Memaparkan catatan dengan label femur. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label femur. Papar semua catatan

27 Dis 2012

Dialah DELISA

Assalamualaikum, salam sejahtera 1 Dunia!

Siapa pernah menonton filem 'Hafalan Shalat Delisa'? Cerita yang sangat sedih kan?


Lagu tema untuk filem ini adalah lagu 'Ibu', nyanyian Rafly. Liriknya amat menyentuh hati, apatah lagi kalau anda menonton filem ini.



Lembut kukenang, kasihmu ibu
di dalam hati ku kini menanggung rindu
kau tabur kasih seumur masa
bergetar syahdu, ooh di dalam nadiku

9 bulan ku dalam rahimmu
bersusah payah, oh ibu jaga diriku
sakit dan lelah tak kau hiraukan
demi diriku, oh ibu buah hatimu

tiada ku mampu, membalas jasamu
hanyalah do’a oh di setiap waktu
oh ibu tak henti kuharapkan do’amu (2x)
mengalir di setiap nafasku (2x)

ibuuuuuuuuuuuuuu……….. (3x)

Lembut kukenang, kasihmu ibu
di dalam hati ku kini menanggung rindu
engkau tabur kasih seumur masa
bergetar syahdu oh di dalam nadiku

indah bercanda denganmu ibu
di dalam hati ku kini slalu merindu
sakit dan lelah tak kau hiraukan
demi diriku, oh ibu buah hatimu

tiada ku mampu, membalas jasamu
hanyalah doa oh di setiap waktu
oh ibu tak henti kuharapkan doamu (2x)
mengalir di setiap nafasku (2x
ibuuuuuuuuuu…….. (3x)

“Allahummaghfirlii waliwaa lidayya warhamhumaa kamaa rabbayaanii shaghiiraa”

Sebenarnya, filem ini diadaptasi daripada novel. Tadi, masa melayari laman Facebook, ternampak ada orang kongsikan sebuah pautan ini, mengenai diri Delisa yang sebenar. Mesti ramai yang nak kenal kan?

Inilah beliau, Delisa, gadis yang tabah.

Beliaulah DELISA yang sebenar, mangsa tsunami yang kisahnya difilemkan itu. Walaupun salah satu kakinya telah dipotong, namun dia tetap tabah berdiri di tengah Panggung Peringatan 8 Tahun Tsunami yang terletak di Muzium Tsunami Banda Aceh. 

Nama sebenar beliau adalah Delisa Fitri Rahmadani, dan nama panggilan beliau adalah Delisa. Gadis ini lahir di Ulee Lheu Banda Acheh pada 15 Disember 1997. Pada kejadian itu (tsunami 26 Disember 2004), beliau masih berusia 8 tahun 15 hari. Beliau bukan sahaja kehilangan kaki kirinya, malahan turut kehilangan ibunya, Salamah dan tiga orang adik-beradiknya yang ditelan gelombang yang dahsyat itu.


Kini, Delisa menjalani kehidupan seharian dengan bantuan tongkat dan kaki palsunya. Beliau tinggal bersama ayahnya, Bakhtiar dan seorang abangnya yang selamat. Kini, beliau belajar di Kelas Satu SMK 5 Telkom Banda Aceh. Sejak masih SMP, beliau pernah menjadi juara umum di sekolahnya. Tidak hanya menonjol dalam prestasi akademik, gadis ini juga hebat bermain alat muzik keyboard.

"Saya berterima kasih kepada Allah, yang telah mengambil salah satu kaki saya, di luar sana masih banyak Delisa-Delisa lain yang mungkin lebih daripada saya," ujarnya. Kelak, Delisa bercita-cita ingin menjadi pemain muzik  dan pengarang buku. Beliau juga berkeinginan membuat komuniti untuk anak-anak cacat, sudah tentunya sebuah keinginan yang amat mulia. 

Bila baca kisah Delisa ini, sebenarnya aku rasa bersyukur kerana nasib aku tak seburuk Delisa. Ingatlah pada setiap masa, walau seteruk mana pun keadaan kita, ada orang yang lebih menderita daripada kita, barulah hati kita akan lebih tenang. Namun, setiap yang berlaku mungkin ada hikmah yang tersembunyi kan? Selalunya, dalam sesebuah kekurangan, ada kelebihan yang tersendiri. Allah Maha Adil kan? :)

Alhamdulillah, insyaAllah sebulan sahaja lagi aku akan bertongkat. Kini, pelbagai tanda positif ditunjukkan oleh kaki kanan itu.. Harapnya proses penyembuhan ini takkan lama lagi. Terima kasih kepada semua yang mendoakan selama ini. :)


Tetap semangat wahai Delisa, semoga anda dapat menggapai cita-cita tersebut. InsyaAllah, amin..

 

14 Nov 2012

Kembali Ke Belgaum

Assalamualaikum, salam sejahtera 1 Dunia!

Maaf, sebab meninggalkan blog ni bersawang lebih 2 minggu. Terima kasih kepada mereka yang tetap membaca walaupun tak dikemas kini. Apa yang dah berlaku dua minggu lepas?

Raya Haji:

Alhamdulillah, dapat beraya kat rumah, dan berkumpul balik dalam satu keluarga.

Pengumuman tarikh hari raya Aidil Adha daripada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja

Senior IMS-MSU Bangalore masuk paper di hari raya..
Antara hikmah dapat cuti lebih lama kat rumah ialah dapat makan juadah yang lebih baik (dan of course lah lebih sedap) berbanding di India.. Antaranya:

Sate ayam

Ketupat

Roti jala

Suasana hari raya kat rumah lebih berseri dengan kehadiran 'askar-askar' a.k.a anak buah.. Sekurang-kurangnya lebih meriah keadaan rumah tu. Aku dah mula merindui mereka. Sobs sobs..


Ariel Daniel yang poyo.. hehe

Marsha Arianna yang propa.. :D
Tak ke mana-mana pun masa raya hari tu, almaklumlah dengan keadaan yang tak mengizinkan. Lagipun, ada majlis aqiqah kat rumah aku hari tu, sempena kelahiran dua orang anak buah aku yang terbaru.. Muhammad Yusuf Mikail dan juga Muhammad Adam Dasuki..

Kuala Lumpur:

Setelah 12 minggu di Kota Bharu, akhirnya terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada rumah. Habiskan masa seminggu yang terakhir di KL.. 28 Oktober 2012 aku tiba di KL. Perjalanan agak lancar pada awalnya, walaupun agak sesak di Raub dan Bentong. 10 jam jugak perjalanan KB-KL pada hari tersebut. Syukur kaki tak sakit..

Hentian Gua Musang yang baru.. Segalanya lengkap, cuma servis agak kurang memuaskan.

Comel je Mikail tido atas riba mak dia. :)
Selama seminggu tu, aku stay dekat rumah kakak aku kat Pangsapuri Sri Batu.. Kakak aku mengajar kat SMK Batu Muda, KL.. Abang ipar aku pulak kerja dekat Jabatan Perhutanan..

Masjid Saidina Hamzah.. betul-betul depan blok pangsapuri tu..
Sepanjang duduk kat KL, aku tak duduk diam. Hehe.. Aku pergi jugak jalan-jalan kat Sogo, Giant Batu Caves, dan yang paling best, Universiti Malaya.. Dapat mengimbau kembali memori silam di sana, sepanjang setahun di PASUM. Dapat jugak jumpa kawan-kawan lama kat sana.

Pulang ke India:

Akhirnya, setelah menyambung cuti selama 8 minggu, aku harus pulang ke Belgaum demi meneruskan pengajian yang telah 8 minggu juga tergendala. Walaupun masih belum sepenuhnya sihat, tapi perjuangan harus diteruskan, demi satu matlamat - menggenggam ijazah Perubatan pada konvokesyen tahun 2016 nanti. 

Boarding Pass
Masa kat LCCT, nampak bebudak SeSeRi kat sana, nak pergi Jakarta rasanya. Ada apa, tak tau lah, tak sempat nak tanya. Hehe.. Yang seronoknya, ada orang tolak aku pakai wheelchair untuk naik flight. Like a boss. Hehehe.. Kejap je dah sampai kat gate, sebab habis potong barisan orang lain. Staf AirAsia yang tolak aku tu pun peramah. Namun, yang tak seronoknya, kena bayar RM12. Ingatkan free. :(


Pintu inilah..

Suasana mendung seakan-akan menangisi kepergianku dari Malaysia. Ececeh :D

Boleh nampak Sungai Langat kat bawah tu..

Kali terakhir aku nampak Malaysia :(

Usah sedih, usah berduka, kita makan dulu :)
Setibanya kat Bangalore International Airport, dah ada kawan-kawan aku menunggu, iaitu Fareed dan Hanif Tarmizi. Alhamdulillah, rupanya aku terbang bersama-sama rakan-rakan di IMS-MSU Bangalore. Alhamdulillah, ada yang sudi membantu aku mengangkat barang. Faqis, dulu sepengajian dengan aku kat PASUM, dialah yang tolong aku angkat luggage yang berat tu. Fareed dan Hanif pulak tolong aku angkat barang-barang sampai ke Belgaum, dan sampai ke dalam bilik juga. Syukurlah perjalanan aku dipermudahkan.

Hari Rabu, 7 November 2012, aku mula ke kelas, setelah lama (terpaksa) meninggalkan tanggungjawab itu. Akhirnya, aku memulakan pengajian di tahun kedua secara rasmi. Syukurlah ramai orang bertanyakan khabar kepada aku.. Walaupun penat untuk menjawab soalan-soalan sama yang berulang, namun tetap jawab juga. Tak kurang juga yang melihat aku seperti alien. Haha.. Tak kisah pun, 3 bulan je lagi.

Oh ya. Menurut kata doktor, 3 bulan lagi, insyaAllah aku akan pulih. Sebulan lagi dengan bertongkat dua (seperti sekarang), dan dua bulan selepas itu, bertongkat satu di lengan. Selepas itu, insyaAllah, kehidupan aku akan normal semula. 

Syukur, aku ada rakan-rakan yang amat membantu di sini. Jujurnya, aku malu untuk meminta bantuan daripada mereka, namun aku terpaksa, sebab aku tak mampu nak buat semua benda secara sendirian. Contohnya, basuh baju. Macam mana aku nak bawak baldi.. Lif pun takde lagi kat hostel ni. Alhamdulillah, ada yang sudi membantu. Janganlah pulak kata aku buli ke ape deh. Huhu.. Hari ini, hari aku.. Kalau ada yang memerlukan bantuan aku pada masa yang akan datang, insyaAllah aku pula akan bantu. Sesungguhnya aku terhutang budi :)

Sekian dulu untuk entri kali ni, setelah lama blog tak dikemas kini. Ada 254 hari lagi (setakat hari ni) nak balik Malaysia. Hehe.. Dah mula countdown nampaknya. Haruslah, sebab aku sayang Malaysia. :)
 

Rindu rumah :')


18 Okt 2012

Nak Balik India Dah..

Assalamualaikum, salam sejahtera 1 Dunia!

Macam tajuk kat atas tu, aku nak umumkan bahawa tak lama lagi aku dah nak balik India.. Belgaum, lebih spesifik. Pulang meneruskan pengajian dalam bidang perubatan di tahun kedua...



Hasil temu janji bersama doktor hari tu, mendapati bahawa aku masih belum sembuh sepenuhnya, tapi sudah ada perkembangan berbanding 6 minggu lepas. Doktor izinkan aku balik ke India, tapi masih lagi kena pakai tongkat dua-dua belah. Teruskan 'follow-up' kat India pulak. Kiranya, kes aku dah discharge dari Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

InsyaAllah, setelah mendapat lanjutan cuti sakit (MC) dari doktor, maka aku akan balik ke India pada 4 November 2012. Walau bagaimanapun, aku hanya akan mula kembali ke kelas pada 7 November, sebab nak uruskan pendaftaran kes aku kat hospital sana pulak.

The MC. Tengok tulisan doktor :D
Aku akan berhari raya Aidil Adha di rumah aku di Kota Bharu, Kelantan. Kebetulan, pada hari raya pertama nanti, ada majlis aqiqah anak buah aku kat rumah... Namun, 28 Oktober nanti, aku akan ke Kuala Lumpur pulak, sampai 4 November. Duduk rumah kakak aku pulak kat KL.. Mungkin ada harapan untuk jumpa kawan-kawan kat sana pulak, tapi susah jugak sebab nak kena pakai tongkat ni lagi.

"Macam mana nak bawak barang banyak-banyak?"

InsyaAllah, sebaik sahaja aku mendarat kat airport Bangalore nanti, ada sahabat yang akan datang ambik. Syukur alhamdulillah, kurang bebanan aku.. Kalau tak, macam mana lah nak bawak barang-barang tu nanti. Nak pergi LCCT nanti pun kakak aku akan hantar. Jadi, takde masalah nak bawak barang-barang tu nanti..

Dah 6 minggu aku sambung cuti ni. Tak sanggup nak tinggal lebih banyak kelas. Jadi, aku ambil keputusan untuk balik sana, walaupun doktor cakap boleh je nak stay kat Malaysia lagi. Takpe, aku terpaksa pulang ke Belgaum untuk meneruskan pengajian, sebab Selanjar 1 bakal menjelma pada bulan Februari...

Kepada rakan-rakan kat Belgaum, tunggu sahaja kepulangan aku.. Kalau aku perlukan bantuan, terutamanya untuk bergerak ke sana-sini, harap dapat bantu aku deh.. Mungkin hari ini hari aku, dan mungkin akan datang nanti hari korang pulak. Di saat itu, aku akan ingat balik jasa yang korang pernah taburkan kat aku.. Semoga Allah sayang. :)

4 Sep 2012

Cutiku Berganda

Assalamualaikum, salam sejahtera 1 Dunia!

Sedang rakan-rakan seperjuangan kini menghitung hari untuk pulang ke Belgaum, India untuk meneruskan perjuangan, aku pulak terpaksa tinggal di Malaysia untuk jangka masa yang belum pasti.. Kenapa? Sebabnya kaki aku masih belum pulih sepenuhnya..

Muka seposen keluar lagi. Hahaha..

Asalnya aku cuti 6 minggu sahaja, tapi hari ni, 4 September, lepas temujanji bersama doktor di Unit Ortopedik, Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Kelantan, aku dapat lagi cuti 6 minggu! Jadi berganda pulak cutinya.. Cuti MC ni sampailah temujanji seterusnya pada 16 Oktober 2012. Mungkin doktor nak bagi tulang aku ni bercantum dengan lebih baik, dan sembuh cepat.. Imej x-ray tadi menunjukkan tulang aku masih tak bercantum, tapi alhamdulillah, dah rapat, tak macam dulu, lari jauh. Cuma tulang tu belum bercantum je.


MC 6 minggu.. [sila klik untuk imej yang lebih besaaaar punye]


"Habis tu, macam mana kau nak belajar? Tak tertinggal ke nanti??"

Walaupun aku dapat MC 6 minggu, tapi tu bukan alasan aku untuk goyang kaki je kat rumah. Mestilah aku akan tetap belajar, takut ketinggalan pulak. Nota kuliah boleh dapat dengan senangnya menerusi aplikasi Dropbox. Bolehlah aku baca nota kuliah kat rumah.. Lagi satu, USM-KLE ni maju taw. USM-KLE sediakan rakaman video kuliah secara online kat website USM-KLE. Jadi, aku bolehlah mengakses rakaman kuliah tu kat rumah je. Kalau aku tertinggal kelas pun, aku akan tertinggal kelas Problem-Based Learning (PBL) dengan kelas klinikal je. InsyaAllah, aku ada kawan-kawan yang baik, aku akan mintak diorang kongsi dengan aku pasal benda yang berlaku dalam kelas-kelas tu.

Tiket kapal terbang pun aku dah tukar. Asalnya Jumaat ni, 7 September, aku dah kena balik India. Namun, doktor kata, 3 bulan untuk sembuh, jadi kalau menurut kata doktor, awal bulan November baru sembuh. Jadi, aku dah tukar kepada 4 November 2012..


Harapannya supaya kawan-kawan aku nun jauh di Belgaum, India nanti dapat bantu aku dalam pelajaran sebelum dan selepas aku balik ke sana.. Hanya Allah sahaja yang mampu membalas jasa korang..

Tak lupa jugak, semoga perjalanan korang semua untuk balik ke Belgaum selamat hendaknya, jaga diri baik-baik, nanti karang tak pasal-pasal jadi macam aku.. Kan susah.. Belajar elok-elok ye sume. Rindu sama bebudak study group :)

Setakat ni dulu bebelan pendek daripada aku kali ni.. Terima kasih kerana sudi membaca..

nota kaki: tak perlu la nak buat video "MC 6 minggu" macam video "MC 5 hari" tu kan.. :D

3 Sep 2012

Raya 2012

Assalamualaikum, salam sejahtera 1 Dunia!

Entri kali ni memfokuskan pasal sambutan hari raya aku pada tahun 2012 ni.  Memandangkan aku baru lepas operate paha aku, jadi sambutan raya aku tahun ni agak hambar. 20 tahun aku hidup, yang ni kot yang paling tak seronok. Namun, life must go on, ye dak? Haha.. Aku tetap beraya dengan cara aku yang tersendiri, iaitu.... cara orang patah paha. :D


Malam raya, buat ape? Tak boleh nak menolong kemas rumah. Sudahnya, tengok tv je malam raya. Ada rancangan Mega Raya 2012 kat Astro Ria. Hos dia adalah tak lain dan tak bukan, Aznil Hj. Nawawi.. Pengacara kegemaranku. Haha.. Dari pukul 11.00 malam sampailah 12.30 tengah malam, duk layan rancangan tu.. Menarik rancangannya..


Hari raya pertama, macam tahun-tahun lepas.. Ada open house kecil-kecilan untuk rakan sekerja abah aku, yang bertugas di pagi raya.. Termasuklah abah aku, pakai baju raya 30 minit je, lepas tu dah kena panggil bertugas. Kesian tau keje sebagai PDRM nih. Terpaksa berkorban banyak benda untuk kita semua.. Paginya, aku tak mampu nak pegi solat sunat Aidil Fitri kat masjid, dan aku rasa kosong sikit. Dalam pukul 10.30 pagi camtu, gerak balik kampung kat Tanah Merah pulak.

Wajahku di pagi raya..
Alhamdulillah, jalan tak berapa sesak lagi pagi tu, dan syukur perjalanan pergi dan pulang semuanya selamat. Aku menghadapi sedikit kesukaran dan kesulitan untuk menaiki kereta. Almaklumlah, kaki tak berapa nak elok lagi. Namun, syukurlah dapat bertemu dengan saudara-mara kat kampung, tu baru kali pertama balik kampung sejak aku sampai kat Malaysia.

Borak-borak di hari raya
Kutipan hari raya pertama.. Alhamdulillah =D
Hari raya kedua, tak keluar pegi mana-mana pun. Kat rumah ada masak lontong. Tetamu ada jugak yang datang, tapi tak ramai sangat, sebab bukan hari open house. Almaklumlah, raya kedua, kakak aku, abah aku, mak aku semua nak beraya kat rumah orang lain.. So, takde la meriah sangat rumah aku raya kedua tu.. Aku tengok tv aje la kat rumah.. Sebenarnya nak pegi rumah best friend aku, Khairul Amin, ada buat open house.. Setiap tahun pegi rumah dia, nak makan mee kari! Memandangkan tahun ni aku tak dapat nak beraya dengan lincahnya, jadi lepas je habis open house rumah dia, dia ade bawak mee kari yang telah di'tapau' khas untuk aku. Dia bawak bersama kawan-kawan lama aku masa sekolah rendah aku dulu, iaitu Nizar, Herman dan Asri. I tell you, mee kari mak Amin so special!!

Gambar hiasan... Macam mana.... Terliur kaaa?? Hahaha..
Raya ke-3 ni special sikit. Orang lain beraya, aku pergi hospital..

"Huh? Pegi hospital?? Buat ape???"

Aku pergi bukak jahitan kat paha aku la.. Sepatutnya kena bukak masa raya pertama, tapi tempat tu bukannya bukak, so kena tunggu raya ke-3 jugaklah. Boleh jugak nak bukak masa raya pertama, tapi kena pergi kat wad. Memang tak lah.. Orang nak beraya kot raya pertama tu.. Nasib baik kejap je bukak jahitan tu walaupun jahitan aku agak banyak. 

Bukanku pinta jadi begini. Hahaha..
Balik je dari hospital, sahabat aku, Sufi a.k.a. Jen call aku, cakap nak datang rumah. Untuk pengetahuan korang, Sufi ni tinggal nun jauh di Senawang, Negeri Sembilan. Alang-alang balik kampung kat Jeli, dia datang Kota Bharu pulak. Kebetulan ada kenduri kat rumah pak sedara dia kat Kota Bharu, singgah kejap rumah aku. Datang dengan family pulak tuh. Segan pulak dengan rumah aku yang kecik macam tempurung nih.. Dulu aku pernah datang rumah dia dua kali. Ada aku cerita dalam blog ni dalam entri yang lama-lama..

Curi gambar dia dalam FB. Hahaha.. Kan hensem tuh. Bila nak pegi panjat Broga lagi Jen?? :D

Petangnya, datang pulak rombongan ASiS.. Adian, Ikmal dan yang penting, Acap dari Kuala Terengganu pun turun beraya rumah aku. Terharu seyh! Sebenarnya Acap balik rumah tok dia kat Pasir Tumboh. Alang-alang dah beraya dengan bebudak ni, datang pulak rumah aku. Untung-untung, diorang bagi duit raya. Haha.. Alhamdulillah..

Raya ke-4, open house di rumahku. Juadahnya adalah nasi minyak dan mee kari bersama koktel yang istimewa buatan kakak-kakakku yang cantik.. Haha.. Ramai jugak kawan-kawan yang datang ke rumah aku, nak mention banyak sangat pulak. Apa-apapun, terima kasih sebab sudi datang ke rumah aku!! Sambil beraya, datang melawat aku sekali. Yang penting, aku discover satu benda baru. Aku baru tahu rupa-rupanya blogger terkenal di Malaysia, BeautifulNara adalah dua pupu aku. Haha.. Patutlah aku minat semacam blogging ni. Hehe.. Takde kena mengena..

Raya ke-5, sempat curi beraya kat sebuah rumah, tu pun lepas hantar best friend aku, Khairul Amin balik ke USA kat Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa.

Antara yang hadir menghantar Amin pulang ke USA..
Bebudak SKIP 1 dulu ni.. kecuali yg baju kuning tu.. tetiba enterfrem. Hehe.. Jangan marah!!

With my best friend, versi bertongkat. Hehe..

Versi tak bertongkat pulak. Tahun depan Amin balik pulak, insyaAllah..
Lepas je pergi hantar Amin, pergi ke Kubang Kerian pulak, rumah Afiq Mazlan, kawan sekolah rendah dulu.. Satu-satunya open house yang aku pergi masa raya tahun ni. Seronok dapat jumpa kawan-kawan lama kat sana, kecoh pulak jadinya bila bukak balik cerita lama. Sembang, gelak ketawa sampai tak ingat. :D

depan, dari kiri : Afiq, Rashdan, Khairul Hafiz

belakang, dari kiri: Nizar, Azwan, Herman

Ya ampun... kenapa korang aim kaki aku? Sakit.. Hahaha..
Apa-apa pun, hari raya kali ini aku tetap enjoy dan bersyukur, sebab aku masih boleh beraya walaupun bukan seperti sedia kala, walaupun raya kali ni tak dapat makan ketupat, lemang dan makanan-makanan yang sewaktu dengannya, atas dasar kesihatan. Mungkin ada hikmah di sebalik kejadian ini. Alhamdulillah, rezeki datang dengan banyak melalui duit raya. Nak simpan dulu duit ni, untuk kegunaan masa depan. Masuk 'Tabung Kahwin' pun boleh ni. Haha.. Mula menyimpan untuk berumah tangga nampaknya..

Sekian dulu liputan hari raya aku kali ini. Maaf sebab tak banyak gambar, sebab aku kan sakit, susah nak ambik gambar. Semoga hari raya tahun depan lebih baik dan lebih memberi erti kepada kita semua.. Terima kasih sebab sudi membaca :)

18 Ogo 2012

Sederhana Rayaku

Assalamualaikum, salam sejahtera 1 Dunia!

Alhamdulillah, setelah sebulan kita puasa, akhirnya tiba lagi hari raya Aidil Fitri. Syukur, aku dapat beraya di tanah air pada tahun ini. Namun, raya aku tahun ini tak sama macam tahun-tahun sebelum ni. Nak tahu kenapa?



Baru 4 hari setelah aku pulang ke rumah iaitu pada 31 Julai 2012, pukul 2.30 petang, aku terlibat dalam kemalangan jalan raya. Pendekkan cerita, macam ni cerita dia. Aku bawak motor dalam bandar KB tu, menuju ke Pejabat Pos Besar Kota Bharu. Masa tu jalan sibuk, so aku bawak slow je motor tu. Dengan tiba-tiba, ada kereta depan aku brek mengejut. Tak sempat nak bertindak balas. Aku dah brek kuat-kuat dah, tapi masih tak berkesan. Hasilnya, aku terlanggar belakang kereta depan aku tu. Lepas tu aku rebah kat atas jalan. Datang pulak lagi satu kereta, nasib baik dia sempat brek, tapi kepala aku dah bawah bumper depan kereta dia. Syukurlah aku pakai topi keledar. Kalau tak, kepala aku pun dah kena gilis.

Lepas pemeriksaan dijalankan, doktor kata aku patah paha, ataupun nama tulang tu adalah femur. Jadi, pembedahan perlu dilakukan untuk cantumkan balik tulang tu. Kena masukkan besi! Panjang pulak tu besinya.. Sepanjang-panjang tulang femur tu la. Lama jugak aku menanti untuk dibedah. Selasa aku accident, Ahad baru operate. Bosan menunggu kat hospital. Hari Rabu baru dapat keluar wad.

Lebih kurang macam ni la aku dibedah. Tempat patah pun lebih kurang sama.

Sepanjang aku kat hospital (Hospital Raja Perempuan Zainab II, HRPZ II) tu, aku duduk kat Wad Cempaka. Alhamdulillah, ramai yang datang melawat. Setiap hari, tak putus-putus orang datang. Saudara-mara, sahabat handai, jiran-jiran, malahan pensyarah aku pun datang. Prof KJ, Encik Amyrulhan pun datang. Segan pun ada, rasa bersalah pun ada. Baru hari tu Prof KJ pesan, suruh jaga diri baik-baik kat rumah. Nak buat macam mana Prof, saya dah hati-hati, tapi kalau dah nak jadi, jadi jugak. Bukan saya mintak nak suruh jadi lagu ni. Sob sob sob.

Curi dari FB Encik Amyrul. Hehehe..
Aku yang sepatutnya balik ke India pada 7 September ni nampaknya kena tangguh dulu la. 3 bulan diperlukan untuk pulih sepenuhnya. Takkan la nak bertongkat balik India. Susah pulak nak bawak beg kan. Susah jugak untuk aku bergerak. Isu keselamatan tu satu hal. Takut kena tipu dengan tempe. Mana la tahu kan, nampak aku bertongkat ni, nak cekik darah aku lagi. Masa aku tak sakit pun dah selalu kena tipu, ini kan pulak masa sakit. Lagipun tak nak menyusahkan orang kat Belgaum nanti, nak kena tolong aku pergi kelas, gerak sana-sini. Takut jadi menjengkelkan pulak bagi bebudak ni.

Kalau tiga bulan, maknanya lepas raya haji baru akan pulih sepenuhnya. Kalau boleh, aku pun nak balik Belgaum cepat, nak sambung pengajian di tahun kedua. Nak sama-sama dengan 82 orang yang lain kat sana, tapi apakan daya, tunggu pulih betul-betul lah, lagipun dah mula masuk clinical years. Kena berdiri banyak. Setakat ni, kaki aku semakin pulih, dah boleh lipat dah sikit, tapi masih kena berjalan pakai tongkat lagi.

Alhamdulillah, duduk rumah jauh lagi seronok daripada duduk hospital. Boleh tengok tv, makan sedap-sedap walaupun kena kawal, boleh main laptop, dan paling penting, dapat bersama keluarga. Walaupun belum hari raya, tapi kawan-kawan dan saudara-mara dah datang rumah untuk melawat. Macam semalam, ada kawan aku dari Ipoh, Perak pun datang untuk melawat. Terharu pulak :')

Okay, macam dah lari topik pulak. Hahaha.. Dukacita dimaklumkan bahawa aku tak dapat nak pergi beraya macam biasa pada tahun ni, jadi korang pulak yang kena datang rumah aku. Harap maklum yer, jangan kata aku sombong, kekwat atau yang sewaktu dengannya. Hehe.. Kalau nak nombor telefon aku, boleh PM aku kat FB. Aku harap korang datang rumah, aku nak jumpa sangat dengan korang, tapi pergerakan aku terbatas. Nak pegi shopping raya pun tak boleh!! Sedih. Syukurlah ada orang sponsor Baju Melayu aku tahun ni, dan kakak aku tolong belikan baju raya untuk aku. Hehe..

Akhir kata, aku dengan rasa rendah dirinya, ingin memohon keampunan daripada anda semua andai kata sepanjang perkenalan kita ini, aku ada mengguris hati korang atau terkasar bahasa atau terlanjur bicara. Sempena hari raya kali ni, harapnya kita buang yang keruh, ambil yang jernih. Jangan pernah lupa untuk bersyukur kepada Allah S.W.T. atas nikmat dan kurniaan daripadaNya sempena hari raya ini. Terima kasih kerana sudi membaca entri kali ini.



nota kaki : nak datang rumah tu, bawak duit raya banyak-banyak. duit baru lagi bagus. hewhewhew