cobaan yang berat
Seakan hidup ini
Tak ada ertinya lagi


Syukuri apa yang ada
Hidup adalah anugerah
Tetap jalani hidup ini
Melakukan yang terbaik


Tuhan pasti kan menunjukkan
Kebesaran dan kuasanya
Bagi hambanya yang sabar
Dan tak kenal putus asa


Macam mana nak mula? Hmmm... Ni la sikit sebanyak alkisah nye. Hari dapat result bagi bebudak PASUM bagi sesi 2010/2011 jatuh pada hari kelahiran aku, iaitu 14 Disember 2010. Sudah semestinya, aku harapkan result yang boleh dijadikan sebagai hadiah birthday aku, paling-paling busuk pun aku harap 3.67. Tapi, apa yang keluar?

3.44

Musnah harapan aku untuk semarakkan sambutan hari jadi aku yang ke-18. Terus takde mood nak sambut birthday.

Depan kawan-kawan aku berlagak tenang je, tapi dalam hati aku, hanya Allah yang tahu. Parents ngan family aku pun dah hilang sedikit keyakinan kepada aku. Lagi la aku bertambah sedih.. Tapi, buat ape terus sedih dan bersikap pesimis? Sepatutnya kegagalan tu la yang menyebabkan kita kembali ke landasan, bukan terus bersedih. Kalau dengan bersedih tu dapat 4.00 flat, aku pun nak nangis je sepanjang Sem 2 tuh.

Secara perlahan-lahan, aku himpun balik semangat aku yang hilang, dan aku kutip balik deraian hati yang hancur, demi satu matlamat : Menghidupkan kembali peluang aku untuk masuk dalam kursus yang menjadi idaman aku.

Aku rombak balik strategi pembelajaran, dan aku cari kawan yang boleh membantu pembelajaran aku, dan yang boleh bersama aku ketika suka atau duka. Rindu diorang la pulak kan. Mahmud Khairudin, Izzat Zainal, banyak bantu aku dalam pembelajaran. Ramai lagi yang membantu aku dalam waktu sukar tu, iaitu Sufi, Aris, Akmal, Capul, Amirul, Aliff, Taufiq, Amer, Umar dan ramai lagi lah, malas la nak tulis panjang-panjang. Hehehe.. Rindu korang tahap infiniti! Thanks sebab bantu aku dari aspek study dan jugak emosi yer. Harap korang berjaya walau di mana jua korang berada.

Aku tak pernah putus harapan, walaupun pada Mid-Sem 2, result masih tak menyebelahi aku. Aku meletakkan keyakinan di tangga pertama, kerana tanpa keyakinan, semangat aku bakal luntur, dan akan tersadai di takuk lama. Aku perlukan peningkatan, walaupun sikit!

Alhamdulillah, dengan keputusan yang sedikit meningkat, iaitu 3.55, melayakkan aku memilih kursus yang aku inginkan, walaupun terhad. Aku puas hati dengan result ni, walaupun aku harapkan lebih lagi. Kesyukuran kepada Allah S.W.T, kerana usaha aku ada juga pembalasan, walaupun tak banyak, tapi lebih baik ada daripada tak ada.


Macam ni la result overall korang akan kelihatan! Pointer je la yang berbeza ek.

Pada awalnya, aku dapat tawaran dari UiTM, untuk kursus Optometri.


Namun, nyata kuasa Allah dapat mengubah nasib seseorang. Selang beberapa jam kemudian, pada hari yang sama, aku dapat satu lagi tawaran untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang PERUBATAN di INDIA, di bawah USM-KLE International Medical Programme. Walaupun aku perlu menunggu beberapa minggu lagi untuk keputusan tawaran biasiswa, aku tetap menanti dengan sabar, dan akhirnya MARA sudi menaja aku ke India. Alhamdulillah.



Dengan 3.55 tu jugak, aku mampu untuk mendapat satu lagi tawaran ke Universiti Perdana-RCSI. Kampusnya terletak di Serdang, Selangor. Aku juga berjaya mendapat tajaan JPA untuk melanjutkan pelajaran ke Perdana University-RCSI, berbekalkan keputusan tu. Aku hampir menjadi batch perintis bagi program tu, yang mana Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, adalah Canselor bagi Perdana University. Namun, pada ketika itu, aku telah sampai ke India, jadi tawaran itu terpaksa ditolak.


Kat sini, aku nak tekankan satu perkara. Korang jangan malas-malas unuk cari peluang untuk masuk dalam kursus yang korang minat, dan jangan putus asa. Jadilah seorang yang optimis, dan yakin dengan ketentuan yang Allah tetapkan. Aku ada teringat firman Allah,

“Aku takkan mengubah nasib sesebuah kaum melainkan kaum itu sendiri yg mengubah nasib mereka sendiri.”

Jadi, sekarang ni, tanggungjawab kepada diri sendiri la pulak untuk mengubah masa depan anda. Jangan menyesal kalau nanti, tatkala semua orang bergembira, anda pulak yang berduka. Sekurang-kurangnya, bila anda dah berusaha dan tawakal, kalau tak dapat keputusan yang anda mahukan, kurang sikit rasa penyesalan kan. Lupakan memori duka, sahutlah panggilan kejayaan! :)



Kepada yang dah selesa, jangan selesa sangat, kerana mungkin keselesaan anda itu akan memakan diri sendiri. Usaha kena konsisten, jangan nak study last minute sangat. Macam aku, dah masuk medik ni, tak boleh nak stadi last minute dah, takkan selamat dah. Kalau dulu, masih boleh nak backup, tapi syllabus medik sangat luas!

Apa-apa hal pun, 4.00 flat bukanlah segala-galanya. Ada je yang 3.78 pun dapat je masuk medik kat IPTA ni, jangan khuatir. Tak semestinya kau tak dapat 4.00 flat, kau tak berjaya. Persetankan tu semua. Korang akan berjaya walau apa pun kursus yang korang bakal ambik nanti. Kalau tak berjaya sekarang, mungkin korang akan berjaya pada masa hadapan. Rezeki Allah kita tak boleh nak jangka. Nak masuk UM pun banyak lagi peluang, jangan risau. Kena rajin cari peluang je. Mata kena liar cari tawaran yang ada! Kalau ada apa-apa masalah, sebagai orang yang dah terlebih dahulu makan garam, aku sudi untuk membantu, yang mana aku mampu je la ek. :)


Sekian saja bebelan aku untuk kali ni. Harapnya aku dapat pulihkan semangat sesiapa yang mulai luntur tu, Bangkitlah demi masa depan anda! Ada apa-apa pertanyaan, sila salurkan di tempat yang betul, iaitu di kotak komen di bawah ini. InsyaAllah akan dibalas dengan secepat mungkin. Terima kasih...

12 Dis 2011

SELANJAR 1 : Keputusan?

Assalamualaikum, salam sejahtera, salam 1 Malaysia.

Minggu ni bermula dengan debaran. Kenapa? Sebab hari ni aku dapat result Selanjar 1. Mula-mula berdebar dup dap dup dap jugak la menantikan result nih. Time Madam Vidya cakap yang result dah boleh ambik dekat mentor masing-masing (pukul 11.00 pagi tadi, sebelum kelas Dr. Ravishankar), masa kelas Dr. Ravishankar, susah la pulak nak fokus bila fikir pasal result. Alahai... Lulus ke tidak aku ni. Aku rasa result aku suam-suam kuku je ni.


Dipendekkan cerita, aku pun jumpa la mentor aku, dan setelah lama menanti, ini adalah keputusan peperiksaan aku yang pertama di sini:


B- jatuh dalam julat markah 60% - 64.9%.


Nak lulus, kena dapat > 50%.


Result tu ok la bagi aku, tak mengharapkan lebih pun. Lebih sebenarnya daripada yang aku jangka, terutamanya untuk paper SSA. Paper MCQ hari tu memang susah. Paper SEQ pulak, memang hancur, aku tak sempat nak tulis satu soalan, sebab tak cukup masa, hilang 10 markah. Kalau tak, boleh naik lagi gred ni.

Aku tahu, aku boleh buat dengan lebih baik untuk Selanjar 2, Selanjar 3 dan yang paling UTAMA, Professional 1 nanti. InsyaAllah. Kini, aku sebagai seorang pelajar perubatan, tak kejar lagi gred-gred ni semua. Aku hanya berhasrat untuk lulus sahaja. Kalau pun aku dapat markah yang lebih tinggi, itu aku anggap sebagai bonus, tanda kerja dengan lebih keras. Apa yang membezakan sama ada anda adalah seorang doktor yang baik atau tidak adalah sikap anda.

Alhamdulillah, syukur kerana aku berjaya lulus dalam 'battle' aku yang pertama. Ada 2 lagi 'battle' dan 1 'war' yang tinggal lagi. Langkah pertama aku ni boleh tahan bergaya jugak la, tapi ramai lagi kawan aku yang dapat result yang lagi power. Aku masih merendah diri. namun, keputusan ni sekurang-kurangnya boleh membakar semangat aku untuk naikkan lagi graf aku lepas ni! Tak banyak lagi masa yang tinggal untuk Selanjar 2, ada dua bulan lagi. Aku nak suruh abah ngan mak aku hepi dengar result aku nanti, bukan aku pulak yang kena leter. =)

Doakan aku berjaya mengharungi tahun pertama ni dengan gemilang! Kepada 82 orang pelajar 2nd Batch USM-KLE yang lain, aku pun doakan korang berjaya menempuh tahun pertama ni dengan jayanya. Sama-sama kita redah onak duri dan lautan api ni, menuju ke puncak kejayaan!

Bersama-sama tempuhi segala, saat gemilang akan tiba, dan kita kecapi bersama.